ADA sesetengah pihak berhujah, amalan berpuasa tidak seharusnya dikaitkan dengan kesihatan. Sebaliknya, ia harus dilihat sebagai satu bentuk ibadat yang dituntut dalam agama.
Malah, tidak kurang yang mengaitkan amalan berpuasa dengan kesihatan semuanya adalah mitos belaka.
Memang benar, apabila satu-satu ibadat itu menjadi perintah agama, ia tidak seharusnya dikaitkan dengan isu-isu lain yang berbentuk kesihatan.
Tetapi, kita jangan lupa, setiap yang diperintahkan itu mempunyai hikmah tersendiri dan cukup indah diterokai.
Ini kerana, ibadat puasa yang dituntut dalam Islam amat jauh berbeza dengan amalan-amalan puasa yang sedia ada. Jika dibanding puasa pada bulan Ramadan, ia amat jauh berbeza dengan pelan diet biasa diamalkan yang menyebabkan seseorang itu kekurangan zat makanan tertentu atau pengambilan kalori yang tidak seimbang.
Paling penting, niat sebenar seseorang dalam menunaikan ibadat puasa tidak menyimpang daripada matlamat sebenar. Sebagai contoh, ingin kelihatan langsing atau sebagainya.
Jika amalan ini diamalkan mengikut landasan sebenarnya, ia umpama satu bentuk latihan bukan saja membentuk kerohanian, malah fizikal seseorang.
Tidak seperti program-program diet yang lain, amalan berpuasa pada bulan Ramadan tidak pernah mengehadkan pengambilan makanan tertentu.
Semuanya boleh dimakan selagi, ia diambil dalam kuantiti yang sederhana.
Pada 1994, Kongres Antarabangsa berhubung Kesihatan dan Puasa yang diadakan di Casablanca, telah membentangkan kertas kerja daripada penyelidik-penyelidik Islam dan bukan Islam.
Ternyata, kajian menunjukkan amalan berpuasa pada bulan Ramadan mempunyai kesan fisiologi dan psikologi secara tidak langsung.
Kesan fisiologi ini termasuklah, merendahkan paras gula dalam darah, kolesterol dan tekanan darah sistolik.
Malah, berpuasa pada bulan Ramadan adalah saranan paling ideal sebagai rawatan penyakit diabetes yang tidak bergantung pada insulin yang ringan dan sederhana, obesiti dan hipertensi yang tidak diketahui puncanya.
Begitu juga dengan kesan psikologi. Selain ketenangan dan kedamaian minda, dipercayai ia berkaitan dengan paras gula dalam darah yang semakin stabil.
Amalan membaca al-Quran, misalnya bukan saja memberi ketenangan kepada minda dan jiwa, malah dapat meningkatkan keupayaan memori.
Sehubungan itu, mereka yang difardukan untuk menunaikan tuntutan agama ini tidak seharusnya berasa bimbang menjadi lemah kerana puasa.
Seperti yang dimaklum, perut adalah `rumah' kepada penyakit dan mencegah intipati utama adalah dalam perubatan.
Cara terbaik ketika makan, komposisi perut perlu dibahagi tiga iaitu satu per tiga untuk makanan, satu per tiga untuk air dan satu per tiga untuk udara.
Pada zaman yang dilengkapi dengan segala macam kelengkapan mesin yang sofistikated, kita tidak bertemu dengan satu mesin yang agak rapuh tetapi efisien seperti perut.
Mesin ini menerima makanan, memproses dan menyebarkannya ke seluruh anggota tubuh. Perut umpama mesin sepanjang hayat ini bekerja sepanjang masa tanpa henti.
Tetapi, apabila perut dikosongkan daripada `makanan', secara tidak langsung ia dapat rehat yang secukupnya.
Ketika berpuasa, perut akan mengeluarkan bahan-bahan buangan berbahaya yang disingkirkan melalui proses detoksifikasi.
Amalan makan secara berlebihan, diet yang tidak seimbang dengan kuantiti karbohidrat yang tinggi dan makanan berlemak, semasa berbuka boleh menyumbang banyak masalah kesihatan.
Ini termasuklah hiperglisemia, pertambahan berat badan dan rasa tidak selesa pada perut.
Rasa tidak selesa pada perut antara masalah yang sering berlaku ketika Ramadan. Ia berpunca daripada tabiat buruk yang suka makan banyak sejurus selepas berbuka.
Sebaik-baiknya, perut perlu `dipanaskan' dengan makanan yang ringan bagi membolehkan proses penghadaman berjalan lancar.
Setelah berpuasa, tubuh memerlukan sumber tenaga dalam bentuk glukos untuk setiap selnya terutama, otak.
Sumber terbaik ialah kurma atau jus kerana kedua-duanya adalah sumber gula ringkas paling baik yang dapat menurunkan glukos dalam darah menjadi normal.
Jus dan sup membantu mengekalkan keseimbangan air dan garam galian dalam badan.
Sebaik-baiknya, elakkan makan terlalu banyak ketika berbuka puasa, makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dan sebagainya.
Perut yang terlalu penuh dengan makanan, boleh membawa banyak masalah kesihatan seperti pernafasan dan tidur.
Sehubungan itu, untuk kekal sihat, sepanjang Ramadan, makanlah makanan mengikut kumpulan makanan secara sederhana dan seimbang.