MUKADIMAH
Siti Nurhaliza penyanyi nombor satu. Tetapi setiap zaman ada penyanyi atau artis yang mencapai kedudukan nombor satu. Cuma bezanya Siti Nurhaliza, 25, menjadi nombor satu ketika ekonomi negara menjulang tinggi. Maka imbuhan daripada kerjaya menyanyi juga jauh lebih tinggi dari sebelumnya.
Kini Siti Nurhaliza sudah menjadi jutawan, satu pencapaian yang bukan mudah bagi seorang penyanyi di negara seperti Malaysia ini.
Untuk menjadi nombor satu memanglah suatu yang memeritkan. Tetapi setelah menjadi nombor satu cabarannya jauh lebih hebat lagi. Kena fitnah, gosip dan macam-macam lagi.
Sementara semua peminat pula mahu beliau menjadi sempurna; baik di segi budi pekerti mahupun kerjaya.
Dalam masa yang sama beliau perlu jaga hati peminat, hati keluarga dan juga kemahuan sendiri. Beliau juga mengorbankan usia remaja dan kini Siti Nurhaliza bukanlah individu yang boleh bebas ke sana ke sini.
Hasil kerja keras sejak 10 tahun lalu, kini Siti Nurhaliza adalah satu-satunya artis yang paling sibuk dengan komitmen kerjayanya.
Wawancara ini sepatutnya dibuat di Kuala Lumpur. Tetapi jadual Siti Nurhaliza tidak mengizinkan. Khamis lalu beliau ke Jakarta.
Dalam wawancara hampir dua jam di sebuah hotel mewah di Jakarta Khamis lalu, Siti Nurhaliza mendedahkan sukarnya untuk memegang ``jenama'' Siti Nurhaliza.
Kepada wartawan Mingguan Malaysia, Zulkefli Hamzah dan Siti Mariam Md. Zain, Siti Nurhaliza berkata; ``Siti tidak menyesal sekalipun tidak dapat mengecapi kehidupan seperti dulu.''
MINGGUAN: Bagaimana Siti melihat kehidupan Siti dahulu dan sekarang?
SITI NURHALIZA: Banyak perkara yang telah mematangkan Siti. Walaupun bergelar anak seni tetapi Siti masih lagi Siti yang dulu. Akarnya masih dengan suasana kampung, hubungan kekeluargaan dan adat sebagai orang Melayu masih lagi kuat. Siti melihat kejayaan Siti sekarang pun banyak bergantung kepada pegangan Siti sebelum ini.
Tidak terlintas di fikiran apabila menjadi artis, Siti perlu berubah menjadi orang lain. Yang berbeza cuma kini Siti perlu terus menstabilkan kerjaya terutama saat-saat berhadapan dengan bermacam-macam pancaroba.
Adakah kesibukan ini mengganggu kehidupan sebenar yang Siti impikan?
SITI NURHALIZA: Siti akui merindui saat-saat ketika bersama rakan-rakan semasa di sekolah dahulu. Lebih-lebih lagi Siti aktif dalam sukan olahraga. Kami selalu ke sekolah atau daerah lain, mencari pengalaman dan kawan-kawan baru. Waktu itu Siti berpeluang menjalani kehidupan seperti remaja lain.
Tetapi dalam usia yang muda juga, Siti terlibat dengan bidang seni. Memang rasa rindu kehidupan dulu. Tetapi Siti tidak pernah menyesal. Ini adalah pilihan Siti.
Adakah Siti berpuas hati dengan kehidupan sekarang?
SITI NURHALIZA: Sebagai manusia, Siti tidak boleh mengelak perasaan kita apabila tengok orang lain bebas pergi shopping atau menonton wayang dengan kawan-kawan, tetapi Siti perlu menjaga banyak perkara - dari segi keselamatan, pandangan orang dan sebagainya.
Walaupun niat kita pergi ke satu-satu tempat itu baik tetapi ada orang yang menyalahertikan. Keadaan begini, membuatkan Siti banyak berfikir. Malah sewaktu berusia 20 tahun, Siti sudah rasa pemikiran Siti seperti orang yang berusia 25 tahun.
Tetapi Siti rasa bertuah sebab tidak semua orang boleh dapat keadaan begini - kena pikul tanggungjawab membuat keputusan sendiri. Biasanya anak remaja, kalau ikutkan hati, dia boleh buat apa sahaja. Siti dikelilingi kaum keluarga menyebabkan Siti harus berfikir tentang apa juga tindakan Siti.
Apabila dikelilingi keluarga, sesetengah orang menganggap itu terkongkong. Pernahkah Siti berasa dikongkong?
SITI NURHALIZA: Siti tidak melihat Siti terkongkong atau diarah itu dan ini. Siti jenis yang tidak suka dipaksa. Kalau Siti mahu buat, Siti akan buat. Walaupun orang luar melihat Siti dikongkong dan timbul pelbagai persepsi - macam mana Siti hendak hidup, cari teman atau apa tetapi Siti merasakan ini perlu. Lebih-lebih lagi melihat tentang keselamatan, seperti yang pernah berlaku di Johor, apabila ada orang cuba mencederakan Siti.
Kejayaan Siti hari ini pun disebabkan oleh ahli keluarga Siti. Belum tentu apabila di tangan orang lain, Siti mampu berada di tahap sekarang.
Tadi Siti mengatakan, keadaan menyebabkan Siti terpaksa menjadi lebih matang, walaupun baru berusia 20 tahun tetapi terpaksa berfikiran melebihi usia itu. Apa perkara-perkara yang sering mengganggu Siti?
SITI NURHALIZA: Siti sudah bertemu dengan ramai orang, ada di antara mereka yang tidak pernah bekerjasama dengan Siti. Mungkin dia diberitahu oleh teman-temannya bahawa Siti ini cerewet, hendak macam-macam. Tetapi apabila kebetulan dia kena menguruskan kita, baru dia tahu Siti sebenarnya bukan macam itu. Jadi yang mengganggu Siti ialah tentang kerja sampai-menyampai cerita-cerita yang tidak betul ini.
Siti percaya sepanjang karier, Siti telah bekerjasama dengan banyak promoter. Setakat ini apa yang Siti tahu, Siti tidak pernah mengecewakan mereka. Tetapi Siti takut dengan andaian orang yang tidak kenal kita.
Ramai tertanya-tanya berapa nilai Siti Nurhaliza sebenarnya. Ada menilaikan RM68 juta malah lebih daripada itu.
SITI NURHALIZA: Siti pun tidak tahu. Urusan itu diserahkan kepada ibu dan ayah. Mereka boleh dikatakan sebagai Menteri Kewangan dalam keluarga. Alhamdulillah syarikat Siti atau hal-hal berkaitan dengan pengurusan syarikat semuanya dijaga oleh keluarga.
Siti menaruh kepercayaan penuh kepada mereka. Kalau hendak cakap Siti terlalu mementingkan material, Siti bukan jenis itu.
Biasanya seseorang yang bergelar jutawan mempunyai keinginan yang melebihi daripada kehidupan orang biasa. Bagaimana dengan Siti?
SITI NURHALIZA: Bohonglah kalau Siti tidak mengangankan rumah yang besar, kereta yang selesa dan sebagainya. Tetapi buat apa semua itu kalau akhirnya menyusahkan diri sendiri. Kita perlu mengimpikan sesuatu yang boleh memberi kebaikan kepada kita.
Apa yang Siti ada sekarang, kereta walaupun tidak sehebat mana tetapi senang untuk bergerak ke sana ke mari. Rumah begitu juga, buat masa ini biarlah yang ada ini kekal.
Kalau berdasarkan kemampuan, pendapatan Siti dilihat melepasi tahap mampu?
SITI NURHALIZA: Sebenarnya Siti mahu memantapkan lagi perniagaan Siti. Wang yang ada lebih baik dilaburkan buat masa ini. Itu yang Siti beri tumpuan sekarang.
Pelaburan Siti kebanyakannya dalam bidang apa?
SITI NURHALIZA: Siti kalau boleh hendak seimbangkan. Hendak jadi macam jutawan-jutawan yang ada sekarang ini, apa yang mereka buat, rahsia mereka.
Dalam bidang hartanah atau sebagainya. Itu yang Siti sedang belajar. Siti bercita-cita hendak menjadi ahli perniagaan yang berjaya, selain menyanyi. Salah satu bidang pelaburan Siti ialah produk teh. Ini salah satu percubaan baru Siti selain bidang hiburan.
Siti pun tak tahu lagi macam mana rintangannya, adalah dengar risiko yang mungkin dihadapi. Siti kena bersedia untuk itu. Siti juga terfikir untuk ada bangunan sendiri.
Siti memilih produk teh. Kenapa bukan produk lain, kecantikan misalnya?
SITI NURHALIZA: Kalau hendak ikut produk-produk lain seperti kosmetik, ia terlalu banyak persaingan. Satu lagi Siti tidak hanya mengikut trend. Walaupun minat itu ada, tetapi Siti belum bersedia lagi. Kalau Siti hendak buat nanti, Siti perlu memastikan aspek keselamatannya. Bukan sebab hanya guna nama Siti. Produk teh, Siti rasa penggunaannya begitu meluas sekali.
Kalau di China, ia sebahagian daripada produk kesihatan, sekurang-kurangnya ia memberi kebaikan kepada orang ramai. Kena pula dengan nama - CTea. Kalau kita lihat di hotel-hotel, pilihan yang selalu diberi ialah teh atau kopi. Siti pula lebih suka teh.
Siapa yang menggalakkan Siti menceburi bidang perniagaan ini?
SITI NURHALIZA: Minat Siti banyak berdasarkan pengalaman semasa kecil. Bila sudah besar dan kerjaya ini pula menyebabkan Siti berjumpa dengan ramai rakan perniagaan memberi peluang kepada kami berkongsi pendapat. Alhamdulillah ada yang betul-betul ingin membantu syarikat Siti.
Mereka mengesyorkan agar Siti mencuba produk ini melihatkan ia memang berpotensi untuk berkembang lagi.
Mengikut perancangan bila agaknya Siti akan mempunyai bangunan sendiri?
SITI NURHALIZA: Mungkin dalam masa yang singkat, setahun dua ini. Siti memang bercita-cita mempunyai bangunan sendiri. Tidak kisahlah walaupun bangunan itu cuma bangunan pejabat, janji ada aras Siti sendiri.
Siti pernah terfikir Siti akan mencapai tahap seperti apa yang dicapai hari ini?
SITI NURHALIZA: Bila menjadi artis, memang Siti ada cita-cita suatu hari nanti hendak jadi jutawan. Abang Siti (Ayie) pun pernah kata, itu tidak mustahil. Daripada percakapan yang angan-angan itu, Siti sedar bahawa kita boleh capai apa sahaja yang kita hendak kalau berusaha kuat dan ikhlas.
Artis-artis terkenal sebelum ini mungkin tidak bernasib baik seperti Siti, yang ada perniagaan sendiri ketika diri masih di puncak. Untuk lebih dihormati adakah artis perlu mempunyai cita-cita lebih besar daripada mengejar glamor dan populariti semata-mata?
SITI NURHALIZA: Siti tengok artis-artis baru yang muncul sekarang mereka juga mempunyai visi tersendiri. Masing-masing sedar mereka perlu mempunyai matlamat lebih daripada suka-suka sahaja. Malah ramai di antara mereka telah ada syarikat sendiri.
Cuma yang penting bagi Siti ialah kita perlu berusaha lebih kuat, bukan setakat itu sahaja. Kita kena fikir apa sebenarnya yang kita ingin buat supaya dapat terus stabil. Bila kita mampu melakukan ini, pandangan masyarakat terhadap artis juga menjadi bertambah baik.
Mungkinkah kejayaan Siti kerana sikap Siti yang sentiasa beringat selain muncul pada masa yang betul?
SITI NURHALIZA: Siti tidak menafikan sekarang ini terlalu banyak peluang yang terbuka. Kalau artis dulu itu muncul pada zaman sekarang, Siti rasa mereka juga mendapat apa yang Siti dapat, tidak mustahil Siti terpaksa bersaing dengan mereka untuk berada dalam kedudukan sekarang.
Dengan adanya artis-artis lama ini, banyak memberi sumber inspirasi kepada Siti dalam sudut melalui zaman ke zaman; kebangkitan dan kejayaan mereka. Dari situ, Siti tanamkan hasrat untuk menjadi seperti itu atau lebih baik lagi. Kalau Siti lihat ada kekurangan, Siti akan berusaha mengelak daripada jadi seperti itu. Ini adalah kesedaran diri sendiri.
Jika dilahirkan 50 tahun lalu, adakah Siti masih tetap akan berjaya seperti hari ini?
SITI NURHALIZA: Siti tidak berani cakap kerana kita kena mengambil kira situasi dahulu dan sekarang.
Sehingga bila Siti akan kekal dengan cara penampilan begini?
SITI NURHALIZA: Insya-Allah Siti akan tetap macam yang orang kenal sebelum ini. Cuma Siti juga tidak mahu menjadi orang yang ketinggalan dalam fesyen.
Siti masih perlu mengikut peredaran semasa terutama bagi memantapkan gaya persembahan. Tetapi apa yang selama ini telah ditetapkan, Siti akan teruskan.
Siti seperti `pisang goreng panas'. Lihat sahaja syarikat-syarikat iklan yang sanggup membayar harga yang tinggi. Di mana Siti meletakkan diri Siti sendiri?
SITI NURHALIZA: Siti tidak mahu meletakkan (harga) Siti terlalu tinggi. Tidak pernah terlintas di fikiran hendak cakap atau rasa diri ini nombor satu atau sebagainya. Walaupun orang bercakap tentang hal ini, tetapi bagi Siti tolonglah, biar Siti dalam keadaan yang selesa - pertengahan, tidak ke bawah atau ke atas. Siti senang dengan apa yang Siti rasa. Kalau tinggi sangat nanti susah pula, mula meletakkan standard kita.
Cuma, dalam hal-hal profesional, Siti pentingkan kualiti. Apa yang Siti beri, Siti perlu dapat seharusnya. Ada orang tidak faham dengan kerja Siti. Itu yang kadang-kadang timbul macam-macam cerita. Sesetengah orang menilai kita demand tetapi sebenarnya tidak. Siti beri apa yang berbaloi dengan harga Siti.
Sehingga bila Siti boleh mengekalkan kedudukan ini?
SITI NURHALIZA: Siti tidak berani hendak meletakkan kedudukan Siti sehingga bila. Semuanya bergantung kepada situasi. Mungkin sampai satu peringkat nanti ada artis lain pula yang lebih mendapat tempat. Sukar untuk menjangka selera masyarakat yang mempengaruhi naik turun karier kita. Siti pasrah sahaja.
Apa pun, Siti tetap mempunyai perancangan memastikan setiap tindakan kita mampu memenuhi permintaan mereka.
Sukarkah menjadi Siti Nurhaliza?
SITI NURHALIZA: Sukar apabila orang tidak faham keadaan kita. Untuk menjayakan satu-satu konsert atau persembahan, Siti memerlukan persediaan serapi mungkin. Ini kerana apa sahaja yang kita lakukan atau kesilapan yang kita buat, akan menjadi perhatian. Itu yang kadang-kadang orang mengatakan bayaran yang dikenakan tinggi.
Tetapi mereka tidak melihat bahawa bayaran yang Siti buat untuk menjayakan konsert itu juga tinggi. Kami perlukan sistem bunyi yang baik selain pemuzik yang berpengalaman. Ini semua akan membantu memberi persembahan yang bermutu kepada penonton. Dan ini juga menyebabkan orang datang untuk menonton konsert Siti Nurhaliza tidak kira di mana juga ia diadakan.
Siti mengatakan tidak meletakkan standard yang terlalu tinggi. Tetapi hakikatnya semua beranggapan Siti berada di kedudukan yang begitu. Jadi bagaimana?
SITI NURHALIZA: Biarlah orang yang bercakap (hal ini), bukan Siti. Orang hendak menilai Siti macam mana, itu hak mereka, Siti tidak boleh menahan. Tetapi bagi diri sendiri, cukup kalau Siti berada di tahap sederhana.
Kepada orang yang tidak faham, apa cara terbaik untuk mereka memahami kedudukan Siti?
SITI NURHALIZA: Susah, sampailah tahap kalau mereka sendiri berada dalam situasi Siti. Keadaan ini tidak semestinya mereka harus menjadi penyanyi, mungkin dalam suasana pekerjaan masing-masing, apabila orang lain mengharapkan yang terbaik, tetapi kita cuma ada kemudahan yang amat terhad.
Orang sering memadankan Siti dengan pasangan-pasangan tertentu. Siti rasa rimas dengan hal-hal begini?
SITI NURHALIZA: Siti tahu perkara ini pasti akan berlaku. Siti sendiri mengakui, bila ditanya siapa yang Siti minat, Siti akan cakap. Dari satu segi, ia menceriakan dunia hiburan. Selagi kita tahu bagaimana hendak kawal keadaan, tidak menjadi masalah, cuma publisiti yang berlebih-lebihan itu yang membahayakan kita.
Siti dianggap sebagai duta. Kalau pergi ke mana-mana secara tidak langsung Siti membawa nama Malaysia. Dalam hal ini, bagaimana Siti memikul tanggungjawab Siti sebagai seorang artis?
SITI NURHALIZA: Siti akui itu sebagai tanggungjawab Siti sebagai rakyat Malaysia, perlu menjaga nama baik negara walau di mana kita berada. Sebab itu, apa-apa yang Siti hendak buat, yang melibatkan Siti membawa nama negara, Siti perlu fikir kebaikan untuk semua pihak, bukan untuk diri Siti sahaja.
Siti cuba menyampaikan dengan cara terbaik dari segi nyanyian atau apa sahaja yang disertai. Lebih-lebih lagi pertandingan kerana tanggungjawabnya lebih besar. Setakat ini orang menganggap, kita ini selalu menang.
Apabila telah diberi tanggungjawab yang besar, dan kita tidak membawa kemenangan, ada yang beranggapan Siti tidak sebagus mana sangat pun. Perkara-perkara ini yang sering bermain di fikiran bila masuk pertandingan. Tetapi sebelum meninggalkan tanah air, Siti selalu beritahu jangan terlalu mengharap. Siti berjanji melakukan yang terbaik cuma jangan mengandaikan yang lain kalau gagal memberi kemenangan.
Sekiranya satu-satu pertandingan Siti gagal membawa pulang kemenangan, apa yang Siti sendiri rasakan?
SITI NURHALIZA: Sedih. Tetapi sebagai seorang yang percaya kepada diri sendiri, Siti yakin dengan keistimewaan lagu-lagu dan melodi kita, memang ada keunikannya berbanding negara-negara lain. Sebab itu kalau ke luar negara, kita sering kali akan membawa pulang kejayaan. Kalaupun gagal, Siti perlu terima semua ini, apa orang akan cakap, terpaksa berdepan dengan kritikan, tidak boleh lari daripada realiti ini.
Tetapi alhamdulillah, setakat ini semua pertandingan di luar negara membuahkan hasil, cuma dalam negara. Masalah orang kita ialah kita suka menilai kekalahan kerana penyanyi sahaja padahal pertandingan itu lebih kepada lagu. Ini antara pemikiran yang masih menebal di kalangan masyarakat kita.
Sebagai penyanyi, kita berusaha yang terbaik untuk menyampaikan lagu itu tetapi selagi masyarakat tidak mengubah pemikiran mereka, selagi itu penyanyi akan sering dipersalahkan, sehingga wujud pula dakwaan kalau kalah maka telah sampai zaman kejatuhan dan sebagainya. Ini juga adalah dilema yang sedikit sebanyak mengganggu Siti.
Ada dakwaan mengatakan Siti bukan macam Siti yang dulu. Pada mereka apa yang ingin Siti sampaikan?
SITI NURHALIZA: Siti memang berharap sangat mereka melihat Siti telah berubah, bukan dari segi kelakuan atau apa, tetapi dari segi pemikiran (kematangan). Siti tidak mahu kalau dulu orang boleh arah Siti pakai itu, pakai ini, sebagai artis baru, Siti mengikut, tetapi sekarang Siti tahu apa yang sebaiknya.
Siti kelihatan masih bertenaga walaupun jadual seharian cukup padat. Ada petua untuk kekal begini?
SITI NURHALIZA: Itu kena minum teh (ketawa). Siti akui Siti bukan robot. Kadang-kadang memang rasa penat sangat. Tetapi kerana kerja kita perlu bersikap profesional.
Siti mampu mengekalkan kecantikan, bagaimana Siti menjaganya?
SITI NURHALIZA: Kerjaya sebagai artis, memang harapan orang kepada kita tinggi, itu sendiri mahu ingatlah (ketawa). Semasa kita di atas pentas, peminat mungkin hendak tengok yang terbaik daripada kita. Siti pakai baju yang sama dua kali pun mereka komplen padahal tak salah pun. Penampilan memang sentiasa kena jaga. Siti jarang pergi gimnasium cuma menjaga pengambilan makanan. Kalau berat badan naik sikit, Siti akan kawal seperti tidak makan nasi banyak sangat, agar bentuk badan kembali kepada keadaan asal. Siti bukan jenis yang makan jamu atau ubat-ubat lain, apa yang asas sahaja cukup, seperti vitamin.
Ada pantang larang tertentu?
SITI NURHALIZA: Pantang tengok sahaja (ketawa lagi). Kalau suara, Siti elakkan minum minuman berais terutama sewaktu hendak mengadakan persembahan, Siti alah. Siti juga sekali-sekala ikut petua orang dulu-dulu seperti minum air nasi embun, ini untuk suara.
Siti percaya dengan rawatan moden untuk kecantikan seperti botox, suntikan vitamin C dan sebagainya?
SITI NURHALIZA: Memang tidak dinafikan penggunaan botox kini berlaku di mana-mana. Tetapi setakat ini tidak terlintas di fikiran Siti untuk menggunakannya. Cukuplah apa yang ada sekarang. Siti bersyukur. Kecantikan ini bukan boleh kita kekalkan selama-lamanya.
Apabila usia meningkat, kita tetap akan tua, berkedut. Ini hakikat semua orang akan menghadapinya. Cuma sebagai artis, menjaga penampilan itu penting tetapi Siti belum terfikir mengikut cara singkat dan mudah tetapi akhirnya memudaratkan diri sendiri.
Berbalik kepada soal `kegilaan' tadi. Bila orang terlalu mengharap yang terbaik, Siti terpaksa sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah kerana apa sahaja kesilapan akan mengundang kemarahan peminat. Adakah keadaan begini menyebabkan kehidupan Siti sentiasa tertekan?
SITI NURHALIZA: Kadang-kadang tertekan juga. Bukan mudah untuk memenuhi harapan peminat. Ada orang boleh faham, tetapi ada juga orang yang tidak boleh faham. Itu perkara biasa. Siti telah lalui sepanjang bergelar artis ini. Cuma Siti hendak supaya mereka jangan melihat Siti sebagai seorang yang sempurna segala-galanya. Sebagai manusia, Siti ada kekurangan dan kelemahan.
Ada kalanya kita melakukan kesilapan, tetapi jangan kerana satu kesilapan itu, kita terus menekan seseorang itu. Macam berdosa langsung sehingga tidak boleh dimaafkan. Manusia belajar daripada kesilapan. Siti juga belajar daripada kesilapan yang pernah Siti lakukan dengan harapan untuk menjadi manusia yang lebih baik.
Bila Siti rasa tertekan, apa yang sering Siti lakukan?
SITI NURHALIZA: Dulu Siti menangis. Sekarang ini hal-hal kerja, gosip dan sebagainya, Siti cuba tangani dengan cara yang lebih bijak. Kalau yang melibatkan keluarga, Siti akan berbincang dengan mereka. Hal-hal biasa, kalau Siti fikir perlu berdiam diri, Siti akan berdiam diri sahaja, begitu juga sebaliknya.
Cara Siti melepaskan diri daripada tekanan?
SITI NURHALIZA: Shopping. Siti akan rasa puas kalau dapat pergi ke tempat yang Siti suka, akan rasa bahagia sangat. Siti suka minyak wangi dan barangan kosmetik lain, bila berada di tempat-tempat macam itu, kepala ini akan rasa lapang sangat. Beli pula satu benda yang Siti suka, walau lipstik sebatang pun, apabila balik, Siti akan rasa satu kegembiraan yang amat sangat sebab dapat apa yang Siti hendak.
Di mana Siti 10 tahun akan datang?
SITI NURHALIZA: Ketika itu umur Siti 35 tahun. Banyak kemungkinan yang akan berlaku. Kalau Siti dalam bidang seni dan tidak berumah tangga lagi, Siti mungkin akan terus pergi lebih jauh selain memastikan perniagaan Siti juga terus berkembang maju. Kalau Siti telah berkahwin, mungkin Siti akan kurangkan aktiviti nyanyian Siti dan memberi lebih tumpuan kepada keluarga.
Jika diminta berhenti, Siti akan berhenti. Tetapi kalau dia merestui dan memahami, Siti akan cuba seimbangkan antara kerjaya dengan keluarga.
Menyentuh bab jodoh. Ramai orang menilai susahnya Siti hendak pilih pasangan, dengan siapa dia hendak berkahwin. Adakah Siti juga merasakan begitu - susahnya hendak memilih jodoh?
SITI NURHALIZA: Susah sebab ramai yang takut untuk mendekati Siti. Mereka ada anggapan yang macam-macam, Siti begini, begitu. Sebenarnya, Siti boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, Siti tidak pernah memilih, tidak pernah meletakkan standard untuk berkawan dengan orang hartawan sahaja, anak raja atau berpelajaran tinggi sahaja, tidak.
Cuma untuk menjadi teman hidup atau suami, itu adalah kehidupan yang amat penting bagi Siti. Bukan perkara yang main-main. Buat masa sekarang Siti berserah sahaja.
Mungkin Siti menunggu calon pilihan keluarga?
SITI NURHALIZA: Apa-apa pun mesti perlu izin keluarga. Sama ada Siti atau keluarga pilih, perlu tanya Siti juga sebab Siti yang akan hidup dengan dia. Apa pun buat masa sekarang Siti lebih tumpu kepada kerjaya.
Pernah Siti merancang untuk melanjutkan pelajaran?
SITI NURHALIZA: Ada. Emak Siti pun pernah bercakap, selesaikan kerja-kerja ini, pergilah sambung belajar. Siti memang berminat meneruskan pelajaran, tetapi Siti perlu membuat sesuatu perancangan itu dengan baik. Siti tidak mahu kalau sudah merancang, tiba-tiba ada perkara lain yang perlu Siti selesaikan dahulu. Kalau belajar, Siti ambil bidang yang Siti ceburi. Niat itu ada cuma tinggal untuk merealisasikannya sahaja.
Siti bercakap macam orang kecewa. Ada sesuatu yang menghalang Siti daripada belajar?
SITI NURHALIZA: Bukan kecewa, cuma Siti tidak mahu mengganggu perancangan yang ada. Macam sekarang, Siti sibuk dengan persiapan konsert di Albert Hall. Memang Siti nekad akan belajar cuma sekarang faktor masa yang membataskannya.