Oleh Zin Mahmud
Wira orang Melayu ialah Hang Tuah. Siapakah wira orang Barat? Dia bukannya King Arthur atau King Richard the Lion Heart kerana kedua-duanya tidak cukup hebat.
Tokoh yang hebat dan difikirkan layak menjadi wira mereka ialah Alexander the Great, atau Iskandar Agung, yang sebahagian daripada orang Islam dan Melayu menyamakannya dengan Iskandar Zulkarnain.
Pada masa ini dunia sedang disogokkan oleh Hollywood dengan filem epik berjudul Alexander yang mengisahkan tokoh hebat ini.
Terdapatkah suatu muslihat propaganda dalam tayangan filem Alexander pada waktu ini?
Sudah pun timbul kritikan terhadap filem ini mengenai ciri-ciri yang tidak menepati sejarah. Persoalan yang timbul ialah mengapakah Hollywood memilih pelakon bagi Alexander ini berambut perang?
Dalam sejarah, Alexander berasal dari Macedonia, sebuah negara di pinggiran Yunani, yang kemudian menjadi sebahagian daripada negara itu. baik dahulu, mahupun sekarang, orang Macedonia dan Yunani tidak berambut perang. Lihatlah orang Greek ketika sukan Olimpik yang berlangsung di Athens baru-baru ini. Mereka semua berambut hitam.
Orang Eropah yang berambut perang datangnya dari bahagian utara seperti Scandinavia, Jerman dan Inggeris. Oleh kerana orang Amerika Syarikat (AS) berasal dari situ, maka banyak juga daripada mereka berambut perang, termasuk Presiden George W. Bush.
Sudah tentu timbul persoalan kemungkinan ada niat di kalangan tertentu untuk menunjukkan bahawa Alexander adalah orang Eropah. Bukan saja Eropah tetapi Barat, khususnya AS yang mendominasi dunia hari ini.
Dalam sejarahnya, Alexander sememangnya tokoh hebat yang menawan tiga benua, Eropah, Afrika dan Asia. Di Afrika, Alexander menawan Mesir sehingga menubuhkan kota Alexander atau dalam bahasa Arabnya, Iskandariah. Terhadap Asia, dia menawan Iran sampai ke India.
Tidak mungkinkah inilah yang mahu ditunjukkan oleh pihak-pihak tertentu oleh Barat. Alexander menggambarkan keagungan mereka mengatasi orang Timur.
Apa yang mereka mahu tunjukkan ialah superioriti orang Eropah di atas semua bangsa - baik Afrika mahupun Asia. Ini kerana Alexander telah menumbangkan dua kerajaan purba yang besar iaitu kerajaan Firaun Mesir dan kerajaan Parsi. Beliau juga menawan dan menjadikan Babylon sebagai ibu negaranya.
Cuba bandingkan dengan apa yang berlaku sekarang. Anggaplah Eropah itu sebagai Yunani sementara AS bagaikan Macedonia. Kini AS yang sudah mendominasi Eropah menjadi ketua bagi tamadun Barat.
Jadi kalau Alexander sebagai raja Macedonia telah memimpin Yunani berjaya mengalahkan bukan saja Parsi tetapi juga India dan Mesir, maka begitu juga dengan AS hari ini.
Gelanggang politik AS kini adalah pada wilayah yang sama dengan apa yang dilakukan oleh Alexander.
Presiden Bush telah melancar perang dan menguasai Afghanistan dan Iraq. Kedua-dua negara ini pernah ditakluki oleh Alexander. Babylon adalah kota yang terletak dalam Iraq.
Antara kerajaan yang paling teruk dimusnahkan oleh Alexander ialah Parsi. Ini kerana Parsi merupakan musuh tradisi Yunani dan kedua-dua negara sentiasa berperang di antara satu sama lain. Setelah Alexander muncul sebagai penguasa Yunani, maharaja Parsi merupakan tokoh yang paling kuat menentang Alexander.
Orang Parsi memandang rendah pada Macedonia. Walaupun Yunani merupakan tamadun purba tetapi Macedonia adalah negara yang dianggap kurang bertamadun. Sementara Alexander dipandang sebagai budak mentah berbanding maharaja Parsi.
Tetapi Alexander berjaya menundukkan mereka. Perlu diingatkan bahawa Alexander mendapat pendidikan daripada ahli falsafah ulung Yunani iaitu Aristotle.
Cuba lihat konteks global hari ini. Selepas menguasai Iraq, tekanan yang diberikan oleh AS adalah ke atas Iran. Republik Islam Iran merupakan pewaris kepada empayar Parsi purba. Tehran pula merupakan satu-satunya negara di rantau itu yang masih berani menentang AS.
Walaupun Iran merupakan sebuah negara membangun tetapi warisan tamadunnya adalah besar. Iran bukan saja pewaris kepada tamadun parsi tetapi juga setelah ditawan dan diperintah oleh Alexander dan keturunannya turut mewarisi tamadun Yunani. Tetapi tamadun Parsi amat kuat hinggakan keturunan Alexander dan tentera-tenteranya yang memerintah negara itu telah diparsikan.
Selepas beberapa ratus tahun pemerintahan keturunan Alexander, Parsi muncul kembali sebagai empayar besar. ia tidak menjadi sebahagian daripada tamadun Yunani tetapi telah diperkayakan dengan peradaban agung itu.
Apabila Parsi menjadi Islam, ia memilih mazhab Syiah dan menjadi bahagian penting dalam empayar Khalifah Abasiah yang berpusat di Baghdad. Malah tidak keterlaluan untuk dinyatakan bahawa Khalifah Abasiah adalah merupakan kerajaan Parsi. pengaruh Parsi amat besar kepada Baghdad. Ini dapat difahami kerana golongan Syiah atau pengikut Saidina Ali merupakan kumpulan kuat mendukung keluarga Bani Abas untuk menjatuhkan Khalifah Umayah yang berpusat di Damsyek.
Semasa pemerintahan Abasiah, tamadun intelektual Yunani dibawa masuk ke dalam peradaban Islam. Ketika itu Eropah di bawah kerajaan Rom Timur kurang mengendahkan tamadun intelektual Yunani.
Karya-karya besar Yunani diterjemahkan, dipelihara dan dibahaskan oleh ulama-ulama di Baghdad dan parsi. Malah Abasiah dan Parsi menjadi pewaris kepada tamadun Yunani.
Walaupun kemudian Khalifah Abasiah tumbang, tetapi kerajaan-kerajaan Syiah seperti Safawiah dan Qajar di Parsi mengukuhkan lagi kecemerlangan tamadun negara itu.
Parsi yang kemudian ditukar namanya menjadi Iran tidak pernah dijajah. AS berjaya mempengaruhi Iran hanya semasa Reza Pahlavi menjadi Syah Iran.
Setelah revolusi 1979, Tehran menjadi musuh utama AS.
Walaupun AS adalah negara paling kuat di dunia hari ini, tamadunnya masih muda. Ia merupakan serpihan daripada tamadun Eropah.
Sungguhpun AS dapat berbangga dengan kemajuan sains, teknologi dan ekonomi tetapi rasa rendah diri masih wujud apabila dibandingkan dengan pencapaian intelektual Jerman, Perancis dan Inggeris.
Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1776, AS cuba menampilkan diri sebagai penerus tamadun Barat. Justeru dari segi reka bentuk bangunan-bangunan nasional mereka seperti Capitol, mahkamah dan White House, mereka cuba meniru seni bina Yunani dan Rom. Mereka mahu menjadi penghidup semula tamadun Yunani dan Rom untuk mencapai kecemerlangan tamadun. Kalau Itali pernah membangkitkan semula tamadun Barat melalui Renaissance dengan menggali semula pemikiran Yunani, maka AS juga mahu mengikut jejak sedemikian.
Para intelektual Barat sering merumuskan bahawa tamadun mereka berasal dan berasaskan pada Yunani dan Rom. Sebab itu mereka menganggap diri mereka lebih berkedudukan tinggi. Ini kerana Yunani dipandang peradaban paling tinggi.
Tetapi pada hakikatnya tidak demikian. Tamadun Yunani mungkin hebat, tetapi begitu juga dengan Sumeria, Mesir dan Parsi. Kalau di sebelah timur, tamadun China dan India adalah juga sama hebat.
Alexander menemui perkara ini. Setelah menakluki Parsi, India, Sumeria dan Mesir, dia sedar bahawa Yunani bukan satu-satunya tamadun hebat. Tamadun bukan milik sesuatu bangsa, tetapi semua bangsa. Alexander tidak pernah mengakui dirinya maharaja Eropah atau Barat. Malah konsep Eropah juga belum wujud. Pada masa itu Eropah merupakan benua primitif.
Eropah yang menjadi wilayah tamadun Yunani hanya sebahagian kecil. Melalui pemerintahan Alexander, tamadun Yunani meliputi kawasan lebih besar di Afrika, Asia Barat dan Asia Tengah.
Malah wilayah Asia Kecil atau Anatolia yang kini menjadi Turki adalah merupakan sebahagian daripada tamadun Yunani. Malah Turki dan bukan saja Greece boleh mendakwa sebagai pewaris tamadun Yunani.
Sementara empayar Rom tidak begitu mengendahkan warisan intelektual Yunani, Khalifah Abasiah telah menyerapkannya dalam pemikiran Islam. Maka tamadun Islam juga pewaris peradaban Yunani.
Begitu juga Alexander. Adakah beliau wira Barat?
Jawabnya tidak. Alexander adalah milik Timur dan Barat. Malah dia lebih Timur daripada barat. Tetapi hakikatnya, pada zamannya konsep Barat tidak wujud. Konsep Barat hanya wujud pada zaman kolonialisme ketika mana kuasa Eroopah sedang menjajah dunia Timur.
Wilayah Asia yang berada dalam pemerintahan Alexander adalah lebih besar berbanding bahagian Eropah.
Malah setelah menjelajah dan menakluki negeri-negeri Timur, Alexander tidak pulang ke Yunani. Dia tidak menjadikan Athens sebagai ibu negara empayarnya. Ia memilih Babylon dan meninggal dunia di benua Asia juga. Alexander bukan milik Barat semata-mata tetapi juga hak timur. Beliau berkahwin dengan puteri Timur, Roxana dan keturunannya adalah orang Asia.
Bukan itu saja. Ada sebahagian orang Islam menganggap Alexander adalah Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam al-Quran. Tetapi banyak juga yang tidak menyetujuinya kerana dalam al-Quran yang disebut Zulkarnain, bermakna orang bertanduk dua adalah seorang yang penganut agama Tauhid, warak dan raja adil. Tetapi menurut sejarah, Alexander tidak sedemikian.
Persamaan Alexander dan Zulkarnain adalah pada hakikatnya kedua-duanya menakluki dan memiliki empayar luas dari Barat ke Timur.
Bagi Tun Seri Lanang, penulis kitab Sejarah Melayu, raja-raja Melayu yang mempunyai asal hingga ke Bukit Siguntang di Sumatera adalah keturunan Iskandar Zulkarnain. Ini kerana setelah Iskandar menakluki India, keturunannyalah yang memerintah negara itu. Antara keturunannya, ada yang sampai juga ke dunia Melayu. Malah itulah kaitan orang Melayu dengan Iskandar Zulkarnain, sekurang-kurangnya dalam mitos.
Jika dianggap Alexander dan Iskandar adalah orang sama, maka dia juga milik orang Melayu.
Maka sewajarnya rambut Alexander dikembalikan menjadi hitam.
Ajaran al-Quran berkaitan Iskandar Zulkarnain ialah kepentingan pemimpin yang menguasai wilayah yang luas di muka bumi harusnya bersifat warak dan adil. Apa yang menjadi kepentingan adalah keadilan dalam pemerintahan, dan bukannya kekuasaan semata-mata
Justeru yang penting bagi seseorang yang menguasai dunia bukannya terletak pada warna rambut atau warna kulit, tetapi kebijaksanaan dan keadilannya.
Kalau Bush mahu mengikut jejak langkah Alexander sebagai seorang penakluk dan penjajah, mungkin itulah sebenarnya maksud pentadbirannya dan fahaman neokonservatif.
Tetapi bagi yang mengikut ajaran al-Quran, mereka akan sentiasa menjadikan susuk Zulkarnain sebagai model ideal seorang penakluk dan pemerintah, yang bukan menjajah tetapi memberikan keadilan dan kemakmuran kepada rakyatnya.
Justeru, orang Islam di seluruh dunia harus mendepankan susuk Zulkarnain ini sebagai menyanggah Alexander yang dikemukakan oleh Hollywood, sebuah agensi propaganda politik Barat.