Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Darjat tidak datang bergolek

Written By JOM JALAN on 17/12/04 | Jumaat, Disember 17, 2004

Sistem kepimpinan beraja adalah antara sistem kepimpinan yang tertua di dunia. Sistem kesultanan juga adalah sebahagian daripada sistem berkerajaan dan budaya bernegara dalam sejarah kepimpinan Islam. Pada awal kurun ke-19, terdapat lebih 900 buah takhta kerajaan di dunia, tetapi menurun kepada 240 buah dalam abad ke-20.

Pada dekad kelapan abad ke-20, hanya 40 takhta sahaja yang masih kekal. Takhta yang kekal itu kesemuanya telah dapat menyesuaikan pendekatan dan peranan dengan corak dan bentuk berkerajaan dan bernegara dalam bentuk kontemporari - sistem berkerajaan dan bernegara yang berlandaskan prinsip perlembagaan.

Nyatalah sistem beraja telah menghadapi evolusi secara dinamik, dibina semula dan mentafsir kembali kewujudannya sejajar dengan perkembangan dunia semasa. Bahawa peranan raja pemerintah kini telah diinstitusikan secara formal. Ini membantu institusi raja kekal relevan memenuhi peranan sebagai instrumen penyatuan dalam dunia yang senantiasa berubah.

Hari ini hanya tiga negara di dunia yang masih dikuasai oleh pemerintahan Melayu. Pertama, sebuah Kesultanan di Brunei, kedua, sebuah Republik di Indonesia dan ketiga, sebuah Kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia.

Dalam konteks negara ini, sistem Kerajaan Raja Berperlembagaan adalah satu kesinambungan kepada semangat berkerajaan dan bernegara yang telah sedia berakar di bumi ini - semangat yang subur sebati di kalangan bangsa Melayu tetapi juga tidak asing kepada kumpulan etnik lain. Kaum-kaum Cina dan India turut mempunyai sejarah yang lama lagi panjang dengan budaya kepimpinan berasaskan raja.

Sesungguhnya institusi raja adalah sebahagian daripada budaya warisan bangsa Melayu dan warga Malaysia.

Paduka ayahanda beta, Paduka Seri Sultan Azlan Shah dalam pidato Baginda ketika dianugerahkan Ijazah Doktor Persuratan (Kehormat) oleh Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, telah menzahirkan kata-kata berikut:

``Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat dan resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu beringat, dan jika kita tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian.

``Dalam konteks ini Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak Kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah oleh Portugis dalam tahun 1511. Perkataan `Negeri-Negeri Melayu Bersekutu' dan `Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu' dan `Persekutuan Tanah Melayu' masih wujud dalam undang-undang kita.

Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan Kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu.

``Perkataan `Malaysia' itu sendiri pun mempunyai erti Melayu dalam erti `Melayu Raya'. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-Negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.''

Secara tersirat, pengekalan institusi raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan Melayu di tanah air warisan bangsa. Atas fahaman tersebut, Tunku Abdul Rahman (Almarhum) ketika merangka formula membentuk kerajaan, mengasaskan sistem berkerajaan dan bernegara atas landasan yang menggabungkan institusi raja dan institusi rakyat. Konsep Raja Berperlembagaan memberikan wajah baru kepada institusi yang telah lama berakar di bumi ini.

Formula yang dipilih oleh Tunku Abdul Rahman, sebenarnya berpegang teguh kepada semangat permuafakatan yang sekian lama termeterai antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun - satu kontrak sosial antara raja dengan rakyat serta rakyat dengan taja. Satu ramuan persefahaman yang menjalin talian hubungan lalu membina rangkaian kerja yang harmonis lagi seimbang.

Perlembagaan Merdeka digubal berlatarbelakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu. Dalam luapan semangat menuntut kemerdekaan, orang Melayu merasa tergugat akan kedudukan mereka dalam entiti politik di sebuah negara yang komposisi warganya bukan sahaja terdiri daripada pelbagai kaum dan agama juga mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

Tergugat

Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum-kaum lain. Bahawa orang Melayu memerlukan satu jaminan yang meyakinkan; bahawa kedudukan mereka sebagai rakyat pribumi tidak terancam dan tidak tergugat. Faktor-faktor agama, bangsa, bahasa dan budaya di samping taraf pencapaian sosioekonomi merupakan komponen penting yang mempengaruhi jiwa dan pemikiran bangsa ketika itu.

Kebimbangan orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan di dalam Perlembagaan, klausa-klausa tertentu menyentuh agama Islam, institusi raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu. Takrif bangsa Melayu diperkemas, diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Perlembagaan Merdeka telah memperkukuhkan kedaulatan raja-raja dengan memaktubkan secara tersurat klausa-klausa berhubung raja.

Di samping mengekalkan tradisi kesultanan di peringkat negeri, satu lapisan sistem beraja di peringkat persekutuan telah diperkenalkan sekali gus mengangkat institusi raja ke altar yang lebih tinggi.

Keyakinan bangsa diperkukuhkan apabila diperkenalkan konsep Ketua Negara - dikenali sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan hanya boleh diisi daripada kalangan raja-raja Melayu. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah institusi yang mewakili raja sementara rakyat diwakili oleh institusi Parlimen. Lalu terbinalah sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Institusi raja diberikan peranan penting sebagai pelengkap untuk memenuhi aspirasi bangsa - untuk menangani kegelisahan rakyat.

Institusi raja berupaya memberikan satu keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa dan melakukan keadilan kepada warga keseluruhannya. Institusi raja menjadi lambang penyatuan dalam kepelbagaian.

Adalah hakikat yang tidak dapat disanggah bahawa bumi ini adalah bumi Melayu pada asalnya, bumi yang telah mencipta satu tamadun - membina satu budaya bangsa yang dikenali sebagai Melayu. Namun realiti juga tidak membolehkan bumi ini secara eksklusif milik bangsa Melayu.

Komposisi rakyat Malaysia kini terdiri daripada warga pelbagai kaum - pelbagai agama. Raja bertanggungjawab memberi naungan kepada setiap warga yang memperlihatkan kesetiaan kepada negara serta bersedia menerima hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik berteraskan Melayu.

Raja juga telah dimaktubkan sebagai ketua agama Islam. Peranan ini telah diwarisi sejak era Kesultanan Melayu Islam dan tidak pernah dipindahkan bidang kuasanya. Islam adalah petunjuk moral kepada pemerintahan yang harus diterjemahkan melalui sifat adil lagi saksama, tidak melakukan kezaliman - tidak melakukan penindasan - nilai yang sejagat sifatnya - nilai yang terkandung dalam semua agama.

Ajaran Islam begitu sebati dengan institusi Kesultanan Melayu kerana telah sedia terkandung perselarian nilai dan amal yang dianjurkan oleh Islam dalam sistem pemerintahan di era Kesultanan Melayu. Undang-undang Melaka umpamanya menjelaskan bahawa martabat tinggi seseorang sultan itu dinilai dari sudut amal makruf baginda menyempurnakan tanggungjawab.

Keyakinan rakyat terhadap institusi raja terbina hasil daripada kebijaksanaan institusi berkenaan memenuhi pengharapan rakyat. Dalam memenuhi peranan raja telah secara bijaksana berjaya memahami denyut nadi dan denyut jantung rakyat yang berada di bawah naungan terutama perkara-perkara yang dianggap tidak membawa kebaikan kepada anak bangsa dan anak negeri.

Raja-Raja Melayu mengikuti secara dekat perkembangan yang berlaku bukan sahaja di negeri masing-masing malah di dunia luar. Dasar British yang membuka secara luas kepada para pelabur asing dan kemasukan imigrasi pelbagai bangsa sejak kurun kesembilan belas sehingga pertengahan kurun kedua puluh, dilihat sebagai pencabar utama kepada ketuanan Melayu.

Raja-Raja Melayu pernah menzahirkan kebimbangan terhadap pelantikan Sir Henry Gurney sebagai Pesuruhjaya di Tanah Melayu pada tahun 1948 berasaskan kebimbangan Duli-Duli Tuanku itu terhadap apa yang dilakukan oleh Henry Gurney ketika bertugas sebagai Setiausaha Negara di Palestin terhadap penduduk Arab. Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950, menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.

Dalam pada itu, amalan kesaksamaan kepada rakyat pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa adalah sebahagian daripada sifat dan citra raja Melayu. Kesultanan Melayu Melaka mengiktiraf bahawa kemajuan, kemakmuran, perkembangan intelek sesebuah negara bangsa harus didukung bersama antara pembesar istana, dagang dan senteri serta rakyat jelata baik daripada anak negeri mahupun oleh orang luar. Kerana itu Kesultanan Melayu Melaka mengamalkan dasar perdagangan terbuka lagi bebas dan menggalakkan berlakunya perkembangan intelek dan keilmuan asalkan raja, adat resam dan undang-undang Melaka dihormati.

Dalam usaha memperkukuh identiti bangsa, jaminan-jaminan yang termaktub dalam perlembagaan tidak membawa erti tanpa didukung dengan rangka kerja strategik dan usaha pelaksanaan secara bersungguh. Kerana itu selepas 12 tahun mencapai kemerdekaan kerana kelekaan dalam melaksanakan program pengukuhan bangsa - negara bergolak.

Peristiwa 13 Mei 1969 adalah letusan reaksi bangsa kepada keadaan ketidakseimbangan dalam agihan hasil kemakmuran selepas negara mencapai kemerdekaan. Kepimpinan politik negara terkejut - disedarkan daripada mimpi riang kemerdekaan. Rangka kerja baru diperkenalkan melalui program Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengimbangkan agihan kekayaan di kalangan warga.

Maruah

Pengukuhan identiti menuntut kepada satu tahap piawaian pencapaian yang tinggi - melibatkan isi - melibatkan kualiti - melibatkan kompetensi - melibatkan produktiviti. Bangsa dituntut mencatat prestasi pencapaian yang boleh dijadikan mercu kebanggaan dengan menjelmakan barisan bangsa yang berupaya berdiri tegap di bumi. Bangsa perlu disemai jati diri yang sejati - punya maruah - punya harga diri, tidak boleh dijual beli - tidak mungkin boleh tergadai.

Bangsa kini bagaikan lemas menghadapi sistem nilai - bagaikan tergoyang menghadapi godaan kebendaan. Semangat bangsa bagaikan rapuh dalam menghadapi kekencangan angin globalisasi. Bangsa bagaikan tidak konsisten antara ungkapan dengan perbuatan - antara kalam di lidah dengan bisikan di hati.

Kukuh atau lemahnya bangsa bergantung kepada bangsa itu sendiri. Allah telah berfirman bahawa nasib sesuatu bangsa itu ditentukan oleh bangsa itu sendiri. Jangan disalahkan ibu mengandung ketika bangsa kembali gusar. Bangsa perlu melakukan perekayasaan (reengineering) minda. Minda perlu diperkukuhkan dalam menghadapi gelombang globalisasi. Bangsa harus bangun dengan azam - dengan tekad, secara jujur - secara ikhlas melahirkan lebih ramai pendekar bersemangat Hang Tuah untuk menghadapi era globalisasi yang menuntut kepada daya saing.

Hang Tuah adalah pendekar Melayu yang membina kekuatan sendiri sebelum mendapat pengiktirafan raja. Bersandarkan kekuatan yang sedia terbina, diperlengkapkan dengan pengiktirafan raja, Hang Tuah berupaya bersaing di peringkat serantau dan di peringkat global baik secara fizikal, baik dari sudut spiritual - demikian jua di peringkat intelek mahupun dalam muslihat. Hang Tuah bernaung di bawah payung raja tetapi tidak selamanya berteduh di bawah payung kerana takut dibakar panas - kerana bimbang dibasahi hujan.

Kekuatan Hang Tuah tidak luntur ketika dimurkai sultan sewaktu membawa diri bersembunyi di Hulu Melaka. Malah dalam saat pahit dan getir, Hang Tuah tidak sama sekali tergoyang dari semangat kesetiaan kepada bangsa, raja dan negara. Hang Tuah cekal dan kekal dengan kesetiaan kepada perjuangan baik di masa senang begitu juga di masa susah.

Kejayaan Hang Tuah dilandaskan kepada disiplin _ dibina atas kesungguhan - diperkukuhkan dengan kecekalan - diperhebatkan dengan kearifan. Hang Tuah tekad melaksanakan tugas atas nama raja - atas nama negara - atas nama bangsa.

Hang Tuah cekal menuntut ilmu - tekun mengharungi pengalaman, melengkapkan diri dengan kekuatan zahir dan kekuatan batin - kekuatan akal dan kekuatan dalaman. Hang Tuah tidak membina kekayaan diri dan kekayaan keluarga. Hang Tuah adalah lambang kekuatan - lambang kesetiaan kepada perjuangan.

Bangsa perlu mengambil pengajaran. Cabaran ekonomi dunia berpaksikan pengetahuan memerlukan bangsa menumpukan agenda pengisian minda dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran. Mengutamakan ilmu dan mementingkan pengetahuan adalah sebahagian daripada budaya Melayu.

Sejarah menunjukkan bahawa darjat dan daulat seseorang raja di zaman silam, disandarkan kepada kebijaksanaan raja menguasai ilmu, hingga membolehkan raja melaksanakan pemerintahan dengan arif lagi bijaksana.

Istana

Istana berperanan besar mengembangkan ilmu dan pengetahuan, melahirkan cendekiawan dan pendeta. Istana merupakan gedung khazanah ilmu dan pusat perkembangan ilmu, tempat cerdik pandai dipilih untuk diberikan tanggungjawab utama, berkhidmat membantu raja melaksanakan urusan negeri. Istana merupakan tempat terkumpulnya ulama dan ilmuwan.

Kerana itu raja sangat menyedari akan kepentingan peranan ilmu dan pengetahuan untuk mengupayakan sistem berkerajaan dapat berfungsi secara cekap lagi berkesan. Membangunkan institusi ilmu adalah antara perkara yang diberikan perhatian oleh raja.

Penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar, Kolej Tunku Kursiah, Sultan Idris Training College, adalah hasil daripada tuntutan raja-raja. Tabung pendidikan dan tabung biasiswa ditubuhkan di setiap negeri atas titah Raja-Raja.

Perhatian berat raja-raja terhadap pendidikan begitu ternyata apabila Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Kelantan, Perlis, Pahang, Selangor berserta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Pemangku Raja Johor, serta Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu, mencemar duli berangkat ke Raffles College di Singapura untuk menyaksikan acara bersejarah penubuhan Universiti Malaya pada 8 Oktober 1949.

Bangsa yang telah kukuh identitinya akan menjadi lebih yakin - lebih bersedia - lebih berani menghadapi persaingan. Kekuatan dalaman akan mengupayakan bangsa sampai ke tahap jatuh ke tanah menjadi bukit - jatuh ke air menjadi pulau. Bangsa yang kekuatannya berupaya mencipta kejayaan, tentunya tidak lagi dipandang rendah.

Ketika itu klausa-klausa yang terkandung dalam perlembagaan berhubung kedudukan istimewa bangsa serta naungan institusi raja hanyalah berfungsi sekadar supplement kepada batang tubuh yang sedia sihat dan kuat. Ingatlah! Kekuatan bangsa tidak boleh dibina semata-mata dengan supplement.

Bahawa pendekatan yang menekankan kepada pergantungan supplement akan hanya membina kekuatan palsu. Dibimbangkan batang tubuh akhirnya bertambah lemah kerana berlakunya sindrom pergantungan.

Kegagahan Hang Tuah tidak bergantung semata-mata kepada kesaktian `Taming Sari' kerana Hang Tuah adalah `Hang Tuah' dan `Taming Sari' hanya berperanan mengesaktikan batang tubuh yang telah sedia kuat.

Program mengilmukan bangsa perlu diberikan fokus. Institusi pendidikan baik yang dilaksanakan oleh kerajaan mahupun swasta, baik aliran kebangsaan mahupun aliran agama hendaklah menekankan aspek kualiti.

Kurikulum perlu digubal untuk memenuhi keperluan semasa. Kini dunia berada dalam era teknologi maklumat dan komunikasi. Institusi pendidikan adalah tapak semaian pembangunan minda dan pembangunan intelek.

Bahawa usaha membangunkan anak bangsa itu adalah satu perjuangan. Tumpuan sepenuhnya hendaklah dijurus kepada penekanan kualiti. Prasarana pendidikan dari segi lokasi, saiz, tenaga penggerak dan tenaga akademik hendaklah dibangunkan berasaskan penilaian yang selaras dengan matlamat mencapai kualiti. Anak-anak didik tidak harus dijadikan bahan eksperimen dan mangsa kepada muslihat-muslihat lain.

Isu integrasi adalah isu nasional yang perlu didukung oleh setiap lapisan rakyat daripada pelbagai kaum dan pelbagai fahaman politik. Perpaduan warga perlu dibina daripada dalaman hingga tersemai rasa saling mempercayai - saling memahami - saling menghormati antara kaum. Warga yang berpadu lagi bersatu adalah aset penting untuk membantu membina sebuah negara maju yang stabil lagi makmur.

Kekuatan bangsa hari ini kelihatan terlalu bergantung kepada kekuatan politik. Kekuatan politik dalam sistem demokrasi boleh sementara sifatnya. Kekuatan politik boleh terancam jika berlakunya terlalu banyak pertelingkahan yang bukan sahaja tercetus di antara parti-parti politik Melayu malah turut berlaku dalam sesebuah parti.

Kekuatan politik akan berada dalam zon yang lebih membahayakan jika kuasa politik boleh dibeli dengan wang dan ringgit. Akan tergadailah prinsip dan matlamat perjuangan bangsa jika kuasa politik sudah boleh diperdagangkan.

Bahawa politik negara masih belum dapat dibebaskan daripada sentimen perkauman. Isu perkauman masih timbul, masih digunakan oleh sesetengah pihak bagi meraih keuntungan politik. Isu agama turut diheret dalam gelanggang politik sebagai usaha mencari pengaruh. Setiap satunya ini akan senantiasa menjadi ancaman kepada usaha memperkukuh identiti bangsa dan memperteguh perpaduan warga.

Dalam dinamik politik yang sedang berlaku, bertambah penting bagi raja-raja untuk berada di atas segala yang sedang berlaku - bersifat berkecuali supaya dalam keadaan berlakunya krisis, institusi raja dapat memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan. Sebagai payung negara, institusi raja perlu memberi naungan secara saksama kepada setiap warga.

Sebagai Ketua Agama Islam dan pelindung kepada adat Melayu, institusi raja bertanggungjawab memastikan kesucian agama tidak tercemar dan identiti bangsa kekal dilindungi. Untuk memenuhi peranan sedemikian, payung tersebut yang menjadi lambang kedaulatan negara perlu dijaga secara baik.

Atas semangat memelihara lambang kedaulatan negara, Hang Tuah memilih untuk mengorbankan sahabat kesayangannya walau dituduh melakukan kesetiaan melulu. Hang Tuah tidak sekadar membunuh Hang Jebat tetapi menentang satu penderhakaan - menentang perebutan kuasa.

Hang Tuah bukan sekadar mempertahankan seorang Raja tetapi mempertahankan lambang negara kepada sebuah kerajaan demi memastikan bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia. Tanpa kerajaan apalah ertinya lagi sebuah negara.

Muzium

Beta senantiasa mengambil ingatan dan menjadikan pedoman ungkapan titah paduka seri ayahanda beta, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sewaktu Baginda dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1975; ``Bahawa selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap raja dan menghormati institusi beraja, selagi itulah takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium.''

Baginda juga memperingatkan bahawa takhta juga tidak boleh lari dari hukum Allah, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira raja atau rakyat.

Beta senantiasa insaf bahawa kekuatan serta kelemahan, citra dan daulat raja-raja bergantung pada citra serta keutuhan raja-raja Melayu. Penghormatan dan kemuliaan kepimpinan diraja berlaku secara dua hala, bahawa raja adil - raja disembah.

Pendemokrasian pendidikan telah melahirkan masyarakat lebih terbuka. Rakyat semakin terdedah dengan sumber maklumat dan berada dalam kedudukan yang berupaya membuat penilaian terhadap Institusi Raja.

Beta amat insaf bahawa raja dan kerabat diraja hari ini tidak lagi bersemayam secara isolasi dalam batasan perkarangan istana. Melalui pendedahan pendidikan berserta pendedahan kepada teknologi maklumat dan komunikasi, raja sama berpeluang mengikuti pelbagai peristiwa secara langsung tanpa tapisan. Perhubungan rakyat dengan raja tidak lagi terbatas kepada sekumpulan pembesar istana. Ia adalah satu perkembangan sihat membolehkan raja memahami realiti, bahawa darjat dan daulat seseorang raja tidak akan bulat datang menggolek - tidakkan pipih datang melayang. Raja perlu membuktikan satu tahap pencapaian, mempamerkan perilaku dan keperibadian yang sejajar diberikan kemuliaan.

Beta mengambil pengajaran bahawa takhta yang kini tinggal dalam sejarah adalah kerana salah nasihat yang diberi oleh pembesar-pembesar istana yang tidak bertanggungjawab, yang menyalahgunakan nama mulia seseorang raja.

Mereka mencari keuntungan bagi kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan kepentingan negara. Sejarah juga merakamkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sering kali dilakukan oleh pembesar-pembesar atas nama takhta secara mengambil kesempatan berteduh di bawah payung kuasa dan naungan takhta.

Kekuatan dan kelemahan seseorang raja bergantung kepada kelemahan dan kekuatan rakyat terutama di kalangan yang diberi amanah menjadi pembesar dan penasihat kepada raja.

Hubungan raja, pembesar, pemimpin dan rakyat perlu dibina secara sihat, disuburkan melalui hubungan komunikasi yang berkesan. Beta yakin jika jambatan komunikasi yang kukuh dapat dibina, persefahaman dapat diluaskan dan hubungan baik dapat diakrabkan dan raja dapat berfungsi secara bijak lagi saksama.

Dalam merumuskan keputusan, raja bergantung kepada fakta dan maklumat yang disembahkan. Raja tidak berupaya melakukan yang terbaik dan yang paling bijak jika tidak disembahkan dengan nasihat yang betul dan maklumat yang tepat, jika terus dipagari dengan budaya kepura-puraan.

Oleh itu amatlah penting untuk raja disembahkan pandangan secara tepat, secara objektif berlandaskan kebenaran dan fakta.

Adalah penting untuk barisan yang dipertanggungjawabkan menasihati raja bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar supaya raja tidak dibuai dalam khayalan dan tidak diulit dengan gurindam pujian.

Bapa kepada raja adalah syariat ajaran Rasul

Ibu kepada raja adalah adat dan undang-undang

Saudara kepada raja adalah segala menteri besar dan kecil

Anak kepada raja adalah segala rakyat jelata

Bahawa raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak

Tidak diutamakan oleh raja atas kepentingan lain melainkan rakyat jelata

Malah ungka si amang di hutan jua adalah di bawah jagaan raja

Menjalankan pemerintahan dengan adil

Memelihara agama - Menjamin keamanan

Menunaikan kewajipan dengan penuh iltizam

Jika raja gagal menjunjung kebenaran ini

Maka hancur musnahlah negara

Semoga Raja Kita Selamat Bertakhta.