Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Binaan rumah ibadat lebih kukuh

Written By JOM JALAN on 11/01/05 | Selasa, Januari 11, 2005

Forum

Binaan rumah ibadat lebih kukuh
Saudara Pengarang,
SESUNGGUHNYA bencana tsunami yang melanda kawasan Asia pada 26 Disember lalu banyak memberikan pengajaran kepada mereka yang mampu berfikir secara rasional. Dalam al-Quran ada banyak ayat-ayat yang dimulai dengan ``tidakkah engkau berfikir?'' Oleh itu ternyata Allah menghendaki kita menggunakan pemikiran apakah implikasi di sebalik musibah tersebut.

Dari gambar-gambar yang disiarkan melalui akhbar terhadap kerosakan di Aceh di dapati ada banyak terdapat masjid yang terselamat dari ombak besar itu misalnya masjid Baiturahman di Banda Acheh. Begitu juga ada masjid-masjid lain yang tidak terjejas walaupun kawasan di sekitarnya menjadi `padang jarak padang tekukur'. Akibatnya ramailah yang menganggap masjid itu sebagai Rumah Allah dan Allah telah menyelamatkan rumah-Nya.

Secara logiknya kalau kita bersedia menggunakan pemikiran yang rasional kita tentu tertanya-tanya juga tentang beberapa kejadian lain yang serupa. Misalnya di Sri Lanka terdapat beberapa buah kuil Hindu yang tidak terjejas; di Thailand ada pula Wat Siam yang turut tidak diganggu oleh ombak tsunami dan di beberapa tempat lain ada patung Buddha dan salib Kristian serta gereja yang juga terselamat walaupun kawasan sekelilingnya rosak teruk.

Semua binaan-binaan itu terletak dekat dengan pantai. Kita tentu akan tertanya-tanya apakah kuil Hindu, patung Buddha dan gereja itu juga sebagai rumah Allah dan Allah menyelamatkan rumah-Nya ?

Kalau kita bersedia melihatnya secara yang lebih terperinci kita akan dapati bahawa struktur binaan rumah-rumah ibadat tersebut didirikan dalam bentuk yang lebih kukuh daripada binaan rumah-rumah di sekitarnya. Masjid Baiturahman di Aceh itu misalnya sudah lebih dari 700 tahun dibina.

Ternyata struktur pembinaannya sangat teguh untuk menghadapi ombak yang sangat besar itu. Begitu juga rumah-rumah ibadat agama lain yang turut tidak terjejas. patung Buddha itu terselamat kerana ia dibuat daripada konkrit atau logam yang sangat berat dan teguh. Oleh itu memang wajar kalau binaan-binaan tersebut tidak menghadapi kerosakan bila ombak tsunami melanda. Ternyata bukan masjid saja yang terselamat.

Marilah kita membuka mata dan bersedia melihat suasana di keliling kita dengan menggunakan pemikiran yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita sebaik mungkin. Janganlah kita hanya melihat apa yang ada di kawasan kita saja tanpa mempedulikan tempat lain.

Sesungguhnya Islam itu rasional dan Allah s.w.t. tidak menyuruh hamba-Nya berfikiran subjektif sehingga menjadi jumud dan tidak bersedia berkongsi pengalaman dengan orang asing yang tidak sehaluan dengan kita. Subhanallah. - HAMBA ALLAH RASIONAL, Nashville, Amerika Syarikat.