Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 11/01/05 | Selasa, Januari 11, 2005


Sekolah masih dipenuhi pelarian
ACEH BESAR 10 Jan. - Sekolah mula dibuka semula di seluruh kawasan yang dilanda tsunami di Aceh hari ini tetapi ramai pelajar yang masih dihantui bencana itu menjauhkan diri dari pekarangan sekolah yang dipenuhi pelarian.
Sebilangan pelajar yang hadir meninggalkan kelas-kelas biasa untuk menyertai majlis membaca doa beramai-ramai.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan separuh daripada 104,000 korban di Sumatera adalah kanak-kanak.
Gegaran-gegaran susulan berikutan gempa bumi 9.0 pada skala Richter pada 26 Disember lalu menakutkan mangsa yang terselamat dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memulihkan keadaan terutamanya bagi kanak-kanak.
``Dengan membuka semula sekolah, kami hanya cuba menceriakan kanak-kanak. Mereka dalam keadaan sangat bersedih,'' kata Guru Besar Sekolah Rendah Guegajah, Sutrisni di Aceh Besar, tiga kilometer ke barat Banda Aceh.
Hanya separuh daripada 130 pelajar di sekolah itu berhimpun di dalam dua bilik darjah yang tidak diduduki oleh keluarga-keluarga yang hilang tempat tinggal.
Pelajar beruniform itu yang disertai oleh kira-kira 60 anak pelarian membaca ayat-ayat suci al-Quran.
Guru akan kembali mengikuti kurikulum kerajaan dalam masa beberapa minggu akan datang, kata Sutrisni.
``Hari ini kami hanya mengajar mereka membaca doa pada waktu sukar ini,'' katanya.
Kerajaan hari ini menyatakan sejumlah 420 buah sekolah musnah dan 1,000 orang guru terbunuh di Aceh. - AP