Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Written By JOM JALAN on 11/01/05 | Selasa, Januari 11, 2005


Tsunami: Zulkifli sebak terima bantuan RM100,000
BALIK PULAU 10 Jan. - Zulkifli Mohd. Noor, yang kehilangan lima orang anak sekelip mata dalam tragedi ombak besar tsunami tidak dapat menahan rasa sebak dan hiba sebaik sahaja menerima bantuan ehsan wang tunai berjumlah RM100,000 hari ini.
``Saya tak mahu sikit pun duit ini, (sebaliknya) saya akan berikan (peruntukan) kesemuanya untuk dua orang lagi anak saya yang tinggal demi masa depan mereka.
``Terima kasihlah kepada kerajaan,'' kata pemandu bas kilang berusia 42 tahun itu dalam nada suara tersekat-sekat ketika ditanya pemberita mengenai wang yang diterimanya dari Tabung Bantuan Mangsa Tsunami Malaysia itu.
Zulkifli sebelum itu menerima akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM100,000 daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis penyampaian bantuan wang ehsan kepada waris 36 lagi mangsa tsunami yang turut terkorban.
Majlis yang diselubungi kesedihan di kalangan mereka yang hadir itu berlangsung di Dewan Perda, Teluk Kumbar di sini petang ini, sejurus selepas Najib pada sidang akhbar di Kuala Lumpur mengumumkan bantuan sebanyak RM20,000 untuk setiap mangsa yang terkorban akibat bencana itu.
Dalam tragedi 26 Disember lalu, Zulkifli dan isterinya, Jamilah Majid, 39, tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan lima daripada tujuh anak mereka setelah dipukul dan dihanyutkan ombak besar ketika berkelah di Pantai Pasir Panjang, Pulau Betong di sini.
Walaupun pasangan itu cuba menyelamatkan anak mereka, namun ombak besar secara tiba-tiba itu menyebabkan mereka hanya mampu melihat kelima-limanya hilang dibawa arus.
Lima anak Zulkifli yang terkorban ialah Siti Nurain, 17, Mohd. Shukri, 12, Siti Nur Shuhada, 10, Siti Nur Atikah, 9 dan Siti Suraya, 5.
Anak yang terselamat ialah Siti Fairuz, 16, dan Siti Zulaikha, 1.
Zulkifli turut kehilangan anak saudaranya, Erdawati Shamimi, 23, dalam kejadian itu, yang hamil enam bulan.
Pihak media yang menemu bual Zulkifli selepas majlis petang ini tidak sanggup meminta beliau meneruskan komennya berikutan keadaannya yang terlalu sebak.
Pemandu bas kilang itu juga kelihatan masih belum pulih dari kecederaan di bahagian pinggang yang dipercayai dialaminya ketika berhempas-pulas untuk menyelamatkan anggota keluarganya dalam kejadian tersebut.