Written By JOM JALAN on 11/01/05 | Selasa, Januari 11, 2005
ANDA ACEH 10 Jan. - Lebih 200 anak-anak yatim Aceh mangsa tsunami yang mengorbankan ibu bapa mereka di dua pusat perlindungan di sini sedang menghadapi krisis kebuluran.
Anak-anak itu yang berusia antara setahun dan 13 tahun, hanya menjamah makanan dua kali sehari iaitu roti pada pagi dan nasi pada petang.
Pada malam, mereka terpaksa berlapar. Ramai yang menangis, tetapi rumah kebajikan itu tidak boleh berbuat apa-apa. Bekalan makanan amat terhad.
Kanak-kanak itu yang kelihatan masih keliru kerana kehilangan sanak saudara dan orang yang paling dikasihi, buat masa ini berada dalam lindungan Pesantren Babul Maghrifah dan Babul Najah di Cot Keueung, Kuto Baro di sini.
``Jika kami tidak mendapat bekalan makanan dan kelengkapan memasak selewat-lewatnya minggu depan, anak-anak yatim ini akan kebuluran.
``Sekarang pun bekalan kami semakin berkurangan,'' kata Timbalan Pengurus kedua-dua pesantren tersebut, Umi Sapura Abu Bakar dalam nada sebak kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak pengurusan pesantren (madrasah) bagi mendapatkan bekalan makanan dan peralatan memasak daripada pasukan bantuan, namun segala-galanya tidak berhasil.
Ini berpunca daripada kerenah birokrasi di pusat pengumpulan dan pengedaran makanan di Pengkalan Udara Sultan Iskandar Muda Blang Bintang.
Utusan Malaysia difahamkan bukan sahaja kedua-dua pesantren itu, malah beberapa penempatan mangsa tsunami yang mempunyai anak-anak yatim turut menghadapi pelbagai masalah termasuk terpaksa berasak-asak dalam khemah yang sempit.
Umi Sapura membuat kenyataan itu bukan sekadar rekaan tetapi ia adalah fakta dan ini terbukti apabila beras seberat 70 kilogram yang diserahkan oleh wakil kerajaan Malaysia kepada mereka semalam sudah habis dimasak kepada anak-anak yatim itu.
Menurut Umi Sapura, bekalan makanan di situ bukan sahaja untuk anak-anak yatim tersebut malah untuk hampir 3,000 lagi mangsa tsunami yang turut berlindung di kedua-dua pesantren berkenaan selepas kehilangan tempat tinggal berikutan bencana itu.
``Kami sudah berusaha sedaya-upaya untuk mendapat bekalan makanan daripada pasukan bantuan tetapi semua gagal, kesudahannya anak-anak yatim semakin kelaparan kerana kita terpaksa mengurangkan jumlah makan seharian,'' katanya.
Ketika masalah makanan masih menghantui pesantren itu, anak-anak yatim berkenaan berhadapan dengan satu lagi keadaan apabila pihak berkuasa tidak menyediakan sebarang khemah untuk mereka, akibatnya kesemua mereka terpaksa berhimpit-himpit dalam bilik asrama yang ruangnya terlalu sempit.
Bilik yang pada asalnya hanya layak diduduki oleh enam orang kini didiami oleh 12 orang dan mereka juga tidak menukar pakaian sejak hari pertama memasuki pesantren itu pada 27 Disember lalu.
Lebih menyedihkan mereka tidur tanpa tilam, bantal mahupun selimut. Apa yang ada pada mereka hanyalah baju yang dipakai dan diganti sejak dua minggu lalu. - Utusan