`Kekebalan' masjid kebesaran Tuhan
Oleh Siti Mariam Md. Zain
KEBESARAN Tuhan! Itulah hakikat yang dapat dilihat di sebalik kehancuran ketamadunan manusia akibat tragedi tsunami yang menyerang dunia khususnya negara-negara Asia pada 26 Disember lalu.
Biarpun di kawasan yang ditimpa bencana, hampir seluruh bandarnya musnah dan ratusan ribu nyawa terkorban, namun masjid-masjid masih berdiri megah.
Lebih menakjubkan, ada di antaranya seolah-olah langsung tidak disentuh walaupun banyak bangunan di sekelilingnya runtuh menyembah bumi sekelip mata.
`Kekebalan' masjid-masjid berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada ratusan ribu mangsa untuk berlindung, malah menginsafkan mereka yang masih hidup.
Keadaan yang sama juga berlaku di Turki dan Iran (Bam) tahun lalu apabila masjid yang terlibat dalam gempa bumi tetap utuh.
``Itulah kebesaran dan keagungan Allah subhanahu wa taala. Dia mampu melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya,'' kata Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.
Walaupun wujud dakwaan mengatakan kemusnahan yang diturunkan itu mempunyai kaitan dengan kejahatan yang dilakukan oleh manusia, tetapi perkara itu hanya Tuhan yang lebih mengetahuinya.
``Apa sahaja bencana yang berlaku merupakan ujian Allah.
``Sama ada mereka membuat dosa atau tidak, kalau Tuhan hendak menurunkan bencana atau bala, Dia akan melakukannya.
``Maknanya setiap manusia tidak akan terlepas daripada melalui ujian tidak kira dalam apa sahaja bentuk,'' katanya.
Dalam soal ini jelas Harussani, Tuhan tidak menetapkan untuk menurunkan bala hanya kepada umat manusia yang terlupa kepada tanggungjawab mereka sahaja.
``Bagi orang yang beriman, mereka akan mati syahid dan masuk syurga tetapi kepada yang melakukan dosa, tempat mereka ialah di neraka,'' kata beliau lagi.
Menurut Harussani, keadaan itu sama seperti melihat masjid-masjid yang terselamat daripada bencana.
``Ada juga masjid yang musnah apabila ditimpa bencana. Kemusnahannya mungkin kerana ia didirikan atas sebab-sebab tidak baik seperti untuk menunjuk-nunjuk atau angkuh dan sebagainya,'' jelasnya.
Tambah beliau, kesan daripada bala yang diturunkan oleh Tuhan sebenarnya adalah terhadap manusia yang masih hidup.
``Sebab itu adalah wajib bagi kita menghulurkan bantuan untuk mengembalikan semula kehidupan normal mereka,'' katanya.
Sesungguhnya banyak kejadian yang boleh dijadikan iktibar kesan daripada peristiwa mengejutkan dunia itu.
Kemusnahan yang menimpa Banda Aceh, iaitu tempat paling teruk menerima tamparan tsunami, juga tidak menunjukkan kesan ada masjidnya yang rosak teruk.
Ombak besar yang memusnahkan beratus-ratus rumah di Kampung Kaju yang terletak berhampiran kawasan itu, hanya menyebabkan masjidnya mengalami keretakan kecil di bahagian dinding.
Keadaan yang sama berlaku di Pasi Lhok, kira-kira 20 kilometer dari utara bandar Sigli apabila penduduk di lima buah kampung terpaksa mendapatkan perlindungan di masjid setelah bangunan lain musnah.
Di Sigli sendiri, sebuah masjid yang hanya didirikan daripada kayu juga terselamat.
Begitu juga masjid-masjid di Meulaboh yang terletak di pantai barat Sumatera.
Jarak yang hanya kira-kira 150 kilometer dari pusat gempa bumi dan mengorbankan sekurang-kurangnya 10,000 nyawa, tidak menggugat masjid-masjid di kawasan itu.
`Kehebatan' masjid-masjid yang mampu melawan serangan ganas tsunami menyebabkan ia kini dijadikan tempat perlindungan dan berurusan masyarakat tempatan.
Bahkan Masjid Baiturrahman iaitu masjid utama di Banda Aceh sendiri telah berubah sebagai `rumah sementara' paling selamat bagi mangsa-mangsa tsunami.
Dalam al-Quran, kisah rumah Allah dilindungi bencana berlaku pada zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
Gabenor Parsi, Abraha yang memerintah Yaman datang bersama tentera bergajah untuk menghancurkan Kaabah ketika itu.
Bagaimanapun pada masa yang sama, Allah telah mengerahkan burung Ababil menyerang tentera-tentera Abraha sebelum mereka dapat menghampirinya.
Di Aceh sahaja, lebih 100,000 penduduknya terbunuh akibat tsunami setakat ini.
Sejarah mencatatkan, Aceh sebenarnya mempunyai latar belakang yang amat rapat dengan kegemilangan Islam itu sendiri.
Dikenali sebagai Serambi Mekah, di situlah bermulanya Islam di rantau ini.
Indonesia pula adalah negara yang mempunyai paling ramai umat Islam di dunia.
Menyaksikan begitu banyak kejadian luar biasa sejak akhir-akhir ini, termasuk perang yang tidak berpenghujung dan turunnya salji di negara Arab yang dikenali sebagai kawasan panas dan bergurun, ada yang mengaitkannya dengan ketibaan kiamat.
``Untuk menentukan bila berlaku kiamat adalah di luar kemampuan kita. Mungkin kita boleh kata bahawa ketika ini dunia dah nyanyuk,'' kata Dr. Anisah Abdul Ghani.
Pensyarah di Jabatan Siasah Syariah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya itu bagaimanapun tidak menafikan tindak-tanduk manusia yang semakin menyimpang daripada ajaran Tuhan yang sebenarnya menyumbang kepada berlakunya bencana.
``Apa yang harus kita ingat ialah, bala Allah tidak pernah mengenal bulu. Jika bala ditimpakan di sesuatu tempat, bukan sahaja mereka yang melakukan dosa menerima akibat tetapi apa sahaja kehidupan yang ada di situ,'' ujarnya.
Keadaan itu berbeza apabila Tuhan mahu memberikan nikmat kerana hanya individu yang khusus akan menerima rahmat-„ya.
Menyentuh hakikat kebesaran Tuhan, Anisah berpendapat, setiap kejadian pasti mempunyai alasan yang tersendiri.
``Memang kita katakan tsunami ini kejadian alam, tetapi kita kena kaitkan juga dengan sikap manusia. Mungkin Allah memberi peringatan kepada kita,'' katanya.
Atas faktor tersebut, tegas Anisah, menyebabkan pentingnya setiap lapisan masyarakat memainkan peranan mereka dengan berpesan-pesan sesama sendiri.
``Ini adalah amaran Tuhan bahawa ada kuasa yang mampu melakukan apa sahaja.
``Kerana itu manusia perlu sentiasa sedar dan mengelak diri daripada menerima kemurkaan Allah,'' kata beliau lagi.