Menyumbang atau membuang sampah?
Oleh NOOR AZAM SHAIRI
KETIKA kemuncak zaman reformasi di Indonesia beberapa tahun lalu, penyair dari tanah seberang, Taufik Ismail menulis: ``Di negeriku budi pekerti mulia di dalam kitab masih ada/tapi dalam kehidupan sehari-hari bagai jarum hilang/ menyelam di tumpukan jerami selepas menuai padi.''
Sajak yang ditulisnya pada tahun 1998 itu bertajuk Malu (Aku) Jadi Orang Indonesia.
Ketika kita di negara ini dihadapkan dengan bencana dan krisis kemanusiaan yang parah di Aceh, potongan sajak itu semacam boleh dilemparkan ke muka kita sendiri.
Kita seharusnya mula belajar malu menjadi orang Malaysia.
Agensi berita Associated Press Khamis lalu menyiarkan satu laporan ke seluruh dunia yang seharusnya membuatkan kita merah padam muka.
``Sebahagian rakyat Malaysia menderma `sampah' untuk mangsa tsunami di luar negara,'' jerit tajuk berita pendek itu.
Kita tidak boleh mengatakan ini laporan jahat media asing. Berita yang merosakkan ini adalah apa yang sebenarnya berlaku, bukan sesuatu yang sengaja diada-adakan.
Kita tidak boleh juga menyalahkan para sukarelawan yang mendedahkan berita itu kepada umum. Mereka sudah cukup terbeban dengan kesibukan menangani usaha-usaha kemanusiaan akibat daripada bencana 26 Disember itu.
Carian di Internet menunjukkan berita itu dipetik oleh sekurang-kurangnya sebuah akhbar luar, The Hindustan Times di India.
Seorang pembaca akhbar itu di New Delhi memberikan komennya: ``Sungguh menyedihkan! Betapa tidak sensitifnya orang mendermakan barang-barang yang tidak berguna.''
Tidak malukah kita menjadi rakyat Malaysia dengan berita buruk itu?
Ketua Pegawai Operasi Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia, Shareen Shariza Abdul Ghani memberitahu sesetengah barangan yang dihantar oleh orang ramai itu tidak ada langsung gunanya untuk masyarakat yang terlibat dalam bencana itu.
``Ada yang menghantar pakaian yang sudah koyak, pakaian dalam, trofi dan plak cenderamata,'' katanya.
Malah bayangkan saja: Apakah maknanya baju tidur yang menjolok mata kepada mangsa-mangsa bencana yang cukup menderita itu?
Apakah orang yang tidak bertanggungjawab itu mahu berlawak jenaka atau mereka sebenarnya gagal memahami penderitaan dan krisis kemanusiaan yang semakin buruk dari hari ke hari ini?
Mereka itu bukan saja memberi nama buruk kepada negara malah menyusahkan para sukarelawan yang bekerja mengejar masa. Bayangkan saja berapa banyak masa yang terbuang untuk mengasing-asingkan sampah-sampah itu.
``Timbunan barangan yang boleh dikatakan sampah itu sama tingginya dengan pakaian yang kami longgokkan untuk dihantar ke luar negara,'' kata Shareen.
Sikap tidak bertanggungjawab sebilangan ahli masyarakat yang menjadikan pusat pengumpulan bantuan itu sebagai `tapak pembuangan sampah' itu hanya menambahkan beban mereka yang sedia ada.
Ini bukanlah kali pertama orang kita menelanjangkan sikap buruk mereka di khalayak ramai.
Di majlis jamuan rumah terbuka pemimpin negara dan juga majlis yang sama anjuran kerajaan sempena hari perayaan pun ceritanya sama.
Orang berebut-rebut mengambil makanan seperti kebuluran. Apa yang lebih menyakitkan mata ada yang membungkus makanan yang disajikan untuk dibawa pulang makan bersama ahli keluarga.
Pada lapis yang lain, ada baiknya juga kita dikejutkan dengan berita seumpama ini. Kempen berbudi bahasa yang akan dilancarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sebelum akhir bulan ini adalah sesuatu yang sebenarnya sangat diperlukan oleh masyarakat negara ini.
Adalah sesuatu yang malang; kita perlu diajar tentang hal-hal yang sepatutnya sudah boleh diselesaikan di peringkat keluarga. Tetapi itulah realiti wajah buruk masyarakat kita.
Jumlah mereka tidak ramai tetapi yang sedikit itulah yang menyebabkan kita malu menjadi orang Malaysia.