Masyarakat Aceh akan bangkit semula
MINGGUAN: Bagaimana Tan Sri melihat proses pembangunan semula selepas ini?
SANUSI: Apa yang penting sekarang ialah tempat kediaman serta infrastruktur dan kemudahan asas termasuk sistem komunikasi, jalan raya, sekolah dan hospital. Jabatan kerajaan juga perlu digerakkan semula kerana banyak juga pegawai daerah dan penghulu yang terkorban. Hal-hal itu menjadi tanggungjawab kerajaan Indonesia sekarang.
Saya juga dapat tahu bahawa separuh daripada cerdik pandai dan tenaga profesional termasuk guru dan doktor yang ada di Aceh meninggal. Saya percaya kekurangan tenaga ini boleh ditampung oleh Indonesia. Tetapi kalau ada kemampuan dari negara-negara lain termasuk Malaysia kita boleh memberikan bantuan.
Memandangkan penguasaan bahasa Inggeris masyarakat di Aceh lemah, tidak dapat tidak ia akan banyak bergantung sama ada daripada Malaysia atau Indonesia. Harapan mereka kepada kita ialah kerana faktor bahasa. Kita juga dihubungkan oleh faktor keturunan dan agama.
Apakah keutamaan sekarang?
SANUSI: Air dan ubat-ubatan. Hal-hal ini sedang diuruskan oleh beberapa pihak dan perlu sampai ke sana dengan banyak dan segera. Tentang ubat-ubatan, ia tentulah memerlukan nasihat daripada doktor-doktor dan pasukan bantuan perubatan yang berkhidmat di sana.
Di Medan, ada sebuah hospital, Rumah Sakit Islam Malahayati yang pengarahnya orang Aceh. Hospital itu tahu contact di seluruh Aceh. Ini salah satu saluran yang boleh digunakan.
Saya bukan hendak mempromosikan satu-satu saluran dan mahukan saluran yang lain ditutup. Cuma saya melihat masalah ini terlalu besar dan tidak ada satu organisasi yang boleh menyelesaikannya secara sendirian. Malah negara-negara yang terlibat juga memerlukan bantuan daripada luar.
Dunia sedang memberikan tumpuan kepada Aceh. Apakah yang boleh diharapkan selepas ini?
SANUSI: Aceh sebuah wilayah yang kaya tetapi kekayaannya terlalu sedikit yang dapat dinikmatinya. Kita berharap dengan adanya kepimpinan baru Indonesia di bawah Presiden Bambang Susilo Yudhoyono - yang juga mendapat sokongan bulat hampir 75 peratus daripada Aceh - supaya bermurah hati, jangan seperti pada zaman-zaman dulu.
Ketika itu, kekayaan Aceh itu tidak membantu kemajuan di wilayah itu. Sekarang kekayaan itu bukan datang dari Aceh tetapi dari serata dunia. Apa yang menjadi kegusaran di kalangan orang Aceh sekarang ialah kalau sebelum ini kekayaan Aceh tidak banyak yang dikembalikan kepada Aceh, apakah kekayaan dari luar itu juga akan ke sana.
Apa yang saya suarakan ini ialah apa yang bermain-main dalam fikiran orang Aceh, persepsi mereka. Hal-hal ini apabila difikirkan cukup menyebakkan mereka.
Tetapi kita mempunyai harapan kerana Indonesia ada Presiden dan Naib Presiden baru. Saya yakin bantuan-bantuan itu akan sampai ke Aceh kerana kepimpinan sekarang ini mempunyai wawasan.
Apakah itu saja kebimbangannya?
SANUSI: Aceh masih lagi di dalam perang. Saya rasa sudah cukup korban, tentera sudah banyak mati dan anggota Gerakan Aceh Merdeka (GAM) juga. Dendam yang ada itu harus dihapuskan, baik di kalangan tentera mahupun orang Aceh sendiri. Cukuplah dengan kematian yang ada ini.
Semua orang rasa hiba dengan kehilangan yang berlaku akibat bencana ini. Cuma bezanya, mati akibat gempa bumi tidak menimbulkan dendam kerana tiada sesiapa yang boleh dipersalahkan.
Apakah konflik yang berlarutan ini akan reda seketika untuk proses pembangunan semula Aceh?
SANUSI: Saya rasa konflik di Aceh dulu antara tahun 1956 hingga 1963 itu kerana agama, konflik yang berlandas janji waktu merdeka. Konflik yang kemudian daripada itu ialah kerana masalah ekonomi. Aceh wilayah yang kaya dengan minyak dan balak. Saya sebagai orang luar melihatnya sebagai konflik ekonomi.
Tetapi sekarang (selepas bencana ini) tiada lagi kekayaan ekonomi, sudah habis musnah semuanya. Masalah yang ada di Aceh sekarang tidak memungkinkan orang berebut kekayaan di Aceh. Persoalan siapa menguasai apa tidak lagi timbul sekarang.
Masalah sekarang ialah siapa yang hendak menolong Aceh membangun semula daripada kemusnahan ini. Tiada apa lagi yang hendak diambil daripada Aceh; soalnya sekarang siapa yang hendak memberi.
Apakah yang harus dilakukan oleh kerajaan Indonesia untuk penyatuan semula, misalnya?
SANUSI: Masalah yang ada sekarang ini cuma soal maruah saja. Tetapi para pemimpin GAM yang hendak memikirkan soal maruah ini bukannya duduk di Aceh tetapi di luar negara. Ada sesetengahnya tidak pernah duduk pun di Aceh.
Saya fikir mereka (GAM) perlu menimbangkan hal ini. Janganlah kerana soal maruah ini masyarakat Aceh yang lain menderita. Mereka harus memikirkan apakah yang perlu diberikan keutamaan sekarang.
Kita melihat tentera yang dulunya dihantar untuk membendung gerakan GAM di Aceh sekarang ini memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa bencana. Apakah maknanya ini semua?
SANUSI: Itukan tanggungjawab sebuah negara; Aceh sebahagian daripada Indonesia. Pihak yang mengisytiharkan perang ke atas Aceh ialah Indonesia dan yang hendak menolongnya sekarang pun tentulah Indonesia. Kita yang dari luar ini termasuk saudara-mara menolong atas dasar kemanusiaan, dan kita juga mengharapkan kerajaan Indonesia membantu.
Kerajaan Indonesia sedang berusaha bersungguh-sungguh melakukannya dengan sebaik mungkin. Apa yang penting ialah jangan ada rasa curiga dan dendam; semua pihak harus terbuka. Kita perlu menghidupkan semangat rumpun Melayu, itu yang penting dan bukannya semangat mengikut suku dan keturunan.
Masalah yang dihadapi sekarang ini boleh diselesaikan dengan semangat rumpun Melayu. Inilah cabaran kepada rumpun Melayu.
Inilah barangkali apa yang tersirat di sebalik bencana ini? Sekarang ini seluruh dunia sedang bertumpu kepada Aceh.
SANUSI: Ya. Aceh yang dulunya tertutup, sampaikan bencana datang pun orang tidak tahu kerana tidak ada wartawan luar yang boleh masuk, sekarang ini sudah terbuka.
Kita memerlukan satu gempa bumi untuk membuka Aceh kepada dunia, membebaskan Aceh sehingga orang luar boleh masuk. Begitu hebatnya, Tuhan terpaksa campur tangan untuk membebaskan Aceh.
Kalau di Aceh itu diisytiharkan perang, ia memang sudah jadi seperti zon peperangan dengan segala kapal perang dari serata dunia yang ada di sana sekarang. Tetapi itu bukan zon peperangan untuk membunuh tetapi menyelamatkan yang masih hidup.
Saya melihat situasi ini sebagai sesuatu yang cukup poetic.
Apakah yang penting untuk masa depan Aceh?
SANUSI: Ada dua perkara: Pelajaran dan agama untuk anak-anak Aceh. Usaha hendak membawa keluar anak-anak Aceh dari tanah airnya untuk diberikan bantuan harus dikurangkan. Ia perlu dibendung dan dipantau betul-betul.
Saya menyokong langkah kerajaan Indonesia yang tegas dalam hal ini. Saya melihat kalau wilayah sudah musnah begitu, proses pembangunan semulanya tentu memerlukan manusia yang banyak untuk membantu.
Orang yang hendak mengambil anak angkat ini tidak akan mengambil mereka yang capek dan tua tetapi yang boleh memberikan harapan. Ini bermakna sudahlah Aceh itu sekarang ini miskin hasil buminya ia juga akan miskin manusia.
Apa yang penting dalam hal pembangunan semula ini bukannya hasil bumi tetapi tenaga manusia. Lihat Jepun, ia tiada hasil bumi tetapi manusianya dapat membangunkan negara dan bangsa itu. Aceh yang sekarang menjadi padang jarak padang tekukur kalau dibangunkan nanti boleh menjadi pekan-pekan yang lebih tersusun dan cantik, kalau perancangannya betul.
Apakah yang diperlukan untuk pembangunan semula ini?
SANUSI: Harus ada kelonggaran kepada para pelabur asing untuk masuk ke sana dan membantu. Ini memerlukan kerjasama kerajaan Indonesia. Ini saya fikir tidak ada masalah.
Tan Sri menyebut tentang manusia sebagai aset. Ada kebimbangan bahawa Aceh sekarang kehilangan generasi masa depan akibat bencana ini.
SANUSI: Ini soal takdir. Memang banyak anak kecil yang meninggal tetapi keluarga yang hidup itu akan melahirkan lagi anak selepas ini. Lagi pula tidak ada gunanya kita memikirkan masalah itu kerana kita tidak boleh berbuat apa-apa untuk menghalangnya daripada berlaku. Adalah lebih baik kita memikirkan apa yang boleh dibuat.
Orang banyak bercerita tentang kekuatan semangat yang ada pada orang Aceh. Sejarah perjuangannya berdepan dengan Belanda adalah satu contoh terbaik. Orang melihat semangat itu juga kekuatan untuk mereka bangun semula.
SANUSI: Ini bukan satu masalah. Di Malaysia pun, tidak ramai orang Aceh tetapi mereka terlibat juga dalam pembangunan negara ini. Ada banyak juga orang Aceh yang mempunyai kedudukan dan jawatan penting di negara ini. Tidak semestinya duduk di Aceh baru boleh turut membangun. Kita rumpun Melayu; sesiapa pun boleh ikut sama membangunkan semula Aceh.
Saya tidak pesimistik dalam soal itu. Kalau ada gerakan umpamanya mahu berebutkan ekonomi Aceh, apa yang hendak direbutkan itu sudah hancur semuanya. Jadi rasional sekarang ini ialah kita menghidupkan semula semangat rumpun Melayu. Ini adalah cabaran kepada rumpun itu.
Apakah yang boleh kita berikan?
SANUSI: Banyak. Kita yang paling dekat dengan Aceh dan Sumatera. Pertama, kita boleh ke sana untuk membantu baik dari segi perniagaan atau sekurang-kurangnya membina rumah kebajikan untuk ditadbirkan oleh orang di sana. Kita boleh rundingkan hal ini dengan kerajaan Indonesia.
Kedua, kita juga boleh membawa anak-anak Aceh yang dewasa untuk belajar di sini. Mereka memerlukan pendidikan dalam pelbagai bidang. Dalam bidang perikanan misalnya, kalau kerajaan Indonesia bersetuju kita boleh melatih mereka di sini.
Itu yang barangkali timbul cerita tentang anak angkat?
SANUSI: Banyak orang salah faham tentang hal anak angkat. Ada sebuah badan di Kuwait yang mempunyai 10,000 anak angkat dari Afrika tetapi tidak seorang anak angkat itu meninggalkan Afrika.
Kita masih boleh mengambil anak angkat dan membiayai kehidupan mereka tetapi mereka tinggal bersama keluarga atau jiran di Aceh. Kita boleh juga membiayai anak-anak angkat yang belajar di pesantren-pesantren. Kalau kerajaan Indonesia membenarkan, kita boleh juga membiayai anak-anak angkat dari Aceh untuk dibawa belajar di sini.
Anak angkat kategori keempat barulah mereka yang dibawa untuk tinggal bersama kita. Tetapi anak angkat itu harus jangan dipisahkan daripada asal-usulnya. Masalahnya ada orang yang mahu anak angkat tetapi kalau boleh jadi macam anak sendiri dan lupakan asal keturunannya. Ini tidak adil, dan tentulah orang tidak mahu beri.
Saya fikir pendirian kerajaan Indonesia tidak membenarkan anak-anak Aceh dibawa keluar adalah satu ketegasan yang logik. Apa yang menjadi kebimbangan ialah kalau yang menjadi keluarga angkat itu terdiri daripada bukan Islam. Kita harus faham bahawa orang Aceh ini lebih rela mati daripada bertukar agama.
Boleh orang Aceh bangun semula seperti burung phoenix yang bangkit dari abu?
SANUSI: Saya fikir selepas ini Aceh akan bangun semula dengan lebih hebat. Orang yang membangun di dunia semuanya telah menghadapi durjana dan bencana yang hebat. Lihat saja orang Jerman dan Jepun. Saya percaya orang Palestin kalau ada negaranya sendiri juga akan begitu.
Orang yang boleh bangkit semula ini adalah mereka yang berani mengambil risiko. Bagi orang Aceh sekarang, soal mengambil risiko sudah tidak timbul lagi. Mati bagi mereka adalah perkara biasa; dulu dengan peluru sekarang kerana gempa bumi. Mereka sudah melalui pengalaman yang paling buruk dahsyatnya.
Saya tidak fikir kalau orang Aceh selepas ini masuk dalam bidang perniagaan mereka akan takut rugi atau gagal. Mereka sudah melihat yang lebih teruk daripada itu, hilang ahli keluarga dan segala-galanya - apalah sangat hilang sedikit keuntungan.
Saya percaya kalau mereka boleh bertahan daripada bencana ini, insya-Allah, mereka boleh bertahan daripada apa saja cabaran. Ahli fikir Islam, Syaqib Arsalan ditanya kenapa orang Islam mundur sedangkan orang lain jauh lebih maju. Katanya, orang Islam terkena penyakit cintakan kepada hidup dan takut kepada mati. Maksudnya, mereka penakut.
Orang Aceh kalau selepas bencana ini hilang takut dan mutlak keberaniannya, saya yakin mereka akan maju... kalau mereka menggunakan fikiran. Tetapi kalau mereka takut mengambil risiko, takut mahu meningkatkan ilmu pengetahuan, masa depan mereka akan gelap. Mereka tidak ada alasan untuk tidak berjaya selepas ini.
Mereka harus meminjam semangat bushido Jepun: Amanah, berani, disiplin, rajin dan setia. Ini sifat-sifat yang ada dalam Islam tetapi yang mengamalkannya orang Jepun. Saya super optimis tentang masa depan Aceh