Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

DR. JEMILAH DI ACEH: ``Kami bertarung dengan emosi''

Written By JOM JALAN on 9/01/05 | Ahad, Januari 09, 2005

``Kami bertarung dengan emosi''
MUKADIMAH

DR. JEMILAH MAHMOOD tampak cukup letih dan lesu ketika ditemui di pejabatnya tengah hari semalam. Presiden Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia itu baru saja kembali ke tanah air kelmarin selepas berada di Banda Aceh, wilayah yang paling teruk terjejas akibat bencana tsunami, selama 10 hari sejak 29 Disember lalu.

``Hanya baru sekarang saya rasa letihnya. Selama di sana, tidak fikir apa-apa asyik bekerja saja,'' katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI dan HELMI MOHD. FOAD.

Dalam wawancara ini, Dr. Jemilah menceritakan pengalamannya bersama sukarelawan Mercy Malaysia berdepan dengan tragedi kemanusiaan kesan daripada bencana itu.

Beliau menceritakan tentang penderitaan mangsa-mangsa yang tercedera serta kesukaran dan cabaran memberikan bantuan perubatan kepada mereka dalam keadaan yang serba kekurangan.

``Kerja itu jadi lebih sukar kerana kita serumpun dan memahami bahasa pertuturan mereka. Kami faham cerita-cerita mereka tentang kesedihan dan kekesalan. Kami bertarung antara emosi sendiri dan luahan emosi mereka,'' katanya.

Tetapi selain cerita kemanusiaan itu ada satu perkara penting yang disuarakan oleh Dr. Jemilah untuk kita renungi bersama - tentang masa depan gerakan sukarela seperti Mercy Malaysia.

``Apa yang berlaku di Aceh itu adalah satu pengajaran yang bermakna,'' katanya.

Beliau menyebut tentang pentingnya sokongan masyarakat prihatin yang berterusan kepada kerja-kerja kemanusiaan dan bukan hanya semasa bencana menimpa.

Sementara itu, dalam satu wawancara berasingan, Presiden Ikatan Masyarakat Aceh Malaysia (Imam), Tan Sri Sanusi Junid berkongsi pandangan yang optimis tentang masa depan wilayah itu.

``Selepas ini, Aceh akan bangun semula dengan lebih hebat,'' katanya.

Sanusi yang juga berdarah Aceh bercakap tentang pembangunan semula wilayah itu serta bantuan yang boleh diberikan oleh kita atas semangat serumpun.

MINGGUAN: Bagaimana Mercy Malaysia mula terlibat dalam bencana ini?

DR. JEMILAH: Sebagai ahli jawatankuasa tindakan bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDAC), saya cepat mendapat maklumat. Laporan awal membayangkan keadaan di Aceh tidak teruk dan kerana itu kami mula memantau laporan dari Sri Lanka.

Saya memutuskan untuk menghantar satu pasukan penilai yang kecil ke Aceh, tiga orang. Lagipun jaraknya dekat dan kalau keadaan memerlukan kami boleh berangkat bila-bila masa. Pasukan yang diketuai oleh Norazam Abu Samah ke sana sehari selepas kejadian dengan pesawat komersial. Pada masa yang sama pasukan kedua diarahkan bersiap sedia.

Gambaran pertama yang diberikan oleh Norazam ialah selain mayat yang bergelimpangan keadaan terlalu buruk dengan banyak mangsa tercedera dan pasukan perubatan susulan mesti dihantar segera. Jadi saya dan lima lagi sukarelawan terus berkemas dan berangkat. Dua hari selepas pasukan pertama berlepas, kami pula sampai ke Banda Aceh.

Gambaran pertama yang dilihat?

DR. JEMILAH: Apabila sampai di lapangan terbang kami tidak melihat tanda-tanda kesan bencana kerana kawasan itu tidak terjejas. Ketika itu pun belum banyak bantuan antarabangsa yang masuk kecuali daripada pihak Indonesia sendiri. Apabila tiba di pusat bandar Banda Aceh, barulah kami mengetahui keadaan sebenarnya - kubur besar, jenazah bergelimpangan, kemusnahan di mana-mana, bau mayat yang mengapung.

Hospitalnya dalam keadaan kelam-kabut; lantainya berlumpur dengan darah di merata tempat serta berselerak dengan sarung tangan, kapas yang telah dipakai dan sebagainya kerana doktor-doktor mengejar masa. Ini waktu kecemasan paling buruk yang pernah saya alami. Dalam keadaan itu orang tidak dapat lagi menjaga soal kebersihan sehingga memburukkan lagi keadaan yang sedia teruk.

Keadaan dalam wad cukup kelam-kabut. Pesakit diletak bercampur-campur - lelaki, wanita dan kanak-kanak. Ada yang di atas katil, ada yang hanya di lantai berlapikkan tikar.

Sebaik sampai di Rumah Sakit Tentera Kesdam itu kami tidak menunggu lama - letak beg dan terus bekerja. Ketika itu sudah ada doktor dari Indonesia bertungkus-lumus membuat pembedahan. Kami bekerja di luar mengasing-asingkan kes, menentukan pesakit yang perlu dihantar untuk pembedahan. Ini membolehkan proses rawatan kecemasan lebih cepat.

Sukarelawan yang ada tidak mencukupi. Saya arahkan ibu pejabat hantar pasukan tambahan enam orang. Pasukan ketiga yang diketuai oleh Dr. Fauziah Mohd. Hassan berlepas Ahad lalu untuk menyertai kami bersama pakar-pakar bedah, bius dan perubatan dalaman.

Katanya empat daripada enam hospital di Banda Aceh musnah?

DR. JEMILAH: Ya, ada enam hospital utama di sana. Tetapi selepas bencana itu hanya sebuah yang beroperasi iaitu hospital tempat kami bekerja. Ia sebuah hospital kelas ketiga yang hanya mampu mengendalikan maksimum 150 pesakit pada satu-satu masa. Ada bilik bedah tetapi kemudahan tidak cukup. Tabung darah pun tidak ada. Tabung Darah Nasional pula habis bekalan. Jadi ketika itu tidak ada bekalan darah untuk seluruh Banda Aceh.

Hospital terbesar iaitu Rumah Sakit Umum Zainoel Abidin pula terpaksa ditutup kerana diliputi oleh lumpur sampai ke lutut dan semua bekalan elektrik serta air terputus. Hanya baru-baru ini saja mereka membuka semula hospital itu tetapi tingkat bawah masih tidak boleh digunakan.

Sebuah pusat perubatan swasta, Rumah Sakit Sakinah juga tidak ada bekalan elektrik dan air. Rumah Sakit Harapan Bunda iaitu sebuah hospital bersalin juga membenarkan kita mengendalikan kes yang melibatkan pembedahan tetapi hanya untuk sementara. Dua buah hospital lagi rosak teruk.

Tenaga perubatannya bagaimana?

DR. JEMILAH: Separuh daripada 300 kakitangan perubatan yang ada di seluruh Banda Aceh disahkan terkorban; daripada baki 150 yang hilang itu hanya 17 saja yang melaporkan diri untuk bertugas. Mungkin ada yang tidak melaporkan diri atau sibuk mencari ahli keluarga.

Tetapi secara umum sistem kesihatannya pincang. Hospital tentera itu sekarang terpaksa mengendalikan 500 pesakit di wad dan di kaki lima bangunannya. Semasa mula-mula sampai kami cuba memperbaiki sistemnya. Kami cuci sendiri lantai bagi membolehkan wad pediatrik dan pusat rawatan rapi dibuka dan kami asingkan pesakit mengikut jantina.

Apa masalah kesihatan yang ada?

DR. JEMILAH: Luka-luka pesakit mula dijangkiti dan berulat. Ada yang sudah bernanah teruk, ada yang mengalami gangren dan terpaksa dibedah. Kebanyakan mereka juga mengalami radang paru-paru dan cirit-birit tetapi belum sampai ke tahap kolera.

Kanak-kanak pula bagaimana?

DR. JEMILAH: Tidak ramai yang selamat. Hasil tinjauan kumpulan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) hampir 40 peratus kanak-kanak terbunuh dalam bencana itu. Mereka yang terselamat pula dalam keadaan trauma.

Saya tidak dapat melupakan satu pengalaman melihat seorang kanak-kanak yatim piatu menangis di atas katil. Seorang pesakit yang dewasa yang patah tangan di katil sebelah mengangkat kanak-kanak itu dan membawanya tidur bersama. Saya sungguh terharu dan kagum melihat betapa rapatnya ikatan masyarakat yang sama-sama menderita itu.

Ada yang menyangka sesetengah kanak-kanak itu bisu, sebenarnya mereka trauma. Selepas sukarelawan kita datang mencucikan badannya, berbual dan bermain dengannya barulah dia mengeluarkan suara.

Kes paling teruk yang doktor saksikan?

DR. JEMILAH: Terlalu banyak. (Terdiam seketika) Ada seorang wanita, mukanya hancur tidak menampakkan wajah asalnya, tidak boleh buka mata, bengkak-bengkak, kaki pecah dan dengan luka di serata tubuh badan. Ulat pun sudah nampak memakan daging di muka dan mulutnya yang cedera teruk. Saya tahu dia tidak ada harapan. Dr. Quah Boon Leong (seorang lagi sukarelawan) kata kepada saya: ``Sayang kalau kita tidak dapat buat apa-apa.''

Tetapi saya dapati semua organ badannya tidak lagi berfungsi, dan kencingnya pun sudah berdarah. Oleh itu saya katakan kepada rakan-rakan, kita tahu wanita itu akan mati tetapi biarlah dia pergi dengan aman dan baik. Kami mandikan dia dan Dr. Leong mengutip satu persatu ulat dari mulut wanita itu.

Saya ajar dia mengucap dua kalimah syahadah. Dia mengikuti lafaz itu dengan jelas sekali. Wanita itu berkata dengan sayu: ``Sakit, nak tetapi saya tahu sakitnya tidak lama. Terima kasih kerana menolong saya.'' Sebelum dia pergi, wanita itu kelihatan tabah dan tenang. Saya cukup terharu melihatnya. Kami tidak tahu nama wanita itu dan kami tidak tahu umurnya.

Pengalaman itu sungguh memberikan kesan yang mendalam dalam hati kami. Kami sebenarnya berada dalam keadaan yang sungguh tertekan dan sedih kerana 10 hingga 20 pesakit kami meninggal dunia setiap hari.

Pada hari-hari pertama saya terpaksa memilih pesakit mana yang hendak dirawat - antara mereka yang masih ada harapan atau sebaliknya. Di hospital itu, pesakit memanggil-manggil kami tetapi kami terpaksa berjalan dan meninggalkan mereka begitu saja.

Itulah yang paling menyedihkan. Saya dilatih untuk membantu pesakit tetapi di Aceh ada pesakit-pesakit yang terpaksa saya tinggalkan kerana tahu sekiranya saya menolong mereka saya tidak boleh merawat pesakit lain. Kami tahu kami boleh melakukan lebih daripada itu tetapi tidak berdaya kerana kelengkapannya tiada, ia tambah menyakitkan. Itulah yang juga dialami oleh doktor-doktor yang sampai awal di sana.

Apakah yang paling menyentuh hati Dr.?

DR. JEMILAH: Melihat kanak-kanak yang sesak nafas. Lebih menyedihkan apabila anak-anak itu memanggil emak. Ibu mereka kemungkinan sudah meninggal dunia. Tiada sesiapa di sisi mereka kecuali sesetengahnya yang masih ada adik-beradik atau sanak-saudara yang terselamat. Sebagai seorang ibu, saya terkenang anak saya sendiri. Apa yang tambah menyedihkan kami tahu mereka hanya menunggu masa.

Menjelang malam tahun baru, kebanyakan kami sudah mula tertekan. Pada malam tahun baru itu saya dan Dr. Leong tidak dapat menampung air mata melihat anak-anak yang menderita itu. Malam itu juga seorang kanak-kanak meninggal dunia. Saya tenangkan Dr. Leong yang kelihatan putus asa kerana tidak dapat membantu kanak-kanak itu. Selain kanak-kanak itu, ada dua lagi kanak-kanak yang mengalami masalah serupa. Kami memutuskan untuk memindahkan mereka.

Apa yang Dr. lakukan?

DR. JEMILAH: Kami berkeras mendesak supaya mereka dipindahkan. Alhamdulillah, keesokan harinya pada hari tahun baru mereka dapat dibawa keluar dari Banda Aceh .

Pada hari itu juga berlaku gempa bumi. Kami semua lari keluar dari bilik. Ia memang menakutkan. Ada sesetengah sukarelawan baru yang menggeletar. Ia satu tahun baru yang tidak dapat dilupakan. Kami tidak tidur sampai pukul 4 pagi, bukannya bergembira tetapi berdepan dengan kematian dan gempa bumi, bertarung dengan emosi sendiri dan penderitaan orang lain yang kami lihat di depan mata.

Alhamdulillah juga saya sempat berehat untuk menyambut kumpulan ketiga yang sampai Ahad lalu. Saya kembali ke Aceh bersama-sama mereka tetapi Dr. Leong tinggal sekejap di Medan. Beberapa hari kemudian, dia menelefon saya memberitahu siaran berita televisyen melaporkan dua kanak-kanak itu sudah pulih, boleh duduk dan bercakap.

Berita itu memberikan harapan dan memulihkan semangat kami, lebih-lebih lagi Dr. Leong yang masih muda 26 tahun dan ini merupakan pengalaman barunya dalam kerja sukarelawan.

Apakah yang menjadi pendorong Dr. selama di sana?

DR. JEMILAH: Naluri saya tidak membenarkan saya untuk duduk berdiam diri melihat orang lain menderita. Saya sedar ini adalah kurniaan Allah kepada saya. Saya merasakan ini adalah tanggungjawab dan amanah-Nya.

Saya mahu menunjukkan kepada dunia bahawa kita orang Malaysia mampu melakukan kerja-kerja kemanusiaan, bukan setakat itu saja tetapi yang setanding dengan mereka. Ada banyak orang melakukan kerja sukarelawan tetapi kita mahu organisasi antarabangsa lain melihat kita ini berada pada tahap yang sama. Alhamdulillah, kami sudah membuktikannya.

Mercy Malaysia yang mula-mula sampai di Aceh dan dilaporkan oleh CNN. Laporan itu menyiapkan dunia untuk berdepan dengan realiti yang lebih buruk di Aceh.

DR. JEMILAH: Dunia pada mulanya terlalu banyak memberikan reaksi kepada Phuket dan Sri Lanka, masyarakat antarabangsa cepat ke sana. Saya mungkin tersilap tetapi itu barangkali kerana banyak pelancong dan ekspatriat di sana.

Aceh juga tidak dapat menyebarkan maklumat apa yang sebenarnya berlaku dengan cepat kepada dunia. Saya juga fikir kerajaan Indonesia pada awalnya bimbang untuk menghebahkannya pada peringkat awal kerana sensitiviti Aceh. Itu (pandangan mereka) harus kita hormati.

Tetapi saya rasa tindak balas antarabangsa terhadap Aceh agak terlewat. Kita jiran Indonesia yang paling dekat, masuk akallah kalau kita sampai dulu. Kalau bukan kita yang mula-mula sampai, saya akan rasa sangat malu. Malah semasa bencana banjir di Pulau Nias dekat Sumatera pada Ogos 2001 kami satu-satunya pertubuhan antarabangsa yang ada di sana.

Saya tidak rasa bangga apa-apa tentang itu. Ia sesuatu yang memang sepatutnya berlaku.

Laporan itu mengubah banyak perkara.

DR. JEMILAH: Ya, ia benar-benar meletakkan Mercy Malaysia di arena antarabangsa. Kami mula mendapat sumbangan dana individu dari serata dunia. Sebenarnya bukan laporan CNN itu saja tetapi BBC, CBS News dan ABC. Alhamdulillah, daripada laporan-laporan itu kami mula mendapat sumbangan dari Kanada, Australia malah saya baru dapat satu SMS dari Switzerland. Ada pihak yang membuat kutipan dana untuk Mercy Malaysia hari ini.

Saya bimbang juga kalau-kalau sumbangan makin lesu kerana cabaran sekarang ialah semua pihak meminta sumbangan. Kami selalu dituduh tidak berbakti di Malaysia, hanya ke luar negara. Ini tuduhan yang tidak adil. Hakikatnya kami begitu aktif di dalam negara cuma media tidak berminat melaporkannya.

Tetapi saya juga percaya sekiranya Mercy Malaysia terpaksa memberikan respons kepada semua kecemasan dalam negara tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan negara ini, baik sistem mahupun kerajaannya.

Sistem kesihatan kita sangat baik. Kerajaan juga ada mekanisme untuk bertindak balas kepada kecemasan dan bencana. Oleh itu, Mercy Malaysia tidak perlu mengulangi tugas itu.

Ini antara kritikan yang dilemparkan?

DR. JEMILAH: Pengkritik saya yang paling keras ialah orang Islam. Malah ada yang menelefon ke pejabat, marah-marah dan menghempaskan telefon. Ini sangat mengecewakan. Cuba tunjukkan saya dalil yang mengatakan bahawa orang Islam hanya perlu membantu orang Islam sahaja. Mereka mengkritik kami kerana membantu orang bukan Islam dan negara luar. Kenapa kita terlalu singkat akal?

Tetapi mereka yang marah-marah ini hanya segelintir saja, majoritinya orang menyokong kami. Malah sekarang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga mendukung kami di Aceh. Dalam mesyuarat-mesyuarat mengenai kesihatan, saya diminta mempengerusikannya bersama.

Kritikan itu melemahkan semangat Dr.?

DR. JEMILAH: Saya tidak mahu putus asa. Saya bersyukur dengan apa yang mampu kami lakukan. Saya tidak mahu kritikan-kritikan itu melemahkan kami. Saya berserah kepada Allah.

Kalau mereka tidak mahu menolong, tidak mengapa, berdoalah saja untuk kami. Kalau kami sudah membuktikan apa yang boleh kami lakukan, janganlah pula menghalang atau melemahkan semangat kami.

Saya tahu ada orang menyebarkan fitnah mengatakan Mercy tidak memerlukan doktor sebaliknya hanya hantar pakaian dan air. Kami akan terus menghantar doktor apabila diperlukan.

Apakah kekesalan Dr. kalau ada?

DR. JEMILAH: Kami tidak dapat meyakinkan masyarakat bahawa sebuah pertubuhan sukarelawan seperti ini memerlukan satu dana yang kukuh sepanjang masa kerana bencana boleh berlaku dalam sekelip mata. Kami ada dana yang kukuh untuk Iraq dan Iran kerana kerajaan memberikan bantuan. Tetapi apabila tiada bantuan kerajaan kami sebenarnya tidaklah sekukuh mana. Masalahnya orang tidak percaya bahawa kami memerlukan dana yang kukuh juga untuk hal ehwal pentadbiran. Mana-mana pertubuhan pun tidak boleh beroperasi dengan baik tanpa pentadbiran yang baik.

Kami berjaya selama ini kerana dedikasi tinggi ahli-ahli. Mereka meninggalkan kerjaya yang lebih lumayan untuk bekerja dengan Mercy Malaysia sepenuh masa. Tetapi saya berfikir sekiranya kami ada dana yang kukuh, insya-Allah kami boleh mempunyai sebuah gudang yang lengkap dengan ubat-ubatan dan peralatan yang boleh dihantar ke mana-mana pada bila-bila masa.

Ini memerlukan dana yang kukuh. Masalahnya orang hanya mahu menyumbang kalau ada krisis atau bencana. Apa yang berlaku di Aceh ini adalah satu pengajaran kepada kerja-kerja kemanusiaan, kepada saya dan kepada Mercy Malaysia. Kami tidak mahu lagi terperangkap dalam keadaan tidak bersedia seperti ini. Kami sebenarnya boleh melakukan lebih baik daripada ini.