Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Kita terdedah tsunami -- Akibat tindakan banyak negara uji senjata nuklear di dasar laut

Written By JOM JALAN on 2/01/05 | Ahad, Januari 02, 2005


SEBAHAGIAN penduduk Aceh melalui jalan raya di Leupung yang runtuh akibat gempa bumi untuk kembali ke Banda Acheh bagi mendapatkan perlindungan dan makanan, semalam

Kita terdedah tsunami -- Akibat tindakan banyak negara uji senjata nuklear di dasar laut
Oleh: HASHNAN ABDULLAH
KUALA LUMPUR 1 Jan. - Malaysia antara negara yang dijangka terus dilanda oleh ombak besar tsunami ekoran tindakan negara kuasa nuklear yang kerap mengadakan ujian ke atas senjata itu dalam perut bumi termasuk di dasar laut.
Pensyarah di Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Mohd. Ali Hasan berkata, tindakan negara kuasa nuklear tersebut menyebabkan pergerakan dalam perut bumi bergerak dengan lebih cepat berbanding secara semula jadi.
Beliau tidak menolak kemungkinan jika berlaku gegaran yang melebihi 5 pada skala Richter di Pulau Sumatera akan memberi kesan kepada kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia.
``Kejadian itu akan terus berlaku bukan hanya pada negara yang berada dalam jajaran Lilitan Api tetapi juga negara yang berhampiran.
``Antara negara itu adalah Indonesia, Jepun, Benua Amerika, New Zealand dan Papua New Guinea,'' katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.
Pada Ahad lalu, tsunami yang berpunca daripada kegelinciran kepingan Plat Lautan Hindi dan Plat Eurasia, 90 kilometer dari Sumatera melanda pada tempat-tempat yang menjadi laluannya saja iaitu Sri Lanka, Tamil Nadu, Acheh, Phuket dan pantai barat Semenanjung.
Gegaran pada sembilan skala Richter di kawasan seluas 250 kilometer ke barat daya Sumatera kelmarin mungkin telah menyebabkan pulau-pulau kecil beralih sehingga 20 meter.
Gempa bumi itu disifatkan paling kuat dalam tempoh 40 tahun dan kesan tsunami mengorbankan beratus ribu nyawa dan memusnahkan banyak kawasan terutama di Banda Acheh, Indonesia dan Sri Lanka.
Di Malaysia, dua kawasan yang teruk dilanda tsunami ialah Pulau Pinang dan Kedah.
Sehubungan itu, Mohd. Ali memberitahu, kerajaan dan masyarakat umum tidak seharusnya terus berpegang kepada pemahaman bahawa negara ini bebas daripada sebarang bencana alam.
``Peristiwa Ahad lalu amat jarang berlaku tetapi pemantauan dan kerjasama antara negara di rantau ini perlu bagi memberi amaran awal,'' katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebahagian dari beberapa pulau di utara Sumatera yang dilanda oleh ombak besar tsunami pada Ahad lepas dijangka kekal tenggelam.
Katanya, ia kerana hakisan ombak dan pulau terbabit terletak dalam sempadan pergerakan bumi tersebut.
``Bagi negara yang jauh seperti Malaysia, Thailand, Sri Lanka dan Myanmar, ia berlaku untuk tempoh sementara,'' katanya