Written By JOM JALAN on 30/03/05 | Rabu, Mac 30, 2005
2,000 terkorban -- * Pulau Nias paling teruk dilanda gempa * Ombak tsunami tidak berlaku
KUALA LUMPUR 29 Mac - Gempa bumi kuat di perairan barat Sumatera tengah malam tadi yang turut mencemaskan Semenanjung, setakat ini mengorbankan lebih 2,000 orang di Pulau Nias, Sumatera.
Tiada kematian dilaporkan di Malaysia.
Gegaran itu berukuran 8.5 pada skala Richter, bersamaan kekuatan letupan 5 bilion tan bahan peledak TNT.
Wartawan Utusan Malaysia, ZULKEFLI HAMZAH melaporkan dari Jakarta, Gunung Sitoli, ibu kota Pulau Nias musnah teruk akibat gempa bumi yang berlaku kira-kira pukul 11.09 malam waktu tempatan (12.09 waktu Malaysia).
Gambaran awal di pulau itu mendapati jambatan-jambatan runtuh, bangunan-bangunan ranap dan jalan-jalan terbelah.
Pagi ini sukarelawan mula mengeluarkan mayat daripada runtuhan bangunan dan di tepi jalan manakala banyak lagi mayat yang tidak sempat dikeluarkan hanya ditutup dengan kain.
Kota Gunung Sitoli didiami kira-kira 80,000 orang manakala daerah kecil Nias seramai 500,000 orang dan Nias Selatan (285,000).
Gelombang tsunami yang dikhuatiri akan berlaku di perairan Malaysia sekitar enam jam selepas gempa pada pukul 12.09 tengah malam tadi itu - juga tidak berlaku.
Jarak pusat gempa dengan perairan Malaysia ialah kira-kira 500 kilometer.
Beribu-ribu penduduk di perairan pantai Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak - yang dipindahkan mulai 1 pagi - pulang ke rumah masing-masing 8 pagi ini. Rata-rata mereka masih trauma dengan kejadian tsunami 26 Disember lalu.
Mengapa tsunami tidak berlaku? Menurut pakar gempa bumi, gegaran berlaku kira-kira 30 kilometer di dasar laut - terlalu dalam untuk mencetuskan gelombang besar.
Semasa tragedi tsunami lalu, pusat gegaran hanya terletak 7 kilometer dari permukaan air.
Tengah hari ini, gegaran susulan dirasai sekali lagi di beberapa tempat di Lembah Klang.
Gempa bumi raksasa malam tadi berlaku lebih 200 kilometer ke selatan pusat gempa bumi yang mengorbankan lebih 400,000 nyawa di Aceh, Thailand, Sri Lanka, India dan Malaysia - sehari selepas Krismas lalu itu.
Kekuatannya ketika itu ialah 9 pada skala Richter - atau bersamaan letupan 32 bilion tan bahan peledak TNT.
Menurut pakar, gempa kuat malam tadi adalah susulan kepada gempa bumi Disember lalu.
Gegaran itu turut dirasai sejauh India dan Thailand serta wilayah yang berdekatan dengan Lautan Hindi.
Sementara itu, Naib Presiden Indonesia, Yusuf Kalla selepas mengadakan mesyuarat tergempar berkata, jumlah kematian 2,000 orang itu merupakan anggaran awal.
Gempa bumi ini berlaku di laut di antara Pulau Nias dan Pulau Simeulue pada kedalaman 30 kilometer di bawah laut atau 205 kilometer sebelah barat Sibolga dan 245 kilometer barat daya kota Medan.