Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Pasukan penyelamat temui 430 mayat

Written By JOM JALAN on 30/03/05 | Rabu, Mac 30, 2005


DR. HAOGOMBOWO duduk di sisi mayat isterinya, Lisbet Sihanturi yang ditempatkan di rumah mayat sementara selepas terkorban akibat gempa bumi. - Gambar AP.

JAKARTA 29 Mac - Pasukan penyelamat hari ini berjaya menemui kira-kira 430 mayat dalam runtuhan bangunan di Pulau Nias, selepas satu kejadian gempa bumi melanda kawasan berkenaan lewat semalam.
Jurucakap Agensi Penyelarasan Bantuan Bencana Alam Kebangsaan, Budi Atmaji Adiputro berkata, angka korban akibat gempa bumi semalam mungkin meningkat dalam tempoh terdekat ini.
Ini menurutnya adalah disebabkan banyak lagi mayat yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan bangunan.
Awal hari ini, terdapat laporan bercanggah mengenai bilangan penduduk yang terbunuh dalam kejadian gempa bumi semalam dengan Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kalla meletakkan jumlah itu kepada 2,000 orang.
Namun begitu, beberapa pegawai kerajaan menafikan dakwaan terbabit dan mengatakan jumlah kematian di Pulau Nias adalah jauh lebih rendah.
Jusuf ketika memberitahu stesen Radio el-Shinta menjelaskan, anggaran itu dibuat berdasarkan kepada penilaian kemusnahan ke atas bangunan-bangunan dan bukannya jumlah mayat.
Beberapa pegawai di Pulau Nias memberitahu, ratusan bangunan di bandar Gunungsitoli runtuh dan dipercayai ramai daripada penduduk di dalam bangunan tersebut mati. - AP