Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Haron Din tarik diri, masuk IJN

Written By JOM JALAN on 26/05/05 | Khamis, Mei 26, 2005

Oleh HELMI MOHD. FOAD


KUALA LUMPUR 25 Mei - Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din hari ini mengambil keputusan muktamad menarik diri daripada pencalonan semua jawatan termasuk Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu, awal Jun ini.

Ini adalah kali kedua Haron menarik diri daripada dicalonkan bagi jawatan tersebut sekali gus menyebabkan pertandingan merebut kerusi nombor dua parti itu tidak dapat dielakkan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Haron terpaksa menolak pencalonan itu atas faktor kesihatannya.

Abdul Hadi berkata, Haron mengesahkan perkara tersebut ketika beliau melawatnya di Institut Jantung Negara (IJN) petang ini.

``Masalah kesihatan yang beliau hadapi sekarang tidak mengizinkannya untuk menjalankan tugas dengan sempurna.

``Maka dengan rasa penuh keberatan, beliau terpaksa menolak pencalonan kali ini,'' kata beliau dalam kenyataan di sini.

Haron dimasukkan ke IJN pukul 11 pagi ini setelah tahap kesihatannya terjejas sejak malam semalam hingga beliau terpaksa memberhentikan kuliah agamanya lebih awal. Difahamkan Haron turut pengsan malam tadi dan pagi ini.

Haron dijadual menjalani rawatan susulan di Amerika Syarikat (AS) pada 28 Mei atas nasihat IJN.

Sementara itu di Kota Bharu, Nik Abdul Aziz dalam reaksi segeranya akur dengan keputusan Haron itu.

Sehubungan itu katanya, mana-mana calon yang sebelum ini sudah menarik diri bolehlah dicalonkan semula, jika ia tidak melanggar peraturan parti.

``Saya tak boleh buat apa kerana dia tarik diri atas faktor kesihatan dan pakar-pakar juga telah menasihatkannya supaya berehat,'' katanya di sini.

Katanya, beliau sebelum ini hanya mencadangkan Ketua Penerangan Pas itu untuk bertanding jawatan tersebut jika sekiranya Haron sanggup.

Nik Abdul Aziz dalam laporan Mingguan Malaysia Ahad lalu menyatakan sokongannya agar Haron menerima pencalonan tersebut dan mahu jawatan tersebut tidak dipertandingkan bagi memberikan laluan kepada Ketua Penerangan Pas itu.

Setakat ini penyandang, Senator Hassan Shukri telah mengumumkan pendiriannya untuk mempertahankan jawatan tersebut manakala Naib Presiden Pas, Mustafa Ali mengumumkan keputusan menarik diri kelmarin.

Bendahari Pas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahaman yang sebelum ini bersedia menarik diri bagi memberi laluan kepada Haron difahamkan telah mengubah fikirannya hari ini apabila menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu.

Turut dicalonkan ialah dua lagi Naib Presiden, Datuk Dr. Hassan Ali dan Azizan Abdul Razak, Nasharudin dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.