Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Kenali sakit kepala anda

Written By JOM JALAN on 22/05/05 | Ahad, Mei 22, 2005

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

ADA satu humor perubatan, di mana seorang pemuda yang begitu bimbang akan penyakit yang dideritainya meminta penjelasan daripada doktor yang merawatnya.

``Doktor, saya sakit apa?'' tanya pesakit tersebut.

``Adakah anda pernah mengalaminya sebelum ini?'' soal doktor balik kepada pesakit berkenaan.

``Ya,'' jawabnya.

``Tak apa, anda cuma mengalaminya sekali lagi,'' ujar doktor berkenaan bersahaja.

Pengajaran yang tersembunyi di dalam jenaka ini; ada ketikanya, fakta paling penting tentang gejala penyakit anda adalah sama ada ia berulang.

Keadaan ini sangat bertepatan dengan sakit kepala, sakit yang paling biasa menyerang dari sekian banyak gangguan kesihatan yang dialami manusia.

Berdasarkan laporan Majlis Pendidikan Sakit Kepala Amerika (ACHE), dianggarkan hampir 90 peratus lelaki dan 95 peratus wanita pernah mengalami sekurang-kurangnya rasa sakit kepala seumur hidup mereka terutamanya ketika jatuh sakit, keletihan ataupun tertekan.

Sesetengah orang mengandaikan sakitnya seperti getah yang secara perlahan-lahan mengikat sekeliling kepala manakala yang lainnya pula membayangkan kesakitan mereka bertambah teruk sebaik lampu dinyalakan.

Keadaan-keadaan tersebut merupakan sebahagian deskripsi sakit kepala walaupun berbeza jenisnya - dengan migrain dan ketegangan adalah yang paling biasa daripada lebih 150 jenis kesemuanya.

Dalam pada setiap orang sekali-sekala mendapat sakit kepala, mereka yang menderita sakit kepala kronik boleh dikatakan hidup dalam serba ketakutan, menanti bila pulakah serangan seterusnya akan berlaku.

Pakar-pakar berpendapat, kunci utama merawati sakit kepala adalah dengan cara mengenal pasti jenis sakit kepala anda.

Anda tidak perlu menjadi seorang ahli neurologi untuk mula mengklasifikasinya.

Profesor dan Ketua Jabatan Perubatan Penjagaan Utama, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Datin Dr. Chia Yook Chin menghuraikan beberapa gejala sakit kepala yang paling biasa menyerang.

``Sakit kepala (rasa sakit dalam kepala) merupakan masalah kesihatan yang paling lazim berlaku dan paling banyak jenisnya.

``Secara umumnya, ia terbahagi kepada dua yang utama iaitu primer dan sekunder,'' katanya.

Menurutnya, sakit kepala primer tidak disebabkan oleh lain-lain masalah perubatan seperti sakit kepala disebabkan oleh ketegangan, migrain dan yang tertumpu.

Sakit kepala sekunder pula berpunca daripada lain-lain masalah kesihatan seperti jangkitan atau tekanan yang meningkat di dalam tengkorak disebabkan oleh ketumbuhan misalnya.

Sebanyak 90 peratus daripada sakit kepala terdiri daripada jenis primer manakala selebihnya 10 peratus adalah sekunder.

``Sakit kepala disebabkan ketegangan biasanya dirasai di belakang kepala dan leher dan tidak terhad pada sebelah bahagian sahaja.

``Sakit mungkin berlarutan selama beberapa hari hingga berminggu-minggu lamanya dengan masa lega yang singkat di antara serangan,'' kata Dr. Chia.

Walau bagaimanapun, tahap keseriusannya mungkin berubah-ubah dan menyerang pada bila-bila masa.

Kesakitannya sering digambarkan seperti satu ikatan kuat yang menekan, jarang berdenyut dan tidak pernah disertai dengan demam.

Sementara itu, sakit kepala migrain katanya, berlaku apabila saluran darah di kepala menutup terlalu ketat atau membuka terlalu luas.

``Sakit dirasai di sebelah bahagian kepala sahaja pada satu-satu masa tetapi mungkin merebak ke seluruh kepala.

``Sakitnya berdenyut-denyut, selalunya berlaku secara perlahan-lahan dan menjadi lebih teruk selepas satu jam atau lebih,'' katanya.

Beliau berkata, sakit mungkin menyerang sekali dalam masa beberapa hari atau beberapa minggu atau langsung tiada untuk beberapa bulan.

Migrain biasanya boleh berlarutan sekurang-kurangnya dua hingga empat jam atau lebih lama tetapi jarang melebihi satu atau dua hari.

``Jika pesakit berada dalam keadaan tertekan, mengambil alkohol atau sesetengah jenis makanan seperti coklat, sakit mungkin menjadi lebih teruk, sering kali disertai rasa loya dan muntah-muntah.

``Sakit ini juga boleh berlaku semasa haid dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap migrain berisiko tinggi,'' katanya sambil menambah tidur dapat melegakan sakit kepala jenis ini.

Sakit kepala yang seterusnya adalah jenis yang tertumpu, lazimnya, di kalangan lelaki pertengahan umur berbeza dengan migrain yang dikatakan tiga kali lebih kerap terjadi di kalangan wanita.

Sakit kepala tertumpu hanya meliputi sebelah bahagian kepala sahaja.

Sakit biasanya terjadi di belakang mata dan biasanya berlaku pada mata yang sama, mungkin berkaitan dengan sebelah bahagian rongga hidung tersumbat dan mata yang berair.

Ia juga menyerang secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran dan memuncak dalam tempoh lima hingga 10 minit dan mungkin berlarutan sehingga beberapa jam lamanya.

``Sakit ini boleh menyebabkan seseorang terbangun daripada tidur, beberapa kali sehari untuk beberapa minggu dan kemudian berhenti.

``Ia menyerang pada waktu yang hampir sama setiap hari selama beberapa minggu atau bulan,'' katanya.

Sakit yang biasanya bermula semasa atau selepas demam selesema yang teruk terutamanya jika berlaku pengaliran lendir berlebihan dari kawasan hidung ke dalam farinks, dikategorikan sebagai sakit kepala keradangan sinus.

Sakitnya tertumpu pada satu kawasan tertentu pada muka atau kepala dan menyerang dalam masa yang singkat.

``Seseorang akan mengalami kesakitan yang teruk pada waktu pagi sebelum lendir berpeluang untuk mengalir keluar.

``Sakit menjadi lebih teruk apabila batuk, bersin atau menggerakkan kepala dengan tiba-tiba,'' katanya.

Pengambilan alkohol, perubahan suhu yang mendadak, semasa musim sejuk dan keluar dari bilik yang panas ke kawasan luar yang sejuk hanya akan memburukkan keadaan.

Begitu juga dengan mereka yang mempunyai sejarah demam hay (rinitis alergik) serta alahan, ujar Dr. Chia lagi.

Jenis sakit kepala terakhir adalah arteritis temporal iaitu sakit yang biasanya berlaku di kalangan warga tua berumur lebih 50 tahun.

``Sakit ini berkaitan dengan bahagian kepala dan pelipis yang mudah berasa sakit apabila disentuh dan sakit rahang.

``Penglihatan pesakit terganggu, sakit-sakit pada seluruh badan, kemungkinan berkait dengan demam ringan yang berlaku sekejap-sekejap dan penurunan berat badan pada sesetengah orang,'' katanya.

Tambahnya, sakit kepala jenis ini dianggap sebagai kes kecemasan perubatan di mana pesakit perlu dirawat di hospital dengan segera.

Dr. Chia berkata, kebanyakan sakit kepala akan hilang sendiri atau mengambil ubat penahan sakit seperti acetaminophen, ibuprofen atau aspirin untuk mengurangkan sakit kepala anda.

Bagaimanapun, pesakit hendaklah berjumpa doktor jika tiba-tiba sahaja sakit kepala yang teruk atau paling teruk menyerang terutamanya pada waktu pagi dan tiada gejala-gejala lain yang timbul.

``Lain-lain termasuklah jika sakit kepala anda berlarutan lebih beberapa hari atau menjadi bertambah teruk dari hari ke hari.

``Sekiranya ia berkait dengan masalah penglihatan, pertuturan tidak jelas, sukar mengerakkan tangan dan kaki, mereka juga perlu berjumpa doktor segera,'' katanya.

Anda juga perlu menghubungi doktor jika:

* Sakit kepala yang dikaitkan dengan kecederaan kepala

* Sakit kepala yang dikaitkan dengan demam dan leher berasa tegang

* Sakit kepala yang sering berlaku dan tidak diketahui penyebabnya seperti alahan atau sinusitis yang kronik

* Terdapat perubahan ciri-ciri sakit kepala daripada yang biasa anda alami

* Anda berasa mungkin anda menghidap arteritis temporal.