Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

"Kita harap tuah Dr. Haron''

Written By JOM JALAN on 22/05/05 | Ahad, Mei 22, 2005




Mukadimah
Muktamar Pas ke-51 yang bakal dilangsungkan pada 3 hingga 5 Jun ini dianggap pentas penting bagi parti tersebut. Ini kerana muktamar berkenaan bakal menyaksikan pemilihan jawatan dalam Pas.

Pemilihan itu menjadi tumpuan memandangkan ia bakal menentukan corak kepimpinan Pas selepas ini apatah lagi dengan kecenderungan pencalonan oleh kawasan-kawasan (bahagian) yang menunjukkan kemasukan ramai golongan profesional untuk bertanding.

Bagi mendapatkan pandangan yang lebih tepat berhubung pertembungan antara golongan ulama dan profesional dalam Pas, wartawan ZULKIFLEE BAKAR dan SAROJI MOKHTAR menemui Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu.

Temu janji yang sepatutnya berlangsung di pejabatnya terpaksa dipindahkan ke kediaman peribadinya di Kampung Pulau Melaka berikutan hari Khamis ditetapkan oleh beliau supaya semua wakil rakyat berada di kawasan masing-masing.

Wawancara berkenaan yang sepatutnya berlangsung lebih sejam bagaimanapun hanya sempat dilangsungkan selama 25 minit sahaja apabila Nik Abdul Aziz meminta ia dihentikan kerana gangguan kesihatan.

Bagaimanapun beliau sempat memberi pandangannya mengenai isu yang harus difokuskan oleh perwakilan dan pandangannya berhubung pencalonan Dr. Haron Din merebut jawatan timbalan presiden yang kini disandang oleh Hassan Shukri. Jawatan ini juga turut ditandingi oleh bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Selain itu Nik Abdul Aziz yang kelihatan agak keletihan turut sempat memberi pandangannya mengenai penyertaan golongan profesional dalam pemilihan kali ini.

MINGGUAN: Bagaimanakah Datuk melihat kepentingan muktamar kali ini kepada Pas?

NIK AZIZ: Sebagai orang Islam, kita perlu bermesyuarat dan berbincang mengenai Islam sama ada dalam bentuk muktamar, muzakarah atau tazkirah.

Ini kerana pada asasnya Allah melantik manusia ini sebagai khalifah. Allah memberitahu Nabi Muhammad s.a.w. bahawa Dia memanggil semua malaikat dan memberitahu bahawa sama ada bumi ini belum ada lagi atau sedang dibentuk, Aku bercadang untuk mewujudkan khalifah di muka bumi.

Oleh yang demikian kepada orang Islam dia mesti sedar dan meletakkan dirinya sebagai pengganti Allah di muka bumi ini. Apa yang Allah kata boleh manusia mesti kata boleh, apa yang Allah kata tak boleh manusia mesti kata tak boleh kerana manusia ini apa juga bangsa dan keturunannya semua pengganti Allah di muka bumi ini.

Allah tidak letak amanah ini kepada malaikat, iblis atau jin yang gagah perkasa atau pada gunung-ganang tetapi Allah bagi kepada manusia termasuk orang Melayu, kenapa? Oleh itu kewajipan manusia mesti meletakkan Islam di depan mata setiap masa, sama ada malam atau siang di semua bidang dalam politik, ekonomi, rumah tangga, budaya dan sosial mesti letakkan dia pengganti Allah.

Kalau haiwan tidak peduli kepada Islam, kalau malaikat tidak berfikir macam itu... itu dia punya fasallah tetapi manusia mesti (mengutamakan Islam).

Justeru kepada orang Melayu yang satu masa dahulu disebut-sebut 100 peratus Islam dan kini mulai luntur khabarnya... itu kesilapan pemimpin. Bermula daripada ibu bapa di rumah sehinggalah kepada peringkat persekolahan sampai kepada peringkat negara itu kesalahan pemimpin kerana meletakkan yang bukan Islam sebagai asas.

Sebab itulah Pas walaupun beberapa kali rebah bangun dan dianiayai maka Pas mesti bangun (sama ada) dalam bentuk muktamar, berparti, undi pilihan raya apa sahaja mesti dibuat, kerana ia bukan sahaja kerana kehendak demokrasi atau bukan sahaja kerana suka-suka hendak lawan UMNO. (Tetapi) ini tanggungjawab Allah yang dikenakan kepada kita.

Di akhirat kelak kita akan ditanya balik kamu buat apa di dunia Aku beri kamu nyawa, harta, otak, mata dan telinga kamu buat apa untuk Islam ini disebut amanat. Sebab itulah dalam al-Quran Islam ini disebut amanah. Ini puncanya Pas dengan takdir Allah sejak tahun 1951 dahulu diwujudkan di Tanah Melayu dan yang mewujudkan Pas ini bukannya daripada golongan jurutera, kumpulan hartawan, kumpulan profesional tetapi daripada golongan tuk guru dan golongan ulama. Maka muktamar dalam bentuk apa sekalipun perlu diadakan untuk kita bincang.

Apakah fokus utama yang harus diberikan oleh perwakilan dalam muktamar kali ini?

NIK AZIZ: Soal fokus atau isu ini, ia boleh jadi akan ditentukan oleh markas Pas pusat. Saya sendiri tak pasti kerana bimbang dengan masalah kesihatan, saya tidak hadir ke mesyuarat peringkat pusat.

Tetapi pada pandangan saya, sekarang ini timbul isu tentera Amerika Syarikat (AS) membuang al-Quran dalam tandas. Ini telah membuktikan bagaimana bangsa Eropah memperlekehkan al-Quran.

Oleh itu adalah perlu orang Islam khasnya orang Melayu mesti bangun membuat sesuatu termasuklah dalam muktamar Pas kali ini kerana boleh jadi orang Eropah buat sungguh (buang al-Quran dalam tandas). Saya yakin mereka lakukan perkara itu.

Ini kerana pertamanya Allah sebut dalam al-Quran orang yang paling musuh dengan Rasulullah ialah orang Yahudi dan Nasrani. Orang Yahudi ini sejak berzaman lagi usahkan dengan agama dengan nabi dia pun dia bunuh.

Dalam al-Quran sudah sebut banyak nabi dibunuh oleh orang Yahudi. Orang Eropah tidak mempunyai sensitiviti pada agama. Saya berkali-kali pergi ke Eropah sembahyang di masjid yang asalnya gereja yang dibeli oleh orang Islam. Adakah masuk akal gereja, rumah Allah mengikut Islam, dijual?

Kita orang Melayu macam mana bangsat dan miskin sekalipun tidak akan jual madrasah, tak jual surau. Tak ada orang Melayu terfikir nak jual surau atau masjid kerana bangsat disebabkan kita hormat, walau macam mana buruk pun madrasah kita orang Melayu tidak akan jual. Apabila kita wakaf maknanya kita beri balik kepada Allah. Ini asasnya.

Jadi orang Islam usahkan nak jual madrasah buruk, tikar buruk di madrasah pun dia tak bawa balik kerana ini hak Allah. Boleh jadi pegangan ini tidak ada di kalangan orang Eropah ini. Mereka buat gereja tak rasa ia rumah Allah kerana mereka menganggap Nabi Isa itu Allah, Tuhan. Jadi taraf Nabi Isa dan taraf Allah bagi orang Kristian jadi serupa ini satu hal yang mendukacitakan.

Al-Quran bagi orang Islam nak `jamah' (pegang) dia mesti ada air sembahyang tetapi mana ada orang Kristian `jamah' Injil ada air sembahyang. Kita nak `jamah' al-Quran ada air sembahyang, perempuan datang haid tak boleh pegang, si lelaki yang berjunub tak boleh baca al-Quran begitu sekali hebatnya Islam.

Oleh yang demikian pada saat dunia Eropah yang menjadi `kiblat' kepada sesetengah orang Islam yang fikiran dia cetek, maka perlulah sangat kita lawan balik secara gerakan Islam secara besar-besaran.

Sudah pasti turut menjadi fokus utama dalam muktamar kali ini ialah pemilihan kepimpinan Pas. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

NIK AZIZ: Sememangnya, pemilihan untuk mencari pemimpin sudah wujud sejak zaman Nabi Muhammad lagi. Cara pemilihan Islam tidak ditetapkan, yang diminta ialah mesyuarat `lagu' mana cara, Islam tak tetapkan sama ada nak buat style Melayu ke Arab ke... kita bebas... tak apa tetapi ketua mesti dilantik melalui pemilihan.

Di Kelantan ini di peringkat kawasan (bahagian) pemilihan sudah berlalu dan keadaan tahun ini lebih baik daripada pemilihan lalu. Pertelagahan, kata-mengata semakin kurang kerana saya bagi tahu kawan-kawan di Kelantan, kita memerintah negeri serupa dengan kita sembahyang sama-sama ibadat.

Saya duduk di atas kerusi Menteri Besar serupa saya duduk di atas sejadah... sama-sama berabdi kepada Allah. Abdi dalam solat, jaga harta benda kerajaan supaya tidak membazir dan tidak rasuah itu juga ibadat kepada Allah begitu juga dalam soal menjaga maruah manusia.

Maknanya taraf sembahyang dengan taraf memerintah negeri dalam Islam serupa sama-sama beribadat kepada Allah. Dengan sebab itu kalau hendak memilih ke atau hendak calon ke mesti jangan lari daripada niat untuk beribadah kepada Allah.

Cara ini dengan sendirinya akan menghilangkan perasaan nak burukkan orang atau nak bagi duit politik wang, dalam Islam tidak ada semua itu. Kalau ada juga (di kalangan orang Pas mengamalkan perbuatan itu) saya anggap orang ini pejuang Pas bukan pejuang Islam. Pejuang Pas lain pejuang Islam lain.

Selain jawatan naib presiden, jawatan timbalan presiden turut menjadi tumpuan apatah lagi Dr. Haron Din dikatakan calon favourite bagi menggantikan Hassan Shukri, apa pandangan Datuk mengenai pencalonan Dr. Haron ini?

NIK AZIZ: Dr. Haron Din tunjuk sebab tak nak bertanding jadi timbalan presiden kerana sakit. Tetapi dia selalu hadir dalam mesyuarat... ini masalahnya. Jadi kalau (soal) sakit... saya pun sakit... saya boleh pergi juga (mesyuarat peringkat pusat).

Tetapi kalau Dr. Haron sakit saya tidak boleh kata apalah sebab saya faham benar mengenai sakit tetapi sekadar untuk dia terima jadi calon timbalan, saya fikir tak ada masalah apa.

Maknanya kalau dia duduk di Kuala Lumpur dan (buat keputusan) nak terima pencalonan timbalan presiden sangat-sangat saya hormati.

Saya berdoa kepada Allah supaya terbuka pintu hatinya menerima pencalonan timbalan presiden sebab kita hendak pada tuah dia, ilmu dia, pengalaman dia dalam universiti dan hubungan dia dengan masyarakat luar di serata dunia.

Saya sangat-sangat setujulah (Dr. Haron sandang jawatan timbalan presiden) walaupun dalam keadaan sakit kita sama-sama berdoa agar dia akan terima pencalonan.

Kenapa Datuk begitu berharap kepada Dr. Haron sedangkan Pas Kelantan sendiri mempunyai calonnya iaitu Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang juga bekas timbalan Datuk dahulu? Apakah Abdul Halim tidak mempunyai kriteria seperti Dr. Haron?

NIK AZIZ: Yang itu (Abdul Halim bertanding) masalah peribadi... saya tidak mahu sentuh... dahulu bila saya sentuh soal pencalonan Dr. Siti Mariah Mahmud banyak orang tegur saya, kalau saya hendak sentuh soal seorang lagi tak bolehlah (tersenyum).

Tetapi dari segi pencalonan Dr. Haron Din... saya kata dia orang sakit kasihan kat dia... tetapi kalau dia hendak juga (bertanding) saya sangat berbesar hati dan berdoa mudah-mudahan dia terima pencalonan.

Pencalonan setakat ini menunjukkan dengan jelas bahawa ramai golongan profesional dicalonkan berbanding golongan ulama bagaimana Datuk melihat perkembangan ini?

NIK AZIZ: (Minta wawancara dihentikan tetapi turut menjawab soalan). Di Kelantan ini kita ada kolej yang bukan sahaja mengajar ilmu Islam tetapi juga mengajar profesion seperti komputer, kedoktoran dan sebagainya, ertinya semua ilmu kita ajar kerana ilmu di dunia ini bukan ilmu Inggeris atau ilmu orang Jepun tetapi ilmu Allah, justeru siapa yang rajin dia dapat, siapa yang malas walaupun orang Arab yang tinggal di Mekah sekalipun kalau malas tak buat apa.

Oleh itu bagi saya apabila golongan profesional masuk (menyokong perjuangan) Islam ini tanda golongan ini faham soal kongsi hidup di muka dunia ini buat apa? Mencari harta ke? Atau mencari keredaan Allah.

Sebagai seorang ulama dalam Pas Datuk dilihat bersikap terbuka dan mengalu-alukan kehadiran golongan profesional dalam Pas tetapi Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas pusat, Mohamed Daud seolah-olah melahirkan kebimbangan dengan golongan profesional?

NIK AZIZ: Itu (kenyataan Mohamed) saya tak mahu komen, cukuplah tu dah banyak saya bercakap (sambil minta wawancara ditamatkan). Saya kalau bercakap deras selalu (naik semangat boleh sebabkan sesak nafas)... Ini masalahnya, dalam hal ini saya puji Tun Dr. Mahathir Mohamad, dia cakap selamba sahaja walaupun dia sakit apa pun, dia tetap selamba itu kelebihan Dr. Mahathir.