PARIS 21 Mei - Seorang peguam Saddam Hussein berikrar semalam untuk memfailkan tuntutan saman bagi menuntut ganti rugi AS$1 juta (RM3.8 juta) daripada akhbar The Sun yang menyiarkan gambar-gambar bekas Presiden Iraq itu dengan hanya memakai seluar dalam.
Peguam bela warga Perancis, Emmanuel Ludot berkata, tuntutan saman dirancangkan di negara-negara di mana akhbar tabloid British itu dijual.
Ludot mendakwa Amerika Syarikat (AS) mendalangi penyiaran gambar itu kerana katanya, bukan satu kebetulan sebuah kamera boleh dibawa masuk ke dalam bilik tahanan Saddam yang dikawal ketat.
``Saya fikir strategi ini diatur oleh pihak Amerika untuk menghancurkan imej Saddam Hussein.
``Mereka mahu menghantar mesej: `Tengok lelaki ini, dia bukan tuhan, dia hanya manusia biasa, dia tahanan kami, dia mangsa kami, tiada gunanya untuk terus menaruh kepercayaan terhadapnya','' kata Ludot.
Menurut beliau, tuntutan saman akan difailkan di semua negara di mana gambar tersebut disiarkan kepada orang ramai.
Gambar yang disiarkan dalam The Sun di Britain dan New York Post di AS semalam dipercayai diambil tahun lepas.
Menurut kedua-dua akhbar, gambar berkenaan dibekalkan oleh seorang pegawai tentera AS yang tidak disiarkan namanya.
The Sun hari ini menyiarkan satu lagi gambar Saddam yang menunjukkan bekas Presiden Iraq itu memakai jubah putih duduk di belakang dawai berduri.
Dia kelihatan menadahkan tangan dan menundukkan kepala seperti sedang berdoa.
Akhbar itu turut menyiarkan gambar dua bekas orang kanan Saddam, Ali Hassan Al-Majid yang dikenali sebagai Ali Kimia dan Huda Salih Mehdi Ammash yang dicap sebagai `Puan Antraks' oleh media asing. - Agensi