Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Islam liberal menyeleweng

Written By JOM JALAN on 22/05/05 | Ahad, Mei 22, 2005

KUALA LUMPUR 21 Mei - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin mengingatkan umat Islam di negara ini supaya tidak terpengaruh dengan fahaman Islam liberal kerana ia bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

Katanya, pegangan fahaman ini menyeleweng kerana ia hanya berlandaskan kepada sebahagian al-Quran sahaja di samping tidak mempercayai alim-ulama dan menolak disiplin ilmu serta syarat-syarat ijtihad yang ada dalam Islam.

Katanya, ini boleh dilihat melalui prinsip fahaman ini yang melihat sesuatu perkara dalam kehidupan mengikut penerimaan masyarakat semasa, mengutamakan rasional pemikiran semata-mata dan menganggap semua agama adalah sama.

``Justeru kita perlu berhati-hati dengan pengaruh Islam liberal ini kerana jika tidak disekat ia boleh mendatangkan mudarat dan merosakkan pemikiran masyarakat Islam.

``Implikasinya terlalu bahaya dan kerajaan Malaysia dalam hal ini memang mempunyai sikap tegas untuk melindungi akidah umat Islam supaya tidak dicemari oleh fahaman yang tidak diingini,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Wacana Islam Liberal anjuran Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Fikri Yaakub dan Ketua Bahagian Penerbitan DBP, Datuk Dr. Annuar Ridhuan.

Menurut Abdullah, aliran fahaman Islam liberal dilihat mula berkembang sejajar dengan perkembangan dunia yang sedang bergerak ke arah globalisasi.

``Dan paling bahaya sekali ajaran ini turut disebarkan melalui serangan pemikiran yang dibuat secara halus.

``Malah, pengikut fahaman ini telah mewujudkan sebuah badan yang dikenali sebagai Jaringan Islam Liberal yang bertujuan untuk menyebarkan seluas-luasnya fahaman ini di samping mewujudkan rangkaian ke negara-negara lain.

``Dan di peringkat lebih global sendiri masyarakat Islam dikejutkan dengan perkembangan Islam liberal apabila seorang wanita, Dr. Amina Wadud menjadi imam untuk solat Jumaat tidak lama dahulu,'' ujarnya.

Bagaimanapun katanya, Malaysia yang jelas termaktub Islam sebagai agama rasminya tetap akan menghalang perkembangan ini walau melalui apa cara sekali pun.

``Kita akan menggunakan segala saluran secara bersepadu dan terancang bermula dari pendidikan hinggalah ke penguatkuasaan undang-undang bagi memelihara akidah umat Islam di negara ini,'' tambahnya.