Star Wars jadi cermin imperialisme AS
Oleh Ismail Hashim
Filem siri Star Wars terakhir yang menamatkan saga enam bahagian iaitu Episod III: Revenge of the Sith mula ditayangkan di pawagam di negara kita.
Namun jika diteliti apresiasi filem ini jauh menjangkaui nilai hiburannya walaupun ia digolongkan ke dalam genre filem fiksi sains.
Filem ini seolah-olah dapat disamakan empayar jahat Darth Vader dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush.
Kebanyakan daripada dialognya berkisar di sekitar bagaimana sistem demokrasi bertukar kepada diktator dan bagaimana ahli-ahli politik merancang peperangan sebagai usaha ingin untuk mengukuhkan kuasa.
Antara dua dialog penting: ``Beribu generasi lamanya, pahlawan-pahlawan Jedi merupakan penjaga keamanan dan keadilan republik lama. Sebelum masa-masa kegelapan. Sebelum empayar'' - Ben Kenobi watak dalam Star Wars - Episode III: Revenge of the Sith.
Terjemahan dalam bahasa Inggeris (For a thousand generations, the Jedi knights were the guardians of peace and justice in the old republic. Before the dark times. Before the empire.''- Ben Kenobi)
``Inilah bagaimana kebebasan mati: Dengan tepukan gemuruh.'' (This is how liberty dies: With thundering applause. - Senator Padme Amidala (salah satu watak lagi dalam Star Wars - Episod III: Revenge of the Sith.
Pada suatu ketika, dapat dilihat Anakin Skywalker, si Jedi menjadi Darth Vader, malah memberikan amaran atau kata dua: ``Sama ada anda bersama saya atau menjadi musuh saya'' (You're either with me or you're my enemy).
Frasa di atas yang seolah-olah mengingatkan kita kepada kata dua Bush yang dibuat selepas peristiwa 11 September apabila beliau mengatakan: ``Sama ada anda bersama kami atau anda menentang kami dalam perang menentang keganasan'' (Either you're with us or you're against us in the fight on terror.)
Bagaimanapun pengarah filem Star Wars, Geoger Lucas memberitahu semasa dia menulis skrip asal Star Wars pada penghujung perang Vietnam dia ingin meneroka isu mengenai bagaimana sistem demokrasi boleh bertukar menjadi diktator.
Beliau juga tidak mengetahui bagaimanakah perang di Iraq boleh menyamai atau dikaitkan dengan filem Star Wars bikinannya.
Penghujung cerita Star Wars seolah-olah memberitahu kita bahawa dunia akan sentiasa menjadi seperti Star Wars, sentiasa ada watak seperti Darth Vader dan watak yang baik seperti Anakin Skywalker akhirnya sama ada dipaksa oleh keadaan, dipengaruhi atau untuk terus hidup harus berada di bawah bayangan dan pengaruh kegelapan.
Harapan
Tiada cahaya atau harapan kebenaran yang akan menjelma. Star Wars seolah-olah menggambarkan sistem yang terdapat hari ini. Umat Islam akan sentiasa ditindas, dihina (lihat bagaimaan al-Quran dihina) dan terus menerima kekalahan.
Kebenaran telah kalah dan kegelapan telah menyelubungi dunia sekarang. Tiada harapan lagi untuk kemenangan seperti kata Francis Fukuyama dahulu The End of History.
Kita seperti tiada pilihan sama ada bersetuju menyertai Amerika dan mengikut segala sistem dan budayanya jika tidak akan menjadi musuh yang diburu seumur hidup dan harus menerima tekanan dan menderita daripada kezalimannya.
Negara-negara sedang membangun terutamanya negara Islam memang tidak diberi pilihan tetapi harus menyertai perang menentang keganasan atau menjadi musuh kepada Amerika. Seluruh dunia terpaksa akur kepada Darth Vader Amerika kerana ia adalah suatu kuasa imperialis masa kini.
Jika merujuk kepada al-Quran, sumber petunjuk (hudan lin nas) utama umat Islam (yang dihinakan pasukan penyiasat Amerika di Teluk Guantanamo) segala keburukan, kekurangan dan kekejaman merupakan hal yang bersifat relatif, sampingan atau sementara kerana ia akan sirna apabila datangnya kebenaran.
Sedangkan yang tetap tegar dan kuat hanyalah kebenaran itu sendiri. Segala yang ada merupakan kebaikan, kesempurnaan serta kemurahan Allah semata.
Allah berfirman yang berbunyi: Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. (al-Qashash:88)
Dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. (ar-Rahman:27)
Sepanjang sejarah umat manusia, pandangan semacam inilah yang sentiasa berpihak kepada kebenaran dan pemerintahan kebenaran akan dapat menakluki seluruh pemerintahan kabatilan.
Dialah yang telah memutuskan Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai. (at-Taubah:33)
Walaupun AS telah berjaya menawan Iraq, penentangan pejuang Islam Iraq tetap dilakukan. Walaupun Israel telah berjuta-juta kali melakukan kekejaman dan pembunuhan atas rakyat Palestin, intifada dan penentangan tetap berlangsung.
Sebenarnya kebenaran tidak pernah padam. Di bawah bayangan kekejaman dan kegelapan pun, cahaya kebenaran terus hidup.
Namun perjuangan tidak harus dilihat daripada aspek ketenteraan sahaja kerana medan perjuangan umat Islam adalah pelbagai.
Ada perjuangan di medan ekonomi, politik, ilmu pengetahuan, ideologi, intelektual dan budaya serta segala yang berkaitan dengannya.
Firman Allah yang berbunyi: Sebenarnya Kami melontarkan yang haq kepada yang batil lalu yang haq itu menghancurkannya, maka dengan sertamerta yang batil itu lenyap. Dan kecelakaanlah bagimu disebabkan kamu menyifati (Allah dengan sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya) (al-Anbiyaa:18)
Dan Allah berjanji kepada orang-orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang salih bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka kami. (al-Nur:55)
Harus diingati kemenangan dan cahaya kebenaran itu tidak datang bergolek ia tetap diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh, doa dan pertolongan Allah.
Jika tidak mengapa perlu susah payahnya Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabatnya berjuang bermati-matian memperjuang agama Islam dan menegakkan Madinah sebagai sebuah negara dan pusat ketamadunan Islam sejagat.
Oleh itu, al-Quran sentiasa mengingati, hendaklah kita beriman dan janganlah bersedih, Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) bersedih hati. (ali-Imran:21)