Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Penganut Hindu terus tuntut Taj Mahal

Written By JOM JALAN on 1/06/05 | Rabu, Jun 01, 2005

Taj Mahal

AGRA, India 18 Mei - Pertikaian berhubung hak pemilikan ke atas Taj Mahal terus berlangsung sewaktu monumen terkenal dunia itu meraikan ulang tahun ke-350 tahun ini.

Struktur seni bina unggul dari abad ke-17 yang dibina oleh Maharaja Shah Jahan sebagai simbol cinta kepada isterinya, Mumtaz Mahal, kini dimiliki dan diuruskan oleh Kajian Arkeologi India.

Bagaimanapun Lembaga Wakaf Sunnah yang menjaga kawasan perkuburan serta masjid penganut Sunnah di seluruh India menegaskan bahawa Taj Mahal adalah milik lembaga itu kerana ia menempatkan makam Mumtaz dan Shah Jahan yang merupakan pengikut Sunah.

Selain makam Shah Jahan dan isterinya, Taj Mahal yang terletak di Uttar Pradesh itu turut menempatkan kubur-kubur kerabat diraja.

Sementara itu, pihak Vishwa Hindu Parishad (VHP) masih meneruskan tuntutan ke atas Taj Mahal dengan alasan istana itu dibina di atas kuil Hindu yang didirikan untuk dewa Shiva sebelum ia dimusnahkan bagi membolehkan pembinaan simbol cinta Shah Jahan itu.

VHP mendesak agar Taj Mahal diisytiharkan sebagai sebuah kuil Hindu kerana `kuil asal tertimbus di bawah binaan masjid' tersebut.

Sementara itu, pengarah Kajian Arkeologi, Ghulam Ali Qamar menegaskan bahawa tidak ada sesiapa yang memasuki bahagian bawah tanah Taj Mahal sejak beliau mengambil alih tugas menjaga Taj Mahal di antara tahun 1958 dan 1976.

``Kami pernah cuba menggali satu lubang untuk melihat apa yang ada di bawahnya tetapi lantai tersebut sangat tebal dan kami gagal berbuat demikian,'' katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Wakaf Sunnah, Hafiz Usman berkata, mereka akan melakukan apa sahaja termasuk membawa kes itu ke Mahkamah Agung untuk mendapatkan Taj Mahal.

``Mereka boleh berkata apa sahaja tetapi hakikatnya, Taj Mahal mengandungi kubur Shah Jahan iaitu orang yang membinanya dan kerana itu ia kini adalah milik Wakaf ini,'' tegas Hafiz. - AP