Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Ahli Fiqir

Written By JOM JALAN on 18/06/05 | Sabtu, Jun 18, 2005



Siapa sangka irama lagu yang cukup mudah dan bersahaja mampu menjadikan sebuah kumpulan yang dahulunya langsung tidak dikenali kepada sebuah kumpulan yang semakin terkenal.

Setelah membawakan lagu Samseng, nama Ahli Fiqir kini tidak asing lagi di kalangan peminat muzik di negara ini. Walaupun ramai yang menganggap bahawa lagu-lagu 'rap' dalam Bahasa Melayu tidak setanding 'rap' orang Amerika, namun Ahli Fiqir nampaknya telah berjaya mengubah persepsi tersebut.

Tidak sampai setahun yang lalu, kumpulan ini pernah mengadakan persembahan buat julung kalinya di Kuala Lumpur di hadapan ribuan penonton pada acara Malay Mail Big Walk di Dataran Merdeka. Namun, pada ketika itu ramai di antara penonton masih belum lagi mengenali siapakah sebenarnya yang menganggotai kumpulan Ahli Fiqir ini.

Pelbagai persoalan timbul. Ramai yang tertanya-tanya dari mana asalnya mereka ini? Syarikat rakaman mana yang telah mereka tandatangani? Bagi sesetengah individu, mereka tentunya boleh mengagak sesuatu bakal berlaku ke atas kumpulan tersebut memandangkan sebuah kumpulan muzik dari Singapura sedang mencuba nasib di arena muzik Malaysia.

Pada acara itu, Ahli Fiqir menyanyikan lagu bertajuk Samseng. Beberapa bulan kemudian, lagu tersebut menjadi sangat popular dan dimainkan berulang-ulang kali oleh hampir semua stesen radio tempatan.

Sungguhpun menerima reaksi yang begitu hebat daripada pendengar muzik tempatan, kumpulan tersebut masih menjadi tanda tanya. Lagu Samseng terus menambat hati kebanyakkan ramai pendengar, termasuklah peminat dari negara asalnya dan juga di kalangan peminat muzik hip-hop di Indonesia.

Semakin hari, semakin kerap lagu tersebut berkumandang ke udara. Pada waktu itulah, kisah mengenai kumpulan ini mula dikupas sedikit demi sedikit.

Ahli Fiqir pada mulanya disertai oleh tiga orang anggota kumpulan - Fadali Mohd Darif atau Daly (ahlifiqir), Samsolnahar Sibengat atau Samsol (tukangkata) dan Noor Hidayati Mohamed Yusop atau Dayat (juga dikenali sebagai mawarberduri).Tidak lama selepas itu, sewaktu dalam proses mengembangkan muzik yang mereka perjuangkan, muncul seorang lagi anggota baru.Beliau ialah Ceza Mutyara atau dj cza, seorang rakyat Indonesia yang berkebolehan besar dan mampu menyumbangkan bakat muziknya untuk kumpulan ini melalui sentuhannya yang unik.

Kini, setelah kejayaan lagu Samseng, Ahli Fiqir sekali lagi bakal menggegarkan pendengar-pendengar muzik tanah air dengan satu lagu terbaru, Angguk-Angguk Geleng-Geleng. Lagu Ini merupakan hasil kerjasama Ahli Fiqir dan dua peminat besar muzik hip hop iaitu Syaheed dan Qumran.

Album yang diterbitkan oleh Powder Records edaran Warner Music ini bakal memberi 'kejutan' kepada seluruh peminat muzik di Malaysia memandangkan ianya digarap dengan unik yang mempunyai kombinasi muzik tradisional Melayu dan kontemporari.

LAGU-LAGU DI DALAM ALBUM 'HARI INI DALAM SEJARAH'
Inilah Barisan Kita
Angguk-Angguk Geleng Geleng
Tik Tok Simpati
Kalau Melayu.Memang Melayu
Ambillah Ambila
HIDS (Interlud)
Narapidana
Ahli Fiqir Boleh
Palsu
Topeng Wajah
Ahli Fiqir dan 7 Penyamun
Merdeka Minda
Samseng
Kembalikan Kampung Halamanku
Syair Si Ahli Fiqir
Pesta

Kiriman ERA FM Exclusive