Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Bapa penasihat terbaik

Written By JOM JALAN on 18/06/05 | Sabtu, Jun 18, 2005

Oleh Azlinariah Abdullah (Wartawan Utusan)

BERBANDING hari penghargaan lain yang diraikan sepanjang tahun, barangkali kedatangan hari bapa sedikit terlewat.

Setiap tahun, hari khusus untuk memperingati kaum bapa jatuh pada tarikh 17 Jun.


Sama seperti hari ibu, sambutan hari bapa bermula di Amerika Syarikat (AS) dengan ideanya dicetuskan oleh seorang wanita, Sonora Dodd dari daerah Spokane.

Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang bapanya, William Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan membesarkan enam anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil.

Hari bapa yang pertama disambut pada 1910 dengan mengambil sempena tahun kelahiran Smart sendiri.

Sejak tahun 1972 ia disambut setiap tahun apabila bekas Presiden AS, Richard Nixon menandatangani satu undang-undang awam yang menjadikan hari tersebut dicatat di dalam kalendar.

Tetapi tidak seperti ibu, barangkali ada yang bersetuju bahawa jasa dan pengorbanan bapa tiada nampak oleh pandangan mata kasar.

Sebenarnya jasa ibu dan bapa itu sama penting di mana ia sama-sama wajar dihargai setiap masa.

Kalau ibu adalah ratu, bapa pula hero di hati dan jiwa kita.

Dengan ibu, sejumlah wang tidak mungkin dapat membayar harga setitik susu yang diminum bagi menjadikan kita seorang manusia.

Bersama ayah, kemewahan yang melimpah di dunia ini langsung tidak sepadan dengan harga setitis keringat bapa membanting tulang mencari rezeki membesarkan kita.

Ketika ibu diingati kerana sukarnya mereka menampung nyawa di dalam rahim serta menahan sakit melahirkan kita, bapa pula dikenang sebagai penasihat terbaik di dunia sekali gus memandu anak-anak amanah Allah ke jalan yang tidak menyimpang.

Lupakan bapa jenis `haruan makan anak' atau gemar menyerahkan segala tanggungjawab mencari rezeki kepada pihak lain.

Alihkan pandangan kepada jenis ketua keluarga yang mulia hati dan sanggup menjadi `bapa' kepada anak-anak lain.

Ambil contoh, Ahmad Khariri Al-Hadi Md. Yusop, 27, yang sanggup menyerahkan sebelah hatinya demi memberi sinar kehidupan kepada bukan darah dagingnya - adik Mohd Yohit Mohd. Farhan yang menghidap penyakit bengkak hati.

Walaupun kini Mohd Yohit telah meninggal dunia, kemuliaan hati Ahmad Khariri, seorang bapa kepada tiga anak tetap diingati.

Bapa sebegini yang seharusnya dijadikan contoh teladan. Pengorbanan daripada bapa seperti ini adalah cerminan kasih seorang ayah ibarat laut tidak bertepi.