Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Zahid, Khir bina jambatan serumpun

Written By JOM JALAN on 18/06/05 | Sabtu, Jun 18, 2005

SEMASA Datuk Ahmad Zahid Hamidi berucap menggunakan bahasa Jawa pada majlis pelancaran Jualan Mega Malaysia dan Gebyar BCA (promosi Bank BCA) di Jakarta baru-baru ini, beberapa tetamu Indonesia kelihatan tercengang.

Mereka tertanya-tanya dari mana Timbalan Menteri Pelancongan itu mempelajari bahasa Jawa, apatah lagi bahasa yang digunakan merupakan bahasa Jawa halus yang biasa digunakan oleh generasi tua.

Begitu juga semasa Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Selasa lalu.

Khir yang juga Menteri Besar Selangor berkunjung bersama Komite (Jawatankuasa) Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) diperkenalkan berasal- usul dari Solo, Jawa Tengah dan masih boleh berbahasa Jawa.

Menurut seorang anggota KNPI yang turut bersama dalam rombongan itu, Presiden yang berasal dari Pacitan, Jawa Timur menyambut baik kehadiran MBM, apatah lagi mengetahui pemimpinnya masih mempunyai hubungan erat dengan Indonesia.

``Bapak Presiden pada pertemuan ini bercakap dalam nada yang terbuka.

``Mungkin beliau merasakan seperti bertemu saudara sendiri. Suasana sangat santai dan akrab,'' katanya.

Penting untuk menjalin hubungan dengan KNPI, kerana ia sebuah organisasi bukan kerajaan yang ramai pemimpinnya merupakan ahli Parlimen dan bakal mewarisi kepimpinan negara ini.

Hubungan akrab khususnya antara pemimpin muda kedua-dua buah negara seperti ini menjadi perhatian sejak akhir-akhir ini berikutan terganggunya hubungan dua hala yang antara lain disebabkan salah faham dan kurangnya hubungan peribadi.

Dalam isu tenaga kerja Indonesia umpamanya, Malaysia dikecam bersikap tidak berperikemanusiaan dan mengambil kesempatan atas rakyat Indonesia kerana `mengusir' rakyat negara ini sewenang-wenangnya.

Sedangkan apa yang berlaku ialah Malaysia hanya mengambil tindakan undang-undang dan memulangkan pendatang asing tanpa izin, bukannya tenaga kerja Indonesia.

Tenaga kerja Indonesia tidak diganggu dan dialu-alukan untuk sama-sama menikmati kemakmuran ekonomi Malaysia.

Begitu juga isu tuntutan bertindih Laut Sulawesi. Secara teknikal, kawasan yang kaya dengan minyak itu tidak boleh disahkan milik Malaysia mahupun Indonesia kerana belum ada kesepakatan sempadan antara kedua negara. Kedua-dua negara memang berhak mendakwa ia kawasan berdaulat negaranya berdasarkan fakta termasuk peta yang dimiliki negara masing-masing.

Sebab itu, kawasan ini disebut kawasan bertindih kerana dua negara mengaku sebagai kawasannya dan kini jawatankuasa teknikal sedang dalam proses rundingan untuk mencari jalan penyelesaian.

Kedua-dua isu itu telah membangkitkan sentimen anti-Malaysia di kalangan sebahagian rakyat Indonesia, terutama golongan muda yang mengadakan tunjuk perasaan dan bantahan dalam bentuk lain.

Sedangkan isu-isu berkenaan boleh diatasi jika pemimpin kedua-dua negara, yang selalu dinyatakan sebagai bangsa serumpun dan satu bahasa, saling memahami dan mempunyai hubungan peribadi.

Hubungan

Selain hubungan formal kerajaan dengan kerajaan, hubungan peribadi sesama pemimpin inilah yang perlu dipupuk agar apa juga perselisihan dapat segera diatasi atau perasan marah boleh ditenteramkan dengan cepat.

Hubungan antara rakyat, terutama pemimpin muda inilah yang mahu ditekankan sekarang kerana pendekatan satu rumpun belum tentu menjanjikan keakraban jika ia tidak terus dipelihara dan dipupuk. Selepas tumbangnya rejim Suharto dan perubahan pucuk pimpinan, hubungan peribadi sesama pemimpin terlihat longgar kerana kebanyakannya tidak saling mengenali.

Justeru, kehadiran pemimpin muda seperti Zahid dan Khir yang mahu menjenguk saudara serumpun mereka akan memberi manfaat ke arah hubungan yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia.

Tetapi hubungan itu tentunya tidak boleh bergantung hanya sekadar pertukaran lawatan tetapi pertukaran program, kerjasama dalam pelbagai bidang dan saling berhubung walaupun hanya untuk bertanya khabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah menunjukkan contoh yang baik. Dalam tempoh tujuh bulan pemerintahan Susilo, enam kali kedua-duanya telah bertemu. Seperti diakui oleh Susilo, mereka saling berhubung melalui telefon. Hubungan seperti ini sangat membantu kedua-dua negara untuk mengatasi sebarang masalah dalam waktu yang singkat.

Begitu juga Naib Presiden, Yusuf Kalla yang berasal dari Makasar, Sulawesi mengambil peluang beramah mesra dengan masyarakat Bugis di Johor sempena kunjungannya ke Malaysia baru-baru ini.

Dan di luar jadual lawatan Zahid ke Yogyakarta, beliau sempat menemui beberapa orang saudaranya di daerah asal-usulnya itu. Khir pula berniat untuk mendaki Gunung Bromo, Jawa Timur bagi mengenali lebih dekat budaya rakyat negara ini.

Apa yang dilakukan oleh para pemimpin dua negara ini tentunya akan tambah mengeratkan hubungan dan tidak hanya mengharap pada ikatan sejarah sebagai bangsa serumpun. - Utusan