Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Jackson ikrar balas dendam komplot mahu jatuhkannya

Written By JOM JALAN on 18/06/05 | Sabtu, Jun 18, 2005

LONDON 17 Jun - Michael Jackson yang baru dibebaskan daripada 10 tuduhan pencabulan seksual berikrar akan membalas dendam terhadap komplot yang berusaha menjatuhkannya selama ini.
Abang penyanyi itu, Jermaine berkata, walaupun sudah dibebaskan dan bercadang meninggalkan Amerika Syarikat, Jackson menganggap Pendakwa Raya, Tom Sneddon dan media tertentu cuba `mengebumikannya'.

Katanya, keluarga Jackson kini dalam pemulihan dan menyifatkan musuh mereka berada dalam keadaan ketakutan selepas adiknya dibebaskan.

Jermaine yang muncul dalam rancangan Larry King berkata, terdapat `konspirasi gelap' yang mendalangi pendakwaan terhadap Raja Pop itu.

Beliau berkata, adiknya beranggapan tidak dapat terus menetap di negara ini.

Bagaimanapun sebelum berpindah, keluarga Jackson akan mengambil tindakan terhadap Sneddon.

``Tom Sneddon mempunyai dendam peribadi. Dia membazirkan wang pembayar cukai. Mereka patut melakukan siasatan.

``Saya tidak tahu apa (Jackson) buat. Tapi saya akan bertindak. Mereka cuba membunuh dia (Jackson), tetapi mereka menyebabkan dia semakin penting.''

``Komplot-komplot itu memang ada... mereka seperti ahli silap mata. Mereka mengenakan tuduhan mencabul kanak-kanak menggunakan tangan kanan, tetapi tangan kiri mereka melakukan sesuatu.

``Kini mereka ketakutan dan mereka tidak akan dapat melarikan diri,'' katanya.

Adik bongsu Jackson, Randy yang menjadi pengurusnya pula menyatakan akan mengadakan keraian untuk para peminat Raja Pop yang telah banyak memberikan sokongan.

Selepas ini, Jackson dan keluarganya akan berpindah ke tempat lain yang belum ditetapkan lagi.

Jermaine menambah: ``Kami mencintai rakyat Amerika, tetapi masih ada tempat yang lebih baik di dunia ini. Amerika patut bangga dengan Jackson, tetapi mereka cuba menjahanamkan dia.'' - Agensi