Seniman Aziz Jaafar meninggal dunia
Written By JOM JALAN on 24/06/05 | Jumaat, Jun 24, 2005
Seniman Aziz Jaafar meninggal dunia kerana demam
KUALA LUMPUR 23 Jun - Hero filem Melayu tahun 50-an dan awal 60-an, Abdul Aziz Jaafar atau Aziz Jaafar meninggal dunia di rumahnya dekat sini hari ini kerana demam.
Beliau yang berusia 69 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di SS14 kira-kira pukul 6 pagi ini.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan Allahyarham isterinya, Normadiah di Bukit Kiara, Damansara selepas solat Asar.
Menurut anak bongsunya, Liza, dia hanya menyedari ayahnya meninggal dunia sebaik sahaja memasuki kamar tidur pelakon tersebut pada pukul 10 pagi.
Liza memberitahu, dia melihat ayahnya tersandar di tepi katil.
``Saya sendiri tidak pasti pukul berapa abah menghembus nafas terakhir sebab dia seorang diri di dalam bilik.
``Menurut doktor, abah disahkan meninggal dunia empat jam awal sebelum saya temui dia di dalam bilik,'' kata Liza.
Selain Liza, Allahyarham mempunyai seorang lagi anak hasil perkahwinan dengan Normadiah iaitu penyanyi Azlina Aziz, 43.
Liza, 42, memberitahu, ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi mengadu yang dia demam malam semalam.
Biarpun kesihatannya kurang baik, kata Liza, Allahyarham rancak bercerita tentang persembahannya di Kuching, Sarawak yang turut disertai oleh beberapa artis veteran lain pada 15 Jun hingga 20 Jun lalu.
Allahyarham yang turut menghidap penyakit kencing manis itu menetap bersama Liza dan Sharifah Hasnor Hassan sejak kematian isterinya kira-kira lima tahun lalu.
Sharifah Hasnor Hassan, 43, merupakan anak tirinya dan Allahyarham juga amat rapat dengan dua orang lagi anak tirinya iaitu Syed Ekhzan, 47, dan Martina Hatim Hassan, 49, yang menetap di Singapura.
Antara filem lakonan Allahyarham ialah Hantu Jerangkung, Batu Belah Batu Bertangkup, Sumpah Wanita, Singapura Dilanggar Todak dan Anak Buluh Betong.
Turut hadir menziarahi jenazahnya ialah Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin, Datuk Jins Shamsudin, Datuk Sarimah Ahmad, Mariani, Nash, Juliana Banos, Salimah Mahmod, Yusni Jaafar dan Ogy Ahmad Daud.