Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Indonesia laksana hukuman sebat

Written By JOM JALAN on 25/06/05 | Sabtu, Jun 25, 2005

JAKARTA 24 Jun - Undang-undang Indonesia hari ini mencatat sejarah apabila hukuman sebat dilaksanakan ke atas 15 orang yang melakukan kesalahan berjudi berdasarkan syariat Islam yang mula dikuatkuasakan di Aceh.

Hukuman bersejarah itu dilaksanakan selepas solat Jumaat di halaman terbuka Masjid Agung Bireun, kira-kira 350 kilometer dari Banda Aceh disaksikan kira-kira 2,000 penduduk setempat dan mendapat liputan meluas media massa.

Atas alasan kesihatan, baki 11 lagi tertuduh akan menjalani hukuman di halaman masjid di daerah masing-masing pada waktu yang belum ditetapkan lagi.

Kesemua mereka yang kebanyakannya petani dan peniaga kecil ditangkap semasa sedang berjudi dalam tempoh beberapa bulan ini, sejak undang-undang syariat dikuatkuasakan.

Mahkamah Syariah Bireun mendapati mereka bersalah dan menjatuhkan hukuman sebat di antara enam dan sepuluh kali berdasarkan Peraturan Daerah No. 13 Tahun 2003 Tentang Perjudian.

Sebelum disebat, identiti dan kesalahan tertuduh dibacakan untuk memberi ingatan kepada orang ramai yang berpusu-pusu di halaman masjid supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Selepas menjalani hukuman sebat itu, mereka dibebaskan dan menerima bungkusan hadiah serta dipeluk oleh para pegawai agama dan daerah yang menghadiri majlis tersebut.

Mengikut peraturan hukuman sebat, rotan yang digunakan berdiameter di antara 0.75 hingga 1 sentimeter dan panjang 1 meter dengan sebatan tidak sehingga menimbulkan luka.

Hukuman rotan bagi kesalahan berjudi dan berkhalwat ini mendapat kecaman beberapa organisasi hak asasi manusia yang menyifatkannya tidak berperikemanusiaan dan merendahkan darjat manusia.

Pelbagai pihak juga mendesak agar hukuman sebat turut dikenakan terhadap kesalahan lain khususnya yang menimbulkan kerugian kepada negara seperti rasuah dan menyelewengkan wang kerajaan

Kerajaan Pusat Indonesia memberi kebenaran kepada wilayah Aceh menjalankan undang-undang Syariah Islam pada tahun 2001. - Utusan