Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Cabaran ideal pascamoden

Written By Syafrein Effendiuz on 3/06/05 | Jumaat, Jun 03, 2005

Oleh: YAMIN CHENG

Pascamoden adalah satu ungkapan mutakhir yang merujuk kepada wajah dunia kini. Menurut kacamata Barat, dunia telah melalui empat era, termasuk yang terkini yang dinamakan sebagai era pascamoden. Tiga era yang terdahulu ialah era silam, era pertengahan dan era moden.

Era silam dikatakan mewajahi dunia dengan legenda dan mitos, era pertengahan dengan keagamaan, era moden dengan akal, dan era pascamoden dengan hermeneutik, atau tafsiran peribadi tentang segala yang ada.

Lima perkara pokok yang membentuk wajah dunia ialah realiti, kebenaran, ilmu, sejarah dan diri. Realiti merujuk kepada persoalan tentang hakikat kewujudan dunia, sama ada dunia ini hanya semata juzuk kebendaan ataupun mempunyai dimensi yang lebih dari itu.

Kebenaran merujuk kepada pengesahan terhadap realiti dunia, dan ini bergantung kepada sumber kebenaran, sama ada ia legenda dan mitos, periwayatan, akal, ataupun wahyu. Ilmu merujuk kepada titik temu diri dengan kebenaran dari segi padanan kebenaran dengan diri dan sebaliknya.

Sejarah merujuk kepada dunia sebagai persada titik temu segala yang terdapat di dalamnya, dan titiktemu ini memberikan satu gambaran tentang perencanaan dunia, termasuk sama ada ia mempunyai corak yang berulang ataupun ia bersifat rambang.

Diri merujuk kepada persoalan tentang kewujudan jati seseorang, seperti persoalan tentang sama ada kejatian dirinya adalah melalui kelahiran ataupun ianya bergantung kepada faktor persekitaran, seperti budaya dan sejarah.

Pascamoden yang berpangkalankan hermeneutik sebagai tafsiran wajahnya menolak segala pandangan tentang dunia sebelumnya. Lebih tepat dikatakan bahawa ia tidak ada ketetapan tentang wajahnya. Wajahnya bergantung kepada tafsiran peribadi seseorang.

Dalam ertikata lain, wajah dunia bukanlah sesuatu yang bersifat objektif, yakni, ia bukanlah sesuatu yang wujud berasingan daripada diri seseorang.

Sebaliknya, ia adalah sesuatu yang dilahirkan dari persepsi seseorang tentangnya. Jikalau falsafah dan sains moden mengajar bahawa dunia adalah sebuah misteri terselindung di sebalik pengetahuan manusia namun boleh diketahui melalui kaedah analisis dan empirik, kaedah hermeneutik mengandaikan bahawa pada hakikatnya, tidak wujud apa-apa di sebalik pengetahuan itu.

Sebaliknya apa yang ada pada dunia adalah hasil janaan manusia terhadapnya melalui imaginasi dan wacana. Wajah dunia bukanlah sesuatu yang dicari dan ditemui tetapi dicipta. Dengan itu, dunia bukanlah sesuatu yang objektik dari diri seseorang, tetapi subjektif pada dirinya.

Implikasi dari hermeneutik sebagai wajah dunia membawa kepada pemahaman baru tentang kelima perkara pokok yang membentuk wajahnya. Realiti sebagai sesuatu yang objektif, kekal, abadi, stabil, dan universal kini hanya tinggal kekosongan yang hakikatnya diisi oleh imaginasi dan wacana manusia mengenainya.

Walaupun manusia dalam suatu zaman hidup dalam ruang dan waktu yang sama, tetapi oleh sebab pengalaman mengenai ruang dan waktu itu berbeza di antara satu dengan yang lain, maka persepsi dirinya tentang persekitarannya pun berbeza.

Justeru realiti yang dijanakan oleh pengalamannya adalah realiti yang hanya relatif kepada dirinya sahaja dan tidak semestinya realiti yang sama untuk orang lain. Inilah yang dikatakan surreality dan virtual reality di mana realiti itu hanyalah kesamaran yang mendatangkan rasa ya atau tidak tentang adanya ia atau tidak.

Dalam ertikata lain, realiti itu hanyalah maya. Oleh kerana realiti itu adalah maya kerana ia bergantung kepada pengalaman seseorang untuk menentukan status realitinya, ia juga tidak semestinya realiti yang kekal sama untuk orang itu sepanjang waktu.

Ini adalah kerana pengalaman seseorang tentang persekitarannnya boleh berubah dari semasa ke semasa. Maka setiap kali pengalamannya berubah, persepsinya tentang dunia pun berubah. Dengan itu, realiti yang kini untuknya tidak semestinya realiti yang sama kepadanya di masa akan datang. Namun oleh kerana pengalaman tidak semestinya berubah secara radikal atau mendadak, cebisan dari pada pengalaman yang terdahulu akan dibawa kepada pengalaman yang seterusnya. Inilah yang mendatangkan kesangsian kepadanya sama ada realiti yang dialaminya dahulu adalah sama dengan realiti yang dialaminya sekarang. Justeru realiti itu berkemungkinan banyak.

Realiti yang berderet banyak hasil dari satu pengalaman kepada satu pengalaman yang seterusnya ini menjadikan satu realiti simulasi kepada realiti yang seterusnya. Realiti yang sebelumnya mensimulasi realiti yang selepasnya supaya mereka kelihatan seiras tetapi pada hakikatnya tidak.

Realiti yang sedemikian sifatnya secara umum boleh diistilahkan sebagai simulakra, atau realiti maya yang disimulasikan dari pengalaman seseorang dari persekitarannya dan dipancarkan kepada pengalaman realitinya yang seterusnya.

Kebenaran dalam faham selama ini merujuk kepada perakuan tentang sesuatu perkara atau benda. Perakuan ini melibatkan persetujuan di antara yang mengaku dan yang diakui. Namun persetujuan ini hanya berkemungkinan jika kedua pihak yang mengaku dan diakui memiliki status diri yang stabil dan tidak berubah. Tetapi dalam realiti maya, ini tidak berkemungkinan kerana tanggapan isi kandungannya senantiasa berubah mengikut pengalaman seseorang mengenainya. Dalam ertikata lain, realiti maya bermakna kebenaran juga adalah maya. Ini sama seperti mengatakan bahawa pada hakikatnya, kebenaran itu sebenarnya tidak ada. Oleh kerana kebenaran tidak berkemungkinan ada, yang hanya tinggal hanyalah pandangan yang relatif tentang apa yang berkemungkinan ada.

Ini dikatakan perspektif, atau sudut pandangan. Maka itu, dalam pandangan pascamoden, kebenaran hanyalah perspektif, dan tidak lebih dari itu.

Ilmu adalah titik temu segala yang wujud dalam satu rangkaian hubungan antara satu dengan yang lain secara serasi.

Rangkaian hubungan ini pula menghasilkan struktur makna yang menyeluruh tentang zat dan sifat yang diketahui. Makna adalah pengertian yang berkemungkinan oleh pancaindera kerana terdapat keserasian dalam hubungan rangkaian yang disebutkan.

Namun oleh kerana realiti dan kebenaran adalah maya dan tidak stabil, ilmu juga tidak berkemungkinan. Ini adalah kerana rangkaian hubungan di antara yang diketahui tidak boleh membentuk satu struktur makna yang tetap dan stabil. Apa yang berkemungkinan adalah struktur makna yang beralih. Oleh sebab itu, maklumat yang dihasilkan mengenai suatu sasaran pengetahuan terdedah kepada pelbagai tafsiran yang mungkin mengenainya. Di dalam istilah pascamoden, ini dikatakan naratif, atau pengkisahan.

Pengkisahan adalah bacaan tentang yang berkemungkinan dikatakan ilmu.

Sejarah yang dimaksudkan di sini bukanlah semata sebuah mata pelajaran mengenai peristiwa silam suka-duka kehidupan manusia dari zaman ke zaman, tetapi tentang persoalan sama ada peristiwa yang berlaku mempunyai corak keberlakuan yang berulang ataupun rambang. Sejarah mempunyai dua wajah, kronologi dan genealogi. Kronologi ialah aspek sejarah yang berkaitan dengan urutan peristiwa dari satu tempoh ke satu tempoh yang lain. Sehingga era moden, sejarah masih dianggap sebagai mempunyai urutan yang mencerminkan kemajuan manusia dari tahap primitif ke tahap yang lebih tinggi.

Zaman silam dianggap zaman yang lebih mundur berbanding dengan zaman pertengahan, dan zaman pertengahan dianggap lebih mundur dari zaman moden. Genealogi pula adalah aspek sejarah yang berkaitan dengan asal-usul sumber sesuatu peristiwa. Sebagai contoh, sehingga era moden, kebanyakan sejarah ditulis oleh kaum lelaki. Tetapi pada hari ini, penulisan sejarah oleh kaum lelaki dipertikaikan oleh setengah kaum wanita yang melihat sumbangan wanita kepada sejarah diabaikan.

Pascamoden menolak kedua tanggapan sejarah ini yang membentuk apa yang dinamakan sebagai universal history, atau sejarah yang sejagat. Bagi pascamoden, universal history tidak wujud kerana sejarah adalah pengkisahan semata dan pengkisahan tidak semestinya mencerminkan sebab-musabab yang sebenarnya kenapa sesuatu peristiwa berlaku. Malah, menurut pascamoden, sejarah cumalah kecenderungan memihak suatu golongan manusia ke atas golongan manusia yang lain untuk tujuan penindasan dan manipulasi.

Kerana itu, pascamoden cukup sensitif dengan kaedah pensejarahan (historiografi). Malah, pascamoden menganggap bahawa pensejarahan yang ada mengenai peristiwa yang lampau yang dianggap sahih perlu direkah semula (dekonstruk). Ini bererti sebab-musabab yang membentuk sejarah sesuatu peristiwa harus digali dan dinilai semula kesahihannya.

Ini menimbulkan perspektif baru tentang teknik pensejarahan atau historiografi yang disebutkan tadi. Historiografi kini bertukar ke arkeologi maklumat.

Diri, dalam perspektif pascamoden, bukanlah suatu entiti peribadi yang berdiri dengan diri sendiri. Sebaliknya, diri adalah suatu matriks di mana identitinya dibentuk oleh unsur-unsur yang datang dari luar diri itu. Dalam hubungan ini, yang datang dari luar adalah sejarah. Sejarah menyalurkan unit-unit maklumat kepada diri yang kemudiannya menyusun struktur unit-unit ini dalam satu bentuk yang rapi untuk menjanakan suatu imej hologram kepada diri itu.

Diri menganggap bahawa imej hologram yang dijanakan dalam dirinya adalah identitinya tetapi ini adalah tidak benar kerana identiti ini hanyalah sebuah janaan semata. Dengan ini, diri ini boleh berubah identitinya mengikut perubahan sejarah yang berlaku ke atas dirinya. Oleh kerana tidak semestinya terdapat satu sejarah pada satu masa yang sama tetapi sebaliknya berbagai sejarah, maka imej diri yang dihasilkan adalah imej kitaran yang boleh dicipta, dibuang, dan digunakan semula.

Era pascamoden dikatakan tidak mempunyai paksi yang mengikat ketetapan wajahnya. Malah, dalam era ini, zaman bertembung zaman sehingga dalam satu waktu tertentu, tiga atau empat zaman bertembung.

Maka yang dikatakan kini bukan hanya zaman sekarang, tetapi juga zaman silam, zaman pertengahan, dan juga zaman akan datang. Begitu juga dengan ruang. Kemunculan ruang siber membolehkan pertembungan di antara manusia merentas ruang fizikal.

Maka dengan itu, segala aspek kehidupan menjadi rekahan (fragmentasi) yang tidak mempunyai identiti, nilai, dan hala tuju yang tertentu. Segalanya adalah mungkin. Di dalam pascamoden, yang ada cuma ufuk-ufuk yang terbuka, bukan dunia yang tertutup.

Segala konsep yang menjadi pegangan kini terdedah kepada persoalan. Realiti menjadi simulakra, kebenaran hanya tinggal perspektif, ilmu cuma sekadar naratif, sejarah bertukar kepada arkeologi maklumat, dan diri dianggap sebagai matriks.Tentunya pascamoden membawa cabaran baru kepada kita untuk memikir semula segala pandangan wujud dan pandangan hidup yang sedia ada.

* DR. YAMIN CHENG ialah Penolong Profesor Jabatan Pengajian Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)