Zizie Ezette habiskan RM10,000 cantikkan wajah
Written By JOM JALAN on 3/06/05 | Jumaat, Jun 03, 2005
Wajah baru Zizie
``ZIE perlu cantik dari hujung rambut hingga ke hujung kaki kerana dalam senario dunia lakonan hari ini pengarah atau penerbit lebih mengutamakan cantik kemudian baru bakat.
``Sebab itulah Zie tidak kisah menghabiskan duit hampir RM10,000 dalam tempoh dua bulan untuk mencantikan wajah dan bentuk badan Zie,'' begitu kata Zizie Ezette dengan tawa cerianya ketika ditemui Mega di Pakar Kecantikan Dermedic, Sri Hartamas baru-baru ini.
Wajah lama Zizie
Melihat Zizie hari ini memang ramai yang akan terpegun kerana pelakon yang mula dicungkil bakatnya ketika berusia 15 tahun melalui filem Kekasih Awal Dan Akhir, kini tampak lebih jelita dengan wajah bujur sirehnya, berkulit putih gebu dan mempunyai potongan badan yang menarik.
Siapa sangka Zizie yang dulu dikenali sebagai pelakon bertubuh montok kini langsing dan siapa sahaja yang memandangnya pasti tidak akan berkelip mata dan menoleh berkali-kali melihatnya.
``Betul ke Zie cantik ni,'' begitu pertanyaannya berkali-kali kepada penulis bila memuji kecantikannya hari ini.
Sambil melihat wajahnya di cermin dan membetulkan rambutnya, Zizie berkata;
``Zie bukan mahu merubah anugerah Tuhan tetapi cuma sekadar menjalani beberapa proses untuk kelihatan cantik dengan menggunakan teknik moden.''
Menurut Zizie, sebagai pelakon yang mencari rezeki dengan menjual bakat dan rupa dia tidak kisah apa orang akan bercakap tentang dirinya.
``Bagi Zie yang penting penampilan Zie cantik dan menarik. Zie sedar sejak penampilan Zie berubah tawaran berlakon untuk Zie tidak henti-henti,'' kata Zizie.
Bermula akhir Mac, Zizie sibuk di lokasi penggambaran Seindah Janji untuk slot Identiti TV3 terbitan Nizarman (M) Sdn. Bhd., kemudian Zizie diundang pula berlakon telemovie Sayang Si Montel diikuti dengan dokudrama Keramat. Bukan itu sahaja malah setakat ini ada tiga lagi telemovie yang sedang menanti untuk memulakan penggambaran.
Menurut Zizie, hasratnya untuk kelihatan cantik bukan sahaja kerana senario dunia lakonan sekarang malah ia turut berubah bila usianya semakin matang. Kini dalam menjalani usia 27 tahun, Zizie sedar dia perlu melakukan sesuatu agar kecantikannya tidak luntur.
``Dulu memang Zie tidak fikirkan sangat tentang penampilan kerana Zie berpendapat dengan alat-alat mekap ketika di lokasi sudah cukup.
``Tetapi dalam keadaan sekarang pelakon baru yang cantik dan lebih muda yang muncul bagaikan cendawan di musim hujan, Zie harus buat sesuatu.
``Bagi Zie tidak ada ruginya Zie keluarkan duit untuk cantik kerana kecantikan itu adalah aset bagi seorang pelakon disamping bakat,'' akui Zizie terus-terang.
Dengan bantuan sepupunya dan hasrat untuk kelihatan cantik dan menawan, Zizie memberanikan diri ke Pakar Kecantikan Derme-dic yang terletak di Plaza Damas, Sri Hartamas pada Januari lalu.
``Zie bertuah kerana pertama kali ke sana Zie dapat berjumpa dengan orang yang mengendalikan pusat kecantikan itu, Daphne Tong.
``Melalui pertemuan itu Zie mendapatkan nasihat dan pandangan Daphne. Kemudian Daphne menganalisa kulit muka Zie dan bentuk badan dengan itu barulah Daphne mengesyorkan apakah rawatan yang sesuai untuk Zie,'' cerita Zizie.
Menurut Zizie, setelah pertemuan pertama itu, beliau datang untuk temujanji pertama dan dia menjalani rawatan oxigen facial, placenta facial, body theraphy, physical theraphy dan slimming.
``Zie rasa seronok dan gembira sangat setelah dua bulan menjalani rawatan di sana, akhirnya impian Zie menjadi kenyataan.
``Sebenarnya Zie pun tidak menduga yang perubahannya begitu cepat nampak. Sekarang Zie masih meneruskan rawatan di sini setiap minggu bagi memastikan kecantikan yang Zie idamkan itu akan berkekalan,''kata Zizie.
Bila ditanya mengenai botox ataupun pembedahan plastik, Zizie berkata;
``Zie tidak percaya dengan semua itu kerana bimbang ada kesan sampingan. Tetapi apa yang Zie dapatkan dari Dermedic ini ia cuma rawatan yang menggunakan pati buah-buahan sahaja.''[MUZLINA ABU BAKAR]