Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Usaha memelihara warisan Melayu serumpun

Written By JOM JALAN on 2/06/05 | Khamis, Jun 02, 2005

Oleh Masni Ros Pakir Mohamad

SEMINAR dan Dialog Pertemuan Pemimpin Adat Melayu Serumpun ketiga di Bengkalis, Riau, Indonesia, baru-baru ini, mencapai lapan resolusi dalam usaha memastikan warisan Melayu serumpun dapat dihayati, dikembang dan dimartabatkan di kalangan bangsa Melayu.

Resolusi agar Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang berpusat di Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dijadikan Sekretariat Majlis Pemuafakatan Adat Melayu Serumpun sudah pasti menaikkan citra Malaysia.

DMDI yang dibentuk pada 2000 dan berpusat di Melaka dengan tujuan menjana kesungguhan Melayu Islam dalam segala aspek kehidupan, akan bersama Lembaga Adat Melayu Riau Bengkalis menyelaraskan adat Melayu serumpun.

Beberapa lagi resolusi yang dicapai pada Pertemuan Pemimpin Adat Melayu Serumpun yang menghimpunkan lebih 800 peserta dari Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia itu termasuklah:

l Majlis Pemuafakatan Adat Melayu Serumpun (MPAMS) dibentuk bagi menyelaras dan menjalankan kegiatan berkaitan adat serta seni budaya Melayu serumpun di bawah Biro Sosio Budaya Sekretariat DMDI.

l Perencanaan dan pelaksanaan pembangunan di kawasan rumpun Melayu perlu mengarah kepada nilai asas kebudayaan dan adat Melayu di kawasan masing-masing.

@ Kepimpinan adat hendaklah memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembabitan generasi muda menghayati adat Melayu dengan mengadakan program pada peringkat daerah, kabupaten, negeri, provinsi dan negara Melayu serumpun.

l Majlis Permuafakatan Adat Melayu sewajarnya menganugerahkan kepimpinan adat dan anugerah adat serta seni budaya di kalangan generasi muda Melayu serumpun dengan memilih tokoh seperti Siti Nurhaliza umpamanya sebagai model contoh dalam adat.

l Dalam usaha memartabatkan adat dan seni budaya Melayu serumpun, setiap negeri/kabupaten dan provinsi melahirkan Muzium Khazanah Melayu manakala Kabupaten Bengkalis akan menzahirkan Muzium Ketuanan Melayu yang mengutamakan baju, tanjak dan keris dalam Rumpun Melayu.

l Biro Sosio Budaya DMDI bertanggungjawab menentukan lokasi Pertemuan Pemimpin Adat Melayu Serumpun ke-4.

Pada majlis itu, Presiden DMDI yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, dianugerahi Adat Sri Utama Dwibuana oleh Gabenor Riau, H M Rusli Zainal, kerana usahanya mewujudkan keamanan dan menyatupadukan masyarakat Melayu serumpun.

Pengerusi Biro Sosiobudaya DMDI, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, yang hadir sama pada majlis itu berkata, sejak biro terbabit dibentuk sudah berlangsung Perkampungan Seniman di Melaka pada 2002 dan 2003.

“Program kali kedua yang menarik 200 penyertaan daripada Rumpun Melayu menetapkan adat rumpun Melayu diamalkan dengan berslogankan `adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah',” katanya.

Beliau menyifatkan Pertemuan Pemimpin Adat Melayu Serumpun ke-3 di Bengkalis bermakna kerana Bengkalis sebelum ini adalah sebuah pelabuhan entrepot yang menghubungjalinkan budaya dan agama bangsa Melayu di Kepulauan Nusantara.

"Pertemuan kali ini mengingatkan kita kepada kehebatan bangsa Melayu suatu masa dulu iaitu kepahlawanan bangsanya, pengaruh perkembangan Islamnya dan kemajuan ekonomi.

"Kekuatan bangsa Melayu terbina atas semangat kesatuan dan perpaduan rumpun Melayu tanpa ada sentimen kenegaraan atau kenegerian yang dibataskan oleh sempadan geografi pada masa itu," katanya.

Turut berlangsung pada pertemuan itu ialah seminar dan dialog sehari membabitkan pembentangan kertas kerja termasuk `Peranan Adat Dalam Pembangunan Melayu Serumpun' oleh Tenas Effendi dari Riau; `Kesatuan dan Perpaduan Adat Melayu Serumpun' (Prof Abdul Latif) `Sumbangan Adat Melayu Dalam Pembinaan Ummah' (Dr Mamam S dan `Adat Untuk Generasi Muda' (Taufik Ikram Jamil).

Pada Pertemuan Pemimpin Adat Melayu Serumpun itu turut diadakan Pekan Budaya Melayu Serumpun dengan kegiatan Majlis Anugerah Adat, Perasmian Balai Adat Se-Kabupaten Bengkalis, Majlis Pengukuhan 175 Penghulu Adat Se-Kabupaten Bengkalis, Pameran Warisan Budaya Melayu Serumpun, Persembahan Seni Warisan Melayu, Permainan Rakyat, Majlis Junjung Taju dan Perarakan Adat Melayu Serumpun.