Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Sikap emosional rakyat Australia tak berasas

Written By JOM JALAN on 2/06/05 | Khamis, Jun 02, 2005

Nota Kaki: Sikap emosional rakyat Australia tak berasas
Oleh Mustapa Omar
musomar@nstp.com.my



ADA apa pada Schapelle Corby? Wanita berusia 27 tahun yang dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Indonesia Jumaat lalu selepas didapati bersalah menyeludup 4.1 kilogram ganja ke Bali, mendapat pembelaan bukan saja dari Kerajaan Australia, malah sebahagian daripada rakyat negara itu.
Selain enggan menerima keputusan yang boleh dianggap ringan itu, mereka juga membuat pelbagai ugutan termasuk mahu memulaukan Pulau Bali sebagai destinasi pelancongan serta menuntut dipulangkan semula sumbangan dan bantuan yang pernah dihulurkan kepada mangsa bencana alam di Indonesia tempoh hari.

Begitu anehnya sikap rakyat negara maju itu. Sepatutnya rakyat Australia menghormati undang-undang negara lain dan menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka, bukan secara emosional membuta tuli. Itu baru hukuman penjara dan denda, belum lagi hukuman mati atau penjara seumur hidup!

Mungkin mereka boleh memulaukan Indonesia, tidak melancong ke negara itu dan tidak berhubung dengan rakyat republik itu. Mereka boleh melakukannya kerana itu hak mereka, tetapi jika sampai menuntut semula apa yang pernah mereka sumbangkan kepada mangsa bencana alam, termasuk tsunami di Aceh, itu mungkin sudah melampau.

Apakah rakyat Indonesia juga perlu menggantikan nyawa sembilan anggota Tentera Laut Australia yang terkorban apabila helikopter Sea King terhempas dalam misi bantuan mangsa gempa bumi di Pulau Nias, April lalu?

Hakikatnya, Kerajaan Australia nampaknya tunduk kepada kehendak rakyat dan medianya yang mendakwa Corby tidak bersalah dan menjadi mangsa penganiayaan, walaupun mereka menyedari semua itu hanya andaian mereka, sedangkan keputusan mahkamah mendapati Corby bersalah.

Bagaimanapun, kita memuji sikap Perdana Menteri Australia, John Howard, yang mengkritik sikap segelintir rakyat Australia itu, malah menganggap desakan mereka supaya beliau campur tangan dan menghubungi pemimpin Indonesia bagi pembebasan Corby sebagai ‘tindakan bodoh’.

Laporan rasmi setakat ini menunjukkan 155 rakyat Australia kini berada di penjara luar negara dengan dua daripada mereka sedang menanti hukuman mati, tetapi belum ada kes yang mendapat perhatian masyarakat seperti kes Corby. Jadi apa istimewanya Corby berbanding tahanan lain?

Kita pernah mengalami masalah sama apabila dua rakyat Australia, John Kevin Barlow dan Brian Geoffrey Chambers, dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 1985 kerana mengedar 179.56 gram heroin di negara ini. Ketika itu, pelbagai pihak di Australia mengecam keputusan berkenaan, tetapi kita tidak menghiraukannya kerana bagi kita undang-undang adalah untuk ditegakkan, bukan dipertikaikan.

Malah, seorang wanita rakyat Malaysia, Rozana Zubir, 36, kini menghadapi nasib hampir sama dengan Corby apabila dia dituduh menyeludup lima kilogram candu ke Australia pada 1 April lalu. Kesnya kini masih dibicarakan di mahkamah negara itu.

Rozana mendakwa dadah itu dimasukkan ke dalam bagasinya oleh seorang lelaki warga Iran tanpa pengetahuannya, malah lelaki Iran itu sendiri sudah ditahan oleh polis Malaysia di pangsapurinya di Ampang, Selangor, pada 6 April lalu dengan dua kilogram candu ditemui bersamanya.

Setakat ini, Kerajaan Malaysia sudah menyatakan pendirian tidak akan masuk campur dalam kes berkenaan kerana menghormati proses perundangan di negara itu, sebaliknya hanya akan memberi bantuan sewajarnya termasuk memastikan kebajikan Rozana terjamin ketika dipenjara.

Tetapi malangnya, sebahagian rakyat Australia bersikap tidak rasional, malah semalam ada pihak tidak bertanggungjawab menghantar serbuk mengandungi bakteria jenis bakilus yang mempunyai kaitan dengan virus antraks, ke Kedutaan Indonesia di Canberra, menyebabkan polis terpaksa menutup sementara kedutaan itu dan 22 kakitangannya diarah terus berada dalam bangunan berkenaan.

Jika sebelum ini Australia begitu ghairah menuduh sebarang ancaman keselamatan pasti dilakukan oleh pengganas Islam dan mengaitkannya dengan al-Qaeda, kini mereka tergamam seketika malah Menteri Luarnya, Alexander Downer, percaya kejadian itu ada kaitan dengan perasaan marah rakyat negara itu berhubung kes Corby.

Pengakuan Downer itu mungkin berasas kerana sebelum ini kakitangan kedutaan itu pernah menerima ancaman bunuh, selain sepucuk surat yang mengandungi peluru turut dihantar di Pejabat Konsulat Indonesia di Perth bulan lalu.

Apapun, tindakan seperti itu amat membimbangkan dan ia bukan caranya untuk menyelesaikan masalah. Mahkamah sudah membuktikan Corby bersalah dan apakah wajar nyawa 22 kakitangan Kedutaan Indonesia di Canberra menjadi galang gantinya.[BH, 2/6/2005, MS 12]