Jee nafi gosip keretakan rumah tangga...
Written By JOM JALAN on 8/07/05 | Jumaat, Julai 08, 2005
Oleh Zubir Mohd Yunus Foto Zaharin Hayon
SEBENARNYA dah hampir 15 tahun Jee tak posing tepi swimming pool, maklum sajalah kita ni bukannya muda belia macam dulu lagi. Tapi disebabkan awak (penulis) pandai pujuk dan beri sebab ia kena mengena dengan konsep cerita Jee untuk Bintang Popular kali ini (Jee tetap 'cool'), OKlah, Jee sanggup dibasahkan,” katanya yang segar berendam di kolam renang Hotel Istana pada petang itu.
Yang pasti, penyanyi lagu Batas Menanti itu tetap jelita dan dinamik. Apabila sudah bertentang mata dengan Jee, bermacam-macam soalan mula berlegar di kepala untuk dilontarkan terutama gosip keretakan rumah tangganya. Pelbagai versi sampai ke telinga ini mengenai status perkahwinannya. Jee dikatakan sudah bercerai dengan Johan.
“Benda inilah yang awak nak tahu sangatkan? Boleh tak kalau soal rumah tangga menjadi rahsia peribadi Jee? Takkanlah Jee nak cerita semua,” ujar Jee selepas menyedari soalan peribadi mula diluahkan.
Namun Jee akur andai kata dia terus mendiamkan diri, lambat laun pelbagai spekulasi lebih buruk mungkin timbul dan sebelum fitnah melanda, jalan yang terbaik adalah berterus-terang.
“OKlah, Jee mengaku, Jee sendiri pernah dengar, orang berkata Jee dan Joe (Johan) dah berpisah. Tak betul cerita tu... Sebenarnya kami ni masih lagi suami isteri. Tak pernah pun berlaku perceraian dalam rumah tangga kami selama ini dan Jee masih isteri Joe yang sah.
“Walau macam mana pun, sebagai suami isteri, masalah sentiasa ada. Tipulah kalau Jee kata kami tak pernah gaduh atau berselisih pendapat. Sedangkan lidah kita pun selalu tergigit, inikan pula suami isteri. Jadi Jee harap penjelasan ini dapat menjawab semua gosip itu. Memang kami tidak dapat menutup mulut orang daripada bercakap tapi yang sebaikbaiknya, doakanlah kesejahteraan rumah tangga kami,” pinta Jee dengan bersungguh-sungguh.
Beralih kepada tugas, sebagai pengkritik Malaysian Idol, Jee mengakui, dia sebenarnya bersimpati dengan setiap peserta yang datang mencuba nasib pada pusingan awal.
Baginya kesungguhan yang mereka tunjukkan membuktikan masing-masing menaruh harapan untuk mendapat tempat.
“Kesungguhan mereka memang menyentuh hati Jee. Iyalah, nak jadi penyanyi ni bukan senang. Mereka perlu berdepan dengan masyarakat dan pihak media tapi sebelum itu mereka perlu bersedia untuk menerima kritikan kami sama ada suka atau tidak. Itulah situasi yang perlu mereka hadapi sebelum keluar menyanyi dalam dunia realiti.
“Jee tak nafikan, cara Roslan (Aziz) dan Paul (Moss) memberi kritikan berbeza dengan Jee.
Kiri, kanan 'api', Jee pula bagi kena jadi 'air', sejukkan keadaan. Jee dapat rasa apa yang peserta rasa. Jadi Jee menggunakan pendekatan psikologi supaya suasana lebih cool dalam setiap sesi kritikan,” jelasnya.
Kini Malaysian Idol sudah pun tiba ke peringkat bengkel apabila 24 peserta akan beradu nasib selama tiga minggu sebelum pihak juri memilih 10 peserta yang benar-benar terbaik. Pusingan bengkel mula menemui penonton 8TV, sejak Jumaat lalu.
“Cuma satu pesanan Jee. Jee harap semua bintang kelahiran program realiti TV boleh bertahan lama dalam industri hiburan ini dan yang penting, jangan lupa pandang ke bawah apabila diri sudah dijulang tinggi,” katanya.