Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Marsha pandai bermain piano

Written By JOM JALAN on 2/07/05 | Sabtu, Julai 02, 2005

Oleh Amirullah Andi Nur

JARAK rumah keluarga Marsha hanya 500 meter dari Jambatan Tamparuli yang juga menjadi lagu paling popular di Sabah. Kerana populariti lagu itu jugalah nama Tamparuli, sebuah penempatan penduduk di kawasan pedalaman di daerah Tuaran ini turut terkenal dan dilawati pelancong dalam dan luar negara.

Sehingga ini, jambatan gantung berusia puluhan tahun itu masih wujud dan dilawati pelancong, namun ia tidaklah seramai dulu ketika lagu itu ‘meletup’. Namun, sejak hujung bulan lalu, nama Tamparuli kembali mekar dan menjadi sebutan rakyat Malaysia terutama yang meminati program hiburan AF3.

Semuanya, gara-gara kehadiran anak gadis pasangan keturunan Dusun, Millon Samingau @ Milan Londoh, 53, dan Missie Basanda, 51, bernama Marsha yang berusia 19 tahun itu.

“Apabila kami membenarkan dia menyertai uji bakat AF3, harapan kami adalah untuk melihat dia melayakkan diri menjadi pelajar akademi itu dan nyata Tuhan memakbulkan doa kami. Sekarang ini dia sudah berada di situ dan harapan kami kali ini, biarlah di akhir pertandingan, dia muncul yang terbaik sekali gus terkenal seperti lagu Jambatan Tamparuli yang popular seantero dunia,” kata Milan.

Jangan tak tahu bahawa gadis manis ini juga pandai bermain piano. Bakatnya itu dipupuk sejak berusia lima tahun lagi dan sepanjang belajar di peringkat sekolah rendah dan menengah, anak gadis bertubuh tinggi ini mendapat tunjuk ajar seorang guru piano.

Sebelum menyertai AF3, Marsha sudah pun berjaya menamatkan pengajian sehingga ke tahap 6 peringkat praktikal manakala pada tahap lima bagi peringkat teori. Peringkat tertinggi atau maksimum adalah lapan.

“Pantang ada masa terluang, piano adalah teman paling akrab. Dia sangat meminati lagu klasik. Sebut saja tajuk lagu, dia pasti boleh membawanya. Tetapi sejak berada di akademi, rumah kami sunyi. Dalam keluarga kami, hanya dia yang boleh bermain piano dengan baik,” kata Milan.

Menurut Milan lagi, Marsha turut menyertai kumpulan koir sekolah dan gereja sejak kecil dan dari situlah bakatnya dalam bidang nyanyian terserlah.

“Ketika menyertai kumpulan koir, dia pada mulanya menyanyi secara berkumpulan tetapi selepas beberapa tahun, gurunya meminta dia menyanyi secara solo sehinggalah sekarang,” kata ibunya, Missie.

Mengenai penyertaannya dalam AF3, Missie berkata anak perempuannya itu menghantar borang penyertaan pada saat akhir, itupun gara-gara seorang rakannya, Valerio Gumbilai Buja yang datang ke rumah memaklumkan mengenainya.

“Kami memang galakkan dia mencuba nasib kerana tahu dia memiliki bakat tetapi dia macam buat tidak tahu sehinggalah Valerio datang. Mereka berdua pergi uji bakat itu bersama tetapi malangnya hanya Marsha yang melangkah jauh,” katanya.

FAKTA MENARIK:

1. Marsha dilahirkan di Berriey Springs, Michigan, Amerika Syarikat, 19 tahun lalu. Ketika itu bapanya sedang menyambung pengajian dalam bidang teknologi pendidikan. Bagaimanapun, Marsha hanya sempat menghidu udara dingin Michigan sehingga ketika usianya tiga bulan kerana selepas itu bapanya kembali ke tanah air apabila menamatkan pengajian.

2. Marsha adalah anak ketiga daripada empat beradik. Kakak sulungnya, Michelle berusia 27 tahun, Mark, 23 tahun dan adik perempuan, Marcie 17. Mark dan Marsha mempunyai ketinggian yang hampir serupa berbanding dua lagi saudara mereka. Kata ibunya, mungkin kerana mereka kebetulan dilahirkan di Amerika Syarikat jadi memiliki fizikal tinggi.

3. Kakak sulungnya, Michelle berkahwin dengan Shaun Lourdes dan kini menetap di Singapura. Pasangan inilah yang selalu hadir menyaksikan persembahan Marsha pada konsert mingguan.

4. Anak pasangan Millon Samingau @ Milan Landoh dan Missie Basanda ini, mendapat pendidikan tadika hingga ke tingkatan enam di sekolah mubaligh Sabah Adventist Secondary School (SASS), Tamparuli.

5. Ibu bapa Marsha serta keluarga mereka menganut mazhab Kristian Seventh Day Adventist (SDA). Hari Sabtu adalah hari untuk mereka sembahyang manakala dari segi pemakanan, banyak tidak digalakkan untuk dimakan atas faktor kesihatan seperti dinyatakan Marsha dalam program AF di Astro.

6. Marsha fasih dalam bahasa Inggeris dan Melayu selain bahasa ibundanya, Dusun. Dia juga gemar aktiviti bercorak scout dan menjadi ahli Pathfinder di kampungnya.

7. Sekiranya tidak diterima semula menyertai AF3, Marsha mungkin sudah terbang ke India untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang muzik sebelum ke Amerika Syarikat.

8. Pernah mengikuti pengajian di Kolej Komuniti Yayasan Sabah di Kota Kinabalu dalam bidang teknologi maklumat. Dia adalah junior Yazer dari Tawau.

9. Kemasukannya dalam AF3, menyaksikan penduduk di Tamparuli kini dalam proses menubuhkan Marsha FC. Penasihat penaja adalah Adun Tamparuli merangkap Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Jahid Jahim manakala pengerusinya, Harris Mintu.

10. Menurut ibunya, Marsha pantas belajar sesuatu yang baru termasuk menghafal skrip serta mendendangkan lagu. Dia boleh menyanyikan apa saja rentak lagu dan paling diminati lagu Syafinaz.

11. Menurut bapanya, Marsha sepanjang usianya hanya pernah menyertai satu pertandingan nyanyian iaitu Malam Bakat SASS tapi tidak mendapat tempat. AF3 adalah pertandingan kedua disertainya meskipun lebih 10 tahun menyanyi koir.