Sharifah Amani - Tiada jalan pintas
Written By JOM JALAN on 24/07/05 | Ahad, Julai 24, 2005
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
SEMUA orang berhak untuk bermimpi.Mimpi tentang bahagia, tentang kejayaan, tentang cinta tetapi tidak pernah ada manusia yang mahu bermimpikan derita.
Ada satu mimpi besar yang dibawa dalam diri pelakon muda berbakat besar yang baru mendapat pengiktirafan, Sharifah Amani. Mimpinya jauh, terlalu jauh. Malah mungkin ada yang menganggap mimpinya tidak mungkin akan tergapai sama sekali.
``Saya positif akan sampai masanya mimpi itu menjadi kenyataan,'' kata remaja 19 tahun ini yang membahasakan dirinya dengan panggilan manja, Nani ini.
``Mimpi ini mungkin sukar untuk digapai, tetapi tidak salah kalau saya mimpi sesuatu yang segemilang itu,'' katanya merujuk kepada mimpi indahnya sebagai anak seni.
Nani baru sahaja dinobatkan sebagai Pelakon Harapan di Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18) yang lalu. Mimpi utama Nani ketika ini sudah pasti tentang dunia yang dimasukinya.
Dia tiba-tiba menjadi dewasa kala bercakap tentang dunia filem. Hilang keremajaannya kala melontar impian dan cita-cita besarnya.
``P. Ramlee sudah meninggalkan harta yang cukup besar kepada penggiat filem. Tetapi kita sudah hampir musnahkannya.
``Di tangan orang muda seperti saya, kita perlu membina mimpi baru. Untuk menyaksikan dunia filem Malaysia ke hadapan, tak ada jalan pintas. Usaha keras perlu bermula demi untuk masa depan yang gemilang.
``Macam api yang membara, rasa itu datang. Kalau boleh, kalau diberi keizinan saya mahu mengubah industri filem kita menjadi lebih profesional dan terkemuka di mata dunia,'' katanya dengan penuh semangat.
Bukan kerana dia baru sahaja memenangi anugerah, tetapi pertama kali menjejak kaki ke dunia lakonan, dia tahu apa yang diinginkannya. Zaman kecil dan remaja yang dilingkungi oleh nama-nama hebat seperti Faridah Merican, Joe Hafsham, Mahadi J. Murat malah bondanya sendiri, Fatimah Abu Bakar menjadikan Nani lebih matang daripada usia kawan-kawan sebayanya.
Berbual panjang dengannya, benarlah bagai yang dikata oleh kawan-kawan saya, bahawa remaja ini lain orangnya. Berbeza benar dari pelakon baru yang pernah saya temui sebelum ini.
Bicaranya nampak yakin, bersemangat dan punya asas, sama seperti kakaknya, Sharifah Aleya yang terlebih dahulu menceburi dunia lakonan dan pengacaraan.
Arus populariti semakin deras
Perlukah populariti? Tanya Nani kembali kepada saya apabila mengacah dengan pertanyaan ``Tak terasa ke diri makin popular?''
Kata Nani, antara populariti dan melakukan kerja yang memuaskan hati semua pihak, dia memilih sudut untuk memuaskan hati semua pihak.
``Populariti tidak akan memberi makna, kalau sampai bila-bila orang pertikaikan kebolehan kita. Saya tak mahu jadi pelakon macam itu.
``Saya lebih selesa diiktiraf kerana mutu lakonan, bukan populariti,'' katanya yang berjanji untuk tidak menjadi manusia yang mudah hanyut dalam populariti.
Kata Nani, ketika mula memasuki dunia filem dia hairan kenapa terlalu banyak sangat `model-model' yang memilih untuk menjadi pelakon.
``Industri kita banyak sangat orang cantik. Orang seperti ini hendak buat banyak sangat benda, tetapi semuanya tak bagus. Itu masalah besar sebab tak fokus, lahirlah kalangan pelakon yang seadanya saja.''
Bagi Nani, untuk apa popular dan nama meletup-letup, kalau isinya kosong.
``Walaupun pakejnya cantik, untuk apa? Orang akhirnya akan menilai kualiti juga,'' katanya.
Seperti mana kebolehannya mengenal apa yang tersirat di sebalik kedudukan industri filem negara ini, kalau boleh dia tidak mahu turut berada di kelompok yang sama.
``Nani selalu pesan kepada diri sendiri, jangan jadi macam mereka. Semua orang hendak popular, tetapi sebelum capai tahap popular ada tanggungjawab lain lagi yang kena buat.'' katanya.
Ketika kakinya masih meletak di dunia glamor dan menjadi perhatian, Nani mahu menggunakan dengan sebaik mungkin.
``Saya akan gunakan dunia glamor dan populariti yang sedikit ini untuk kebaikan,'' katanya.
Badi Pelakon Harapan.
Banyak pelakon yang menggondol anugerah Pelakon Harapan tidak cemerlang dalam kerjaya mereka. Malah ada antara penerimanya menjadi `hidup segan mati tak mahu' dalam industri filem.
Ketika soal badi mereka yang bergelar pelakon Harapan diajukan kepadanya, Nani menjawab mudah.
``Memang saya ada dengar fasal hal itu. Tetapi bagi saya, kalau mahu terus kekal dan lama dalam industri ini, kita sendiri kena usaha lebih.
``Anugerah hanya akan memberi makna kalau kita menjadi lebih bagus daripada sebelumnya,'' katanya.
Malah, kata Nani anugerah juga tidak akan memberi sebarang erti kalau seseorang itu tahu bahawa dia tidak layak untuk mencapainya.
``Bila kita sudah buat kerja keras, yang terbaik dan paling hebat dan kemudian dapat anugerah. Dari situ baru kita rasa nikmat sebenar memegang anugerah,'' katanya lagi.
Bayang mengekori.
Dua jam selepas kemenangannya, ketika kami bertemu di FFM18 lalu, Nani dihimpit oleh peminat. Salah seorang daripada mereka datang dan mencelah ``Kak Aleya, boleh kita bergambar.''
Aleya
Silap lagi. Memang itu yang selalu berlaku. Malah jurugambar kami, Azhar Mogo pun berkali-kali menjerit `steady Aleya, pose cantik-cantik.' Nani yang sudah biasa berdepan dengan situasi itu sesekali membebel juga, tetapi biasanya dia sudah lali dengan kesilapan demi kesilapan itu.
``Saya sendiri tertanya, sampai bila kami harus menjadi bayang antara satu sama lain. Saya selalu dibayangi oleh Kak Leya dan Kak Leya juga dibayangi oleh saya, peninglah,'' katanya.
Dengan nada lucu, Nani menambah, ``Dan kami berdua selalu dibayangi oleh emak kami, ibu Akademi Fantasia,'' katanya merujuk kepada insan yang melahirkan, Fatimah Abu Bakar tenaga pengajar Akademi Fantasia.
Sebenarnya kata Nani, dia tidak mempunyai sebarang masalah kalau ada yang masih tersasul memanggil nama kakaknya. Malah, keadaan yang sama berlaku kepada Aleya.
``Kami sudah jadi kawan, dia teman sebilik saya. Bermusuh pun dengan yang itu jugalah. Hidup dalam keluarga seni memang macam ini,'' katanya dengan ketawa yang pecah.
Keluarga yang bosan
Mengulas lanjut tentang keluarga seninya, kata Nani ia adalah sesuatu yang membosankan. Segalanya perlu teratur dan tidak boleh ada sebarang rahsia di kalangan ahli keluarga mereka.
``Dengan siapa kami berkawan, dengan siapa kami bercinta dan putus cinta pun kena bagi tahu emak dan ayah.
``Sebab itu saya kata keluarga saya boring. Kalau dalam satu hari tak stress tak sah. Kalau orang hendak tahu tentang keluarga saya, memang yang macam dalam filem Sepet tullah. Boringkan?'' tanyanya.
Masa makan malam adalah masa untuk semua ahli keluarganya berkumpul dengan menceritakan macam-macam hal peribadi masing-masing.
Tidak ada sesiapa yang boleh merahsiakan apa-apa dalam keluarga harmoni itu.
``Kalau saya putus cinta, cerita dekat emak, emak yang menangis lebih-lebih. Mungkin sebab dia `drama queen' jadi emosi tu lebih sikitlah,''katanya. Lima minit selepas cerita ini timbul, Nani menerima panggilan telefon daripada Fatimah.
``Mak cakap dia kena pergi pasar sebab ikan, telur, sayur semua sudah habis. Dia juga cakap kakak saya pergi mana, adik saya buat apa dan ayah saya pergi mana, semua ini hari-hari saya kena dengar tau'' katanya disulam ketawa saya dan jurusolek, Nasha.
Apapun, lahir dalam keluarga seni membuatkan dia matang lebih awal dari usia. Ilmu tentang hidup dan kehidupan berjaya diperoleh semenjak usia kecil lagi.
Maka dengan sebab itu, mungkin ada yang menganggap sikap, gaya dan perwatakannya jauh lebih matang dari usia remajanya- 19 tahun.
Mimpi Nani :
- Suatu hari nanti dia mahu bekerja dengan karyawan filem Hollywood dan Bollywood.
- Filem Malaysia tercalon ke Academy Award. ``Kita boleh buat, kalau kita mahu.''
- Dunia luar ternanti-nanti untuk tonton produk filem baru Malaysia, sudah tentu kita akan bangga dengannya.
- Sambung pelajaran dalam bidang lakonan di luar negara.