Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Dewi Yull - Dapat pengganti Broery Marantika

Written By JOM JALAN on 5/09/05 | Isnin, September 05, 2005

Oleh ABD. AZIZ ITAR

SELEPAS Broery Marantika meninggal dunia beberapa tahun lalu, Dewi Yull seakan kehilangan seorang teman duet yang serasi dengannya.

Ini kerana, Dewi dan mendiang Broery adalah pasangan duet yang popular pada tahun 1980-an.

Jangan Ada Perpisahan Di Antara Kita adalah antara lagu yang pernah dipopularkan oleh pasangan penyanyi dari Indonesia itu.

Bagaimanapun, Dewi kini tidak keseorangan apabila dia kembali dengan teman duetnya yang baru, Eddy's Bandi.
Oleh ABD. AZIZ ITAR

Dewi dan Eddy's baru tampil dengan album duet berjudul Jangan Ada Perpisahan Di Antara Kita terbitan HP Records dan diedarkan oleh Music Valley Sdn. Bhd.

Menariknya, teman duet baru Dewi itu bukan penyanyi biasa tetapi Eddy's merupakan bekas Kabupaten (pemerintah daerah) di wilayah Kutai Kartanegara, Kalimantan, Indonesia.

Kemunculan Eddy's mungkin menyebabkan para peminat membandingkannya dengan Broery.

Menurut Dewi, dia tidak dapat membuat perbandingan di antara Broery dan Eddy's kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan yang tersendiri.

``Broery dan Eddy's tidak boleh dibandingkan satu sama lain. Masing-masing ada kualiti yang tersendiri.

``Cuma bezanya, lagu-lagu duet saya dengan Broery lebih kepada irama pop, manakala Eddy's pula ke arah pop Melayu yang lebih kental.

``Kali ini lagu-lagu nyanyian saya lebih kepada kisah cinta yang optimis dan bukan kisah cinta yang patah.

``Malah, kebanyakkan lagu-lagu nyanyian saya juga bertujuan mengubati hati yang luka (kecewa),'' kata Dewi pada sidang akhbar sempena kemunculan albumnya itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama ialah penerbit album itu, Harry Tasman dan Pengarah HP Records, Hadi Soenyoto.

Sementara itu, Eddy's pula berkata dia terbabit dalam bidang nyanyian kerana minatnya yang mendalam terhadap bidang seni itu.

``Saya minat menyanyi sejak dari muda tetapi sebelum ini saya tidak ada kesempatan untuk memenuhi minat saya itu.

``Sewaktu bertugas (sebagai kakitangan kerajaan Indonesia) muzik selalu menemani saya. Sebelum ini, saya juga pernah menyanyi dengan Dewi.

``Selepas 35 tahun, baru saya sedar bahawa saya sudah tersalah ambil jurusan. Dunia saya yang sebenar adalah muzik,'' ujar Eddy's.

Jangan Ada Perpisahan Di Antara Kita merupakan album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu Dewi Yull dan Broery Marantika yang dirakamkan semula.

Bercakap tentang albumnya itu, kata Dewi, ``Saya tidak pandai menilai tentang diri saya sendiri. Biarlah masyarakat yang menilainya.

``Saya cuma mempersembahkan suara saya kepada masyarakat. Saya percaya kejayaan lagu-lagu nyanyian saya adalah hasil gabungan penggubah lagu, penulis lirik dan penerbit album.

``Apa yang saya tahu, saya suka dengan pekerjaan saya ini (sebagai penyanyi),'' kata Dewi atau nama sebenarnya Raden Ayu Dewi Pujiati, 45.

Walaupun sudah 28 tahun menjadi penyanyi, tetapi mutu vokal dan kelunakan suara Dewi sedikit pun tidak berubah.

Perkara itu dapat dilihat apabila ibu tunggal kepada empat anak ini menyampaikan dua buah lagu berjudul Tari Sedati dan Pupuh Dinanda sewaktu sidang akhbar tersebut.

``Dua lagu itu tidak pernah dirakamkan dalam mana-mana album saya sebelum ini. Saya ambil masa empat bulan untuk menghayati lagu Tari Sedati.

``Saya rasa amat sukar untuk menyanyikan lagu dalam bahasa Aceh ini, tetapi saya rasa amat bahagia selepas menyanyikannya.

``Sementara itu, saya mengambil masa setahun untuk belajar menyanyikan lagu Pupuh Dinanda. Lagu itu dalam bahasa Bali.

``Saya suka lagu ini kerana liriknya mempunyai banyak nilai filosofi yang boleh saya pelajari sesuatu daripadanya,'' ujar Dewi.