Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Soseh-soseh : MAWI ibarat ‘Lembu Bajak’

Written By JOM JALAN on 2/09/05 | Jumaat, September 02, 2005

AKHIRNYA mimpi ngeri SS menjadi nyata apabila bintang Akademi Fantasia Musim Ke-3 (AF3) Mawi dilihat tidak boleh menyanyi dengan baik kerana masalah keletihan dan tidak cukup tidur.

Ia berlaku semasa anak kelahiran Kulai, Johor itu terpaksa menjayakan dua persembahan dalam satu masa di Malam Kemerdekaan iaitu di ruang legar KLCC dan Dataran Merdeka.


Keadaan Mawi dilihat teruk sewaktu dia mendendangkan lagu Aduh Saliha. Suaranya pecah beberapa kali semasa menyanyi lagu bernada tinggi dan wajahnya kelihatan pucat. Keadaannya itu turut ditegur beribu peminat yang menyaksikan persembahan itu.

Perkara ini bukan SS seorang saja yang sedar malah beratus ribu lagi peminatnya turut melahirkan rasa bimbang. Mereka khuatir dek kerana tekanan kerja, siapa tahu suatu hari nanti Mawi tiba-tiba pengsan di pentas.

Sejak meraih juara AF3, Mawi difahamkan tidak mempunyai rehat yang cukup. Boleh dikatakan saban hari ada saja show buat Mawi. Pihak pengurusan Mawi, Maestro, tidak boleh terlepas masa rehat Mawi bukan sekadar mengejar untung. SS dah dengar rungutan peminat Mawi, apabila bintang kesayangannya itu kini seperti kerbau pembajak sawah.

Lebih menggelikan hati mendengar jawapan pihak pengurusannya apabila perkara ini diketengahkan. Mereka cuba menjual nama jabatan kerajaan. Kononnya, mereka tidak boleh menolak persembahan yang diadakan kerana itu projek menteri dan kerabat diraja.

Dalam hal ini sebenarnya pihak Maestro ada hak untuk mengatakan tidak dan mendahulukan mereka yang sepatutnya.

Mereka juga harus ingat, Mawi adalah manusia biasa bukannya robot. Ada ketika dia perlu mendapatkan rehat yang cukup bagi membolehkan dia kembali bersemangat untuk bekerja.

Lagipun apa guna jika dia terus-terusan mengadakan persembahan andai badannya dalam kepenatan. Sekiranya keadaannya ini berterusan kerugian akan ditanggung oleh peminat sendiri yang membayar beratus-ratus ringgit untuk menyaksikan Mawi tetapi persembahan diberikan tidak setimpal dengan harga.

Teringat amarah seorang peminat setia Mawi: “Apa, ingat Mawi itu kerbau ke? kerja bagai nak gila tetapi yang kaya orang lain. Mawi tetap makan rumput aje,” Tepuk dada tanya selera.


©The New Straits Times Press (M) Berhad