Edisi Nasional: Mawi lega
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Saya lega kerana diberi masa sehari kelmarin oleh pihak Maestro (Maestro Talent & Management Sdn Bhd) untuk berehat selepas sibuk memenuhi undangan nyanyian yang tidak putus-putus.
“Masa rehat ini saya habiskan dengan melakukan aktiviti kegemaran saya seperti menonton televisyen dan tidur. Saya juga menonton semula diari Akademi Fantasia 3 (AF3),” kata Asmawi Ani atau Mawi (gambar)
Juara AF3 yang baru menyambut hari lahirnya yang ke-24, pada 25 Ogos lalu, berkata kelmarin adalah satu-satunya hari yang dapat dia berehat sepenuhnya di rumah tanpa sebarang persembahan.
Katanya, sebelum ini, bukan dia tiada rehat langsung tetapi tidak seperti kelmarin.
“Kini, saya benar-benar bertenaga semula untuk meneruskan jadual seni yang padat sehingga penghujung tahun,” katanya.
Mawi berkata, hingga kini, dia amat bersyukur dengan rezeki yang diperolehinya.
Namun, sebagai manusia biasa, dia mengakui memerlukan rehat kerana terlalu letih dan tidak cukup tidur.
Mengulas mengenai rungutan segelintir peminatnya yang kecewa kerana tidak dilayan ketika Mawi balik ke Kulai, baru-baru ini, Mawi berkata, dia tiada niat berbuat begitu.
“Ia berlaku tanpa disedari. Jumlah peminat yang ramai menyebabkan penglihatan saya terhalang.
“Ditambah lagi, masa yang diberikan amat terhad menyebabkan saya tidak berkesempatan mendekati mereka walaupun ada segelintir daripadanya menarik baju saya.
“Saya bukan sombong, jauh sekali melarikan diri daripada mereka. Tanpa mereka, siapalah saya,” katanya.
Cuma, dia berharap mereka memahami keadaannya ketika itu.
Menurutnya, dia tidak dapat melayani jumlah peminat yang ramai secara serentak.
“Saya meminta maaf peminat yang tersinggung dengan kejadian itu,” katanya.
Mawi berkata, dia juga bersyukur dengan penjualan album Best Of Mawi World yang hingga kini dijual melebihi 150,000 unit dalam tempoh beberapa hari dipasarkan.
©The New Straits Times Press (M) Berhad