Dunia Mawi: Mawi sedia RM15,000 rai peminat
Written By JOM JALAN on 31/10/05 | Isnin, Oktober 31, 2005
SESUNGGUHNYA kehadiran Syawal kali ini sungguh bermakna buat anak muda kelahiran Felda Taib Andak ini. Buat julung kalinya, Juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga ini akan menyambut kemeriahan Aidilfitri sebagai artis.
Lebih istimewa, Asmawi Ani atau lebih mesra dengan panggilan Mawi akan meraikan kehangatan lebaran bersama peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya selama ini dengan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga di padang bola kampung halamannya.
“Syukur alhamdullilah,” itulah perkataan keramat yang berulang kali lahir daripada bibir anak muda ini saat mengulas lanjut sambutan Aidilfitri.
Tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini akan meraikan hari kemenangan umat Islam ini bersama ratusan atau mungkin ribuan peminat.
“Ia bagaikan mimpi. Mungkin inilah yang dikatakan tuah, syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menyambut lebaran bersama keluarga tersayang dan mereka yang menyokong saya selama ini,” katanya memulakan bicara.
Sambungnya sambil tersenyum manis: “Rasanya semua sedia maklum, saya akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga. Majlis itu akan berlangsung di padang bola Felda Taib Andak.
“Beberapa balai turut dibina bagi memudahkan orang ramai menikmati juadah. Semuanya akan diuruskan oleh orang kampung saya, termasuk soal logistik, makanan dan kawalan keselamatan.
“Peruntukan bagi mengadakan majlis itu ialah RM15,000 dan saya sudah menyediakannya.
“Kemungkinan besar saya dan rakan AF yang hadir akan mengadakan persembahan bagi memeriahkan suasana malah pentas turut didirikan bagi tujuan itu.
“Meskipun mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga, pengalaman banyak mengajar saya supaya bersiap sedia untuk menerima kehadiran tetamu pada hari raya pertama.
“Memandangkan rumah saya tidak dapat menampung tetamu yang ramai, saya memasang sebuah balai di depan rumah. Juadah kali ini pun kena lebih berbanding tahun lalu,” katanya yang turut menjemput artis senior ke majlis itu.
Bercerita mengenai persiapan raya kali ini, Mawi tanpa berselindung memberitahu, dia menyerahkan RM4,000 kepada keluarganya untuk membeli apa yang dirasakan patut, termasuk langsir, kuih-muih dan juadah istimewa yang bakal dihidangkan kepada tetamu.
“Kali ini saya belikan tiga pasang baju kurung dan tudung untuk mak serta tiga pasang baju Melayu buat abah. Saya turut menghadiahkan baju raya kepada adik beradik saya dan keluarga tunang saya, Diana.
“Memandangkan jadual sepanjang bulan ini padat, terpaksa saya melakukan persiapan lebih awal. Sebahagiannya saya beli sebelum puasa dan ada juga selepas beberapa hari berpuasa. Bimbang juga kalau dilengah-lengahkan tidak sempat pula,” katanya sambil tertawa.
Tambah Mawi, dia tak perlu berhabis membeli baju raya tahun ini kerana pemberian peminat lebih daripada cukup.
“Tahun ini saya ada 20 pasang baju Melayu. Semuanya hadiah daripada peminat. Ada yang bagi baju Melayu Teluk Belanga dan Cekak Musang lengkap dengan kain samping dan songkok. Ada juga yang belum berjahit. Macam-macam warna, sampai rambang mata saya untuk memilih yang mana paling sesuai digayakan pada pagi raya. Biarpun saya gemar warna hitam, warna cerah akan jadi pilihan kerana ia lebih bersesuaian dengan keceriaan hari raya.
“Lebih istimewa, peminat tidak lupa menghadiahkan baju kepada mak, abah dan adik-beradik saya yang lain. Bergaya sakanlah kami Aidilfitri kali ini,” katanya sambil berulang kali melahirkan ucapan terima kasih kepada peminat yang bermurah hati menghadiahkan keluarganya persalinan raya.
Tunai hajat pasang pelita
SETIAP kali menyambut lebaran, Mawi tidak ketinggalan membantu keluarganya melakukan kerja rumah, termasuk urusan di dapur.
Kata anak muda ini, sejak kecil dia sudah biasa menganyam ketupat, malah kemahiran itu menjadi tradisi dan warisan keluarganya.
“Memang menjadi kebiasaan saya akan membantu keluarga menganyam ketupat dua hari sebelum raya. Setakat ini boleh dikatakan saya mahir menganyam ketupat sate, bawang dan jantung. Maklumlah, kontrak setiap tahun (ketawa). Abah pun tidak kurang hebatnya.
“Kadangkala kami berlumba siapa yang dapat menyiapkan ketupat paling banyak. Memang menyeronokkan, apatah lagi bila ada yang tersilap anyam. Pasti ada yang mengusik dan ketawa sesama sendiri,” kata Mawi yang bercuti lapan hari bermula semalam.
Dalam rancak bercerita, penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saliha ini tidak ketinggalan berkongsi rutinnya setiap kali lebaran menjelang.
Kata Mawi, menjadi kewajipannya membantu keluarga menyediakan rendang dan kari pada malam raya.
Biarpun dilahirkan sebagai anak lelaki, Mawi tidak pernah dihantui perasaan malu membantu ibunya di dapur.
Selagi terdaya, dia akan membantu apa yang patut kerana dengan cara itu kehadiran Aidilfitri akan lebih terasa.
“Selepas membantu serba sedikit di dapur, saya tidak melepaskan peluang bermain bunga api dengan anak saudara, rakan dan jiran tetangga. Biasanya saya akan tidur pada jam 2 pagi dan bangun awal keesokan harinya untuk bersiap-siap ke masjid.
“Selesai sembahyang raya, saya bersama 60 hingga 80 penghuni blok D akan bermarhaban dari rumah ke rumah. Dalam kawasan itu ada lebih kurang 30 rumah, jadi kami akan bergerak mengikut giliran.
“Memang ia menjadi tradisi di kampung saya. Selesai marhaban, tuan rumah akan menjamu kami dengan hidangan raya. Selepas bermaaf-maafan, kami akan bergerak ke rumah seterusnya. Biasanya program ini tamat sebelum Zuhur. Kemudian saya akan menghabiskan masa di rumah dengan menonton TV dan melayan tetamu. Hari raya kedua, baru saya berkunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat handai,” kata Mawi yang tidak akan melepaskan peluang beraya bersama keluarga Diana.
Sempena kehadiran 1 Syawal juga, Mawi akan melunaskan hajatnya memasang pelita di sepanjang jalan Blok D.
Setibanya di kampung, Mawi dan penduduk setempat bergotong-royong mencari kayu di hutan, memacak kayu dan memasang sumbu pada pelita.
“Memang setiap kali tujuh likur saya dan rakan akan pasang pelita di sepanjang jalan kawasan rumah kami. Pun begitu, kali ini lebih istimewa kerana inilah hajat saya ketika menyertai AF dulu.
“Saya bersyukur kerana ramai ingin turut sama membantu, malah beberapa minggu sebelum pulang ke kampung, saya dimaklumkan pengerusi belia menguruskan semua persiapan. Saya dan orang kampung akan memasang pelita tiga atau empat hari sebelum raya. Pelita itu akan menerangi simpang masuk ke kawasan Blok D hingga ke hujung kampung.
“Upacara pasang pelita itu akan dirasmikan hari ini. Memang panjang, mana tahu boleh masuk Malaysian Book Of Records,” katanya sambil berjenaka.
FAKTA MENARIK MENGENAI MAWI
-Pengertian raya bagi Mawi: Hari kemenangan umat Islam selepas sebulan menahan lapar, dahaga dan nafsu daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa. Ia juga hari mengeratkan silaturahim sesama insan, di mana kita akan saling bermaaf-maafan dan berkunjung-kunjungan.
- Kenangan pada hari raya: Mercun meletup di tangan ketika berusia sembilan tahun. Dek kerana sumbu terlalu cepat terbakar, mercun itu meletup. Akibatnya tangan Mawi terasa kebas dan serik untuk bermain lagi. Mawi menasihati orang ramai, khususnya kanak-kanak, jangan terlalu seronok bermain mercun kerana ia berbahaya.
- Juadah kegemaran: Ketupat, rendang, kari ayam, kerepek ubi, kerepek pedas dan rempeyek.