Oleh Norakmah Mat Youb
Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India dianggap syurga membeli-belah
SYAWAL bakal menjelang beberapa hari lagi. Pastinya umat Islam sibuk membuat persiapan terakhir bagi meraikan kemenangan selepas berjaya mengawal hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.
Bagi warga kota, setiap kali Ramadan, Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur adalah tempat yang sering dikunjungi kerana di situ ada ‘aura Mawi’ dan segala persiapan dari rambut hingga ke hujung kaki ada di sana.
Tempat itu turut dikenali sebagai syurga membeli-belah kerana pelbagai barangan lain seperti kelengkapan rumah, permaidani, cadar, aksesori, kuih-muih, bunga plastik, pakaian dan tudung boleh dibeli dengan harga murah.
Tinjauan Berita Minggu ke dua lokasi itu mendapati orang ramai tidak putus-putus berkunjung ke sana walaupun pada hari biasa, apatah lagi pada hujung minggu. Pastinya sesak dan meriah seolah-olah berpesta.
Laungan peniaga memanggil pelanggan menggunakan pembesar suara supaya singgah di gerai mereka kedengaran di sana-sini. Pelbagai cara yang digunakan bagi menarik perhatian pelanggan membeli barangan mereka.
Tahun ini, kebanyakan gerai dan kedai di situ menjual baju jenis kebaya Indonesia dan kebaya Nyonya yang dipopularkan kembali oleh Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood.
Pada masa sama, populariti pemenang program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani, 24, atau Mawi bukan hanya dalam nyanyian malah namanya digunakan sebagai pelaris dalam perniagaan.
Fenomena ‘tsumawi’ turut melanda Jalan TAR yang terkenal sebagai ‘one-stop-centre’ itu. Di situ ‘demam’ Mawi mengatasi segala-galanya. Hilang seketika nama-nama artis yang pernah digunakan bagi melariskan perniagaan tahun lalu.
Terdapat pelbagai tudung dan selendang dari jenis kain bawal serta sifon yang disulam nama Mawi menjadi rebutan pengunjung yang datang dari segenap pelusuk tidak mengira tua atau muda.
Ternyata populariti yang dikecapi artis yang berasal dari Kulai, Johor itu memberi rezeki kepada peniaga. Namanya turut digunakan pada kain baju kurung bagi memikat orang ramai menjelang Aidilfitri.
Selain itu, gelaran 'World' yang dibawa penyanyi itu juga melariskan kuih-muih. Ada peniaga yang terpaksa membuat tempahan tambahan kerana sambutan yang diterima sangat luar biasa.
Penjual tudung, Al Rashid Al Ali, 35, berkata berikutan populariti penyanyi yang membawa gelaran ‘World’ itu, gerainya juga tidak ketinggalan menjual tudung dan selendang Mawi.
Beliau berkata, walaupun tudung berkenaan tidak mempunyai banyak beza berbanding tudung jenis kain bawal seperti tahun lalu, penggunaan nama Mawi disulam di hujung tudung bagi menarik pembeli.
"Ramai yang meminati Mawi, jadi kita namakan beberapa tudung dengan namanya. Memang sangat laris jualannya. Kain tudung itu lebih lembut dan sulamannya agak lain dan lebih cantik,” katanya
Jalan TAR dan Masjid India memang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya ketika musim Aidilfitri tetapi tahun ini ‘aura’ Mawi ternyata menambahkan lagi kehangatan lokasi itu.
Peniaga songkok, Rosnelly Abd Ghafar, 49, berkata, sambutan tahun ini lebih menggalakkan kerana cuaca baik berbanding tahun lalu yang hujan setiap hari sekali gus menyebabkan orang ramai malas keluar rumah.
"Selalunya tempat ini akan mendapat lebih tumpuan dan sesak sepanjang tempoh dua minggu sebelum Aidilfitri. Ramai yang suka membuat persiapan saat-saat akhir kerana mereka tahu ada peniaga akan menjual barang lebih murah berbanding biasa," katanya.
Pekerja swasta, Norhayati Mohd Ali, 38, berkata beliau sering berkunjung ke Jalan TAR untuk membeli barangan seperti bunga, kain dan tudung menjelang Aidilfitri.
"Di sini pelbagai barangan boleh diperoleh malah kita boleh tawar menawar. Jadi tidak perlu pergi jauh. Jimat duit dan masa," katanya yang akan pulang ke kampung halamannya di Jasin, Melaka.
Bagi, Rashidah Yusoff, 31, beliau sering berkunjung ke Jalan TAR bagi mendapatkan bunga hiasan untuk menceriakan suasana rumah dan baju kurung yang sudah siap dijahit.
"Persiapan Aidilfitri tahun ini sederhana saja untuk elakkan pembaziran. Saya suka membeli barangan di sini kerana ada banyak pilihan dan harganya berpatutan," katanya.