Kelahiran paksa jika kandungan bermasalah
Written By JOM JALAN on 28/10/05 | Jumaat, Oktober 28, 2005
SAYA berumur 30 tahun dan sedang hamil anak pertama. Tarikh jangkaan kelahiran anak saya pada hari raya. Saya ingin melahirkan anak saya sebelum Aidilfitri. Saya ada dengar daripada kawan-kawan kandungan boleh “diinduce” supaya kelahiran berlaku lebih awal. Betulkah begitu dan apakah risiko yang mungkin saya dan bayi saya hadapi? Harap dapat penjelasan.
FAIZAH
Melalui e-mail
Paksaan proses kelahiran bayi atau lebih dikenali sebagai “induction of labour – (IOL) adalah proses buatan bagi memulakan kesakitan atau pengecutan otot rahim (uterine contractions) sebelum ianya bermula secara tabii. Sakit akibat pengecutan otot rahim ini akan membuka pintu serviks untuk kelahiran bayi. Dalam perubatan, lazimnya proses paksaan kelahiran ini hanya dinasihatkan kepada ibu yang mempunyai kehamilan yang bermasalah. Penerusan kehamilan boleh menjejaskan kesihatan ibu ataupun bayi yang dikandung. Paksaan proses ini lazimnya dibuat apabila bayi telah mencapai kematangannya, iaitu apabila sudah cukup 37 minggu. Bayi yang belum mencapai kematangan juga kadangkala dipaksa kelahirannya jika penerusan kehamilan akan menjejaskan keselamatan ibu. Dalam hal ini kemaslahatan ibu adalah lebih penting.
Keadaan masalah perubatan yang memerlukan kelahiran secara paksa ialah;
a) Kandungan melebihi jangkaan masa, iaitu melebihi 40 minggu. Kira-kira 10 peratus daripada kandungan melebihi dari masa yang dijangka apabila dikira daripada tarikh akhir haid. Lazimnya proses paksaan ini dilakukan apabila kandungan mencapai umur 41-42 minggu.
b) Ibu-ibu yang berpenyakit darah tinggi atau kencing manis. Penyakit ini lazimnya menjadi lebih teruk dan lebih susah dikawal apabila kandungan menghampiri tempohnya. Lazimnya dalam keadaan sebegini, kelahiran akan dipaksa apabila janin yang dikandung sudah matang iaitu pada usia 37 minggu.
c) Ada masalah pada bayi yang dikandung seperti pergerakan bayi tidak aktif.
d) Pembesaran janin terjejas ataupun pembesaran janin terbantut - intrauterine growth restriction (IUGR), padahal ianya sudah matang.
e) Ibu mempunyai sejarah kehamilan yang tidak memuaskan seperti kematian janin dalam kandungan sementara menunggu kesakitan secara tabii berlaku.
Ada juga kategori “social induction” yang dilakukan apabila pasangan meminta bayi dilahirkan pada waktu ataupun hari tertentu atas faktor sosial seperti suami akan berpergian atau pesakit akan mengambil peperiksaan. Kes puan terjatuh dalam kategori ini jika tiada petunjuk masalah perubatan yang lain untuk memaksa kelahiran itu. Lazimnya doktor akan membuat pemeriksaan dalaman untuk menganalisis kedudukan serviks. Jika ada ciri-ciri pada serviks yang menandakan ia bersedia untuk melalui proses kelahiran, maka kadar kejayaan paksaan kelahiran lebih tinggi. Antara ciri-ciri itu ialah kelembutan tisu serviks, ketebalannya dan pembukaan pintu serviks. Jika ciri-ciri pada serviks tidak memuaskan, kadar kegagalan IOL adalah lebih tinggi dan memerlukan masa yang lebih lama untuk mencapai kelahiran.
Puan perlu mendapatkan nasihat daripada doktor yang menjaga kandungan puan sebelum membuat keputusan untuk memaksa kelahiran ini. Menyambut hari raya saja tidaklah sepatutnya menjadi sebab untuk memaksa kelahiran melainkan ianya menyulitkan keadaan seperti ketiadaan sokongan keluarga. Kebanyakan (80-90 peratus) daripada kelahiran berlaku secara tabii.
Risiko kelahiran secara paksa:
a) Bayi lemas disebabkan oleh pengecutan rahim terlalu rapat dan kuat kerana ubat-ubatan (seperti prostaglandin) yang digunakan bagi tujuan ini. Oleh itu ia perlu diawasi dengan teliti untuk memastikan kesihatan bayi. Jika bayi lemas disebabkan keadaan ini, ada ubat-ubatan untuk mengurangkan kekerapan pengecutan rahim ataupun kelahiran perlu dilakukan secepat mungkin melalui pembedahan caesarian.
b) Kekerapan melahirkan yang rapat dan kuat boleh menyebabkan otot rahim pecah terutamanya bagi ibu yang sudah melahirkan ramai anak melebihi enam kelahiran ataupun pernah melahirkan anak melalui pembedahan caesarian walaupun sudah dilakukan beberapa tahun yang lalu.
c) Serviks gagal menjadi nipis dan membuka sehingga menyebabkan kelahiran perlu dilakukan secara pembedahan.
Ibu yang mencapai tempoh kematangan kandungan digalakkan aktif seperti banyak berjalan dengan harapan proses kelahiran lebih cepat dan senang, Insya-Allah. Begitu juga, dengan melakukan hubungan seks. Secara teorinya, air mani mengandungi sedikit prostagladin yang boleh membantu proses melembutkan serviks serta boleh menyebabkan otot rahim mengecut.[Sumber: Anda Tanya Doktor Jawab: Kelahiran paksa jika kandungan bermasalah]