Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Jenazah Dr. Azhari selamat dikebumi

Written By JOM JALAN on 19/11/05 | Sabtu, November 19, 2005

Oleh: ROSNI HASAN dan KAMIL MASLIH
GCISurf - Get Stability, Great Support, Excellent Benefits

MELAKA 17 Nov. - Jenazah Dr. Azhari Husin yang ditembak mati oleh polis elit Indonesia di sebuah villa di Kota Batu, Malang, Jawa Timur Rabu lalu selamat dikebumikan pada pukul 10.40 malam ini di Tanah Perkuburan Islam Batu 19, Jalan Cincin, Jasin, dekat sini.

Bapa Allahyarham, Husin Yaakob, 78, serta tujuh adik beradiknya bersama isterinya, Wan Noraini Yusof dan dua anak mereka yang berusia lima dan 11 tahun turut berada di tanah perkuburan itu.

Jenazah Allahyarham yang diterbangkan ke Malaysia dari Jakarta diiringi adiknya Bani Yamin dan biras, Rustam Mutamin Husin tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 6.42 petang ini.

Turut hadir di KLIA semasa ketibaan jenazah ialah jurucakap keluarga Azhari, Baharuddin Ismail dan Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Zahedi Ayob.

Jenazah Azhari kemudian dibawa menaiki van jenazah untuk ke Melaka dan bertolak dari Pos Keselamatan Terminal KLIA pada pukul 7.05 malam diiringi kereta polis.

Jenazah Allahyarham tiba di masjid kira-kira pukul 9.50 malam dan disembahyangkan oleh Imam I Masjid Jamek, Mazlan Lahum.

Kira-kira 1,000 orang termasuk ahli keluarga dan penduduk kampung menghadiri pengebumian Allahyarham termasuk media asing dan tempatan.

Bapa Allahyarham, Husin ketika ditemui berkata, dia redha dengan pemergian anaknya itu yang memilih untuk berjihad.

Bapa saudara Azhari, Husin Abu Hassan, 64, pula memberitahu, keluarga Allahyarham bersyukur dengan selesainya pengkebumian tersebut.

``Alhamdulillah mayat tak payah tunggu lama lagi untuk dikebumikan,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini malam ini.

Ditanya mengenai keadaan keluarga Azhari, beliau berkata, ahli keluarganya redha menghadapi keadaan yang menyedihkan itu.

Azhari, 48, yang terbunuh Rabu lepas dalam serangan pihak berkuasa Indonesia terhadap puak militan dikatakan menjadi dalang utama beberapa serangan maut di Indonesia sejak 2002.

Allahyarham dikatakan terlibat dalam serangan bom di Bali pada tahun itu yang mengorbankan 202 orang dan terbaru, juga di pulau peranginan itu, bulan lepas.

Pakar bom rakyat Malaysia itu dilaporkan terbunuh bersama seorang rakan pengganas ketika pasukan keselamatan menyerbu rumah sewanya di Kota Batu, Malang di Jawa Timur.

Polis Indonesia juga dikatakan menjumpai dokumen rahsia dan video berhubung rancangan kumpulan pengganas itu untuk melancarkan beberapa lagi serangan bom di republik itu. [UM]