Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Kampung Terbuka Mawi

Written By Syafrein Effendiuz on 6/11/05 | Ahad, November 06, 2005

Oleh MOHD RAMZI SANNY
15,000 SERBU MAJLIS RAYA

KULAI: “Majlis ini bukan lagi rumah terbuka tetapi kampung terbuka kepada peminat saya,” kata juara Akademi Fantasia (AF) 3, Asmawi Ani atau Mawi, mengulas kehadiran lebih 15,000 peminatnya pada majlis anjurannya itu yang berlangsung di Kampung Bahagia, Felda Taib Andak, di sini, semalam.

Buat pertama kali dalam sejarah Felda Taib Andak, apabila kampung kelahiran penyanyi popular itu menjadi tumpuan ribuan orang hingga menyebabkan laluan masuk ke tapak majlis iaitu di padang awam kampung berkenaan sesak teruk sejauh lebih 10 kilometer.

Berikutan itu ada peminat sanggup berjalan kaki hampir dua kilometer semata-mata untuk menjamah hidangan istimewa yang disediakan Mawi pada majlis berkenaan.

Menurut Mawi beliau dimaklumkan peminat yang datang dari seluruh pelosok tanah air termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Majlis ini untuk peminat saya. Saya berterima kasih kepada keluarga, penduduk kampung dan rakan yang bergotong-royong membantu sehingga merealisasikan majlis yang istimewa ini.

“Apa yang terlebih, terkurang, saya minta maaf,” katanya pada sidang media sempena majlis rumah terbukanya semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Maestro and Talent Management (Maestro), Freddie Fernandez; Pengurus Besar Bisnes Proton Eon Bhd (Eon), Datuk Abdul Razak Dawood; dan Ketua Pegawai Eksekutif M dot Mobile Sdn Bhd, Zainudin Mohd Salleh.

Terdahulu, majlis penyerahan kereta Eon Savvy dengan nombor pendaftaran MAW 1100 diserahkan kepada Mawi sambil disaksikan ribuan peminat.

Biarpun majlis dijadualkan bermula jam 11 pagi, peminat mula tiba di perkampungan Felda itu seawal jam 9.30 pagi untuk bertemu dan bersalaman dengan Mawi selain berhibur dengan persembahan anak jati felda itu serta artis jemputan lain seperti Nash, Shahila dan bintang AF1 dan 2, Nija dan Zarina.

Sebanyak 20 khemah didirikan di padang Felda Taib Andak dan orang ramai dijamu dengan juadah hari raya yang disediakan orang kampung seperti ketupat dan rendang, kuah lodeh serta nasi beriani.

Kos majlis itu dianggarkan sebanyak RM50,000 dengan lebih 50 peratus daripadanya dibiayai Mawi sendiri selain mendapat tajaan daripada pihak penaja.

Sebanyak 10,000 poster dan 10,000 poskad Mawi yang ditaja Eon dan M dot Mobile turut habis diedarkan kepada peminat.

Sementara itu, Fredie berkata, majlis berkenaan adalah bersejarah kerana seorang artis seperti Mawi yang baru mencipta nama dapat mengadakan rumah terbuka besar-besaran.

“Majlis ini adalah majlis Mawi. Beliau sanggup mengeluarkan wang daripada poket sendiri sebagai penghargaan dan berterima kasih kepada peminat yang terus menyokongnya selama ini,” katanya. [HM]