Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Rusuhan makin dahsyat di Perancis 1,400 lagi kenderaan dibakar

Written By JOM JALAN on 8/11/05 | Selasa, November 08, 2005


Netbiz2u.Net - Malaysia 1st. Auto Surf Program



ANGGOTA polis perusuh Perancis melewati sebuah kereta yang hangus terbakar di daerah Le Mirail, Toulouse, barat daya Perancis, kelmarin. Lebih 1,400 buah kenderaan dibakar oleh kumpulan perusuh sejak kelmarin. - AP.

PARIS 7 Nov. - Rusuhan yang merebak ke ibu negara Perancis dan berterusan buat hari ke-11 semalam, semakin buruk dengan malam tadi sahaja lebih 1,400 buah kenderaan dibakar.

Rusuhan kali ini juga meragut nyawa pertama apabila seorang lelaki berusia 61 tahun, yang dipukul remaja di kawasan pinggir di utara Paris, Stains, mati di hospital hari ini.

Kira-kira 395 orang pula ditangkap dalam rusuhan di seluruh Perancis malam tadi, jumlah tertinggi dicatatkan sejak 27 Oktober lalu.

Perangkaan polis menunjukkan daripada 1,408 kenderaan yang dibakar, kira-kira 1,000 merupakan kereta yang kebanyakannya dirosakkan di kawasan bandar-bandar dalam Paris dan bandar-bandar raya lain.

Dengan perkembangan terbaru itu, lebih 5,000 buah kenderaan dibakar dan hampir 1,000 orang ditangkap sepanjang 11 hari lalu.

Ia merupakan rusuhan paling buruk di Perancis sejak rusuhan pelajar tahun 1968.

``Gelombang kejutan telah merebak dari Paris ke wilayah-wilayah lain,'' kata Ketua Polis Perancis, Michel Gaudin pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ekoran kejadian itu, Australia, Britain, Canada, Jerman, Jepun, Rusia dan Amerika Syarikat menasihatkan rakyatnya tidak mengunjungi Paris.

Dalam kejadian semalam, golongan remaja negara itu membaling bom botol ke arah gereja, sekolah, kereta dan pusat jagaan harian ketika Presiden Jacques Chirac berjanji akan menangkap dan menghukum mereka yang mencetuskan keganasan dan ketakutan.

Jurucakap polis, Patrick Hamon berkata lewat semalam, di Grigny yang terletak di selatan Paris, para perusuh telah melepaskan tembakan ke arah polis menggunakan senapang angin dan senpang memburu.

Anggota-anggota polis yang cedera itu adalah akibat terkena tembakan senapang angin semasa bertempur dengan 250 hingga 300 remaja, tetapi dua sahaja yang dimasukkan ke hospital berikutan kecederaan yang agak serius di leher dan kaki.

``Undang-undang perlu dikuatkuasakan,'' kata Chirac dalam kenyataan awam pertamanya selepas mesyuarat keselamatan dengan beberapa menteri kanan.

``Perancis akan menjadi lebih kuat berbanding pihak yang mencetuskan keganasan dan ketakutan, dan mereka akan ditangkap, diadili dan dihukum,'' kata beliau.

Perdana Menteri Perancis, Dominique Villepin berjanji proses perbicaraan akan dipercepatkan terhadap perusuh dan mempertingkatkan kawalan keselamatan jika keadaan memerlukan.

Rusuhan yang bermula di kawasan-kawasan perumahan pinggir Paris telah merebak ke seluruh negara berpunca daripada perasaan tidak puas hati dan terpinggir terhadap pihak berkuasa di kalangan remaja Arab dan Afrika akibat masalah pengangguran, diskriminasi dan kemudahan perumahan yang teruk.

Chirac berkata, Perancis perlu menggalakkan semangat saling menghormati, keadilan dan kesaksamaan.

Sebelum ini Chirac telah dikecam oleh ahli-ahli politik pembangkang kerana gagal berucap kepada umum berhubung kekacauan awam itu, yang paling buruk dalam tempoh sedekad.

Golongan perusuh telah membakar dua sekolah dan sebuah bas di pusat bandar Saint-Etienne dan pinggir bandar.

Beberapa gereja turut dibakar di utara Lens dan selatan manakala di Colombes di pinggir Paris, para remaja membaling batu ke arah bas menyebabkan seorang kanak-kanak berusia 13 bulan cedera dan dimasukkan ke hospital.

Di Saint-Maurice, sebuah pusat jagaan harian turut dibakar dan beratus-ratus kereta dibakar menjelang tengah malam tadi.

Di Strasbourg, sekumpulan remaja telah mencuri sebuah kereta dan merempuh sebuah projek perumahan sehingga menyebabkan kenderaan dan bangunan terbabit terbakar.

Di Paris, bom gasolin telah memusnahkan tiga buah kereta berhampiran Place de la Republique. [UM]