Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Bukan salah kami - Saudi - Kehadiran jemaah tidak mudah dikawal antara punca

Written By JOM JALAN on 14/01/06 | Sabtu, Januari 14, 2006

JEMAAH-JEMAAH haji melalui kawasan tragedi rempuhan yang menyebabkan 363 orang mati di Mina, semalam. - AFP.

MINA 13 Jan. - Jemaah-jemaah haji bertungkus-lumus hari ini mengesan anggota keluarga mereka yang hilang dalam kejadian rempuhan semasa ibadat melontar di Mina semalam, yang menurut pihak berkuasa Arab Saudi berpunca daripada jemaah-jemaah yang tidak mudah dikawal, khususnya dari benua Afrika.

Dengan mengesat air mata di hadapan dinding yang dilekatkan gambar mangsa yang terbunuh, anggota keluarga berusaha mendapatkan berita mengenai saudara-mara mereka di rumah mayat di sini sejak pagi ini.

Riyadh mendakwa kejadian itu disebabkan jemaah-jemaah haji yang tidak dapat dikawal, dibawa oleh syarikat-syarikat yang tidak dibenarkan.

Bagaimanapun beberapa saksi mendakwa tindakan polis menyebabkan keadaan kelam-kabut yang terjadi apabila mereka secara tiba-tiba menutup laluan ke arah jambatan dan sesetengah jemaah haji panik bila mereka perlu melakukan lontaran terakhir.

Dakwaan itu dinafikan oleh jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Major Jeneral Mansour al-Turki kepada BBC.

``Jemaah mahu menunaikan haji mengikut cara yang mereka anggap betul dan anda mempunyai kesan yang terhad dalam menggunakan anggota polis bagi mengawal mereka.

``Anda sebenarnya tidak boleh mengawal mereka menggunakan pasukan polis kerana ia akan menambah masalah,'' katanya.

Bilangan kematian akibat tragedi tersebut meningkat kepada 363 orang termasuk kira-kira 100 jemaah haji Mesir, menurut Timbalan Pengarah Bilik Mayat al-Muaysem, Hussein Saleh Bahashwan kepada AFP.

``Kebanyakan yang terbunuh adalah rakyat Mesir, Afrika dan Saudi, serta beberapa negara Asia,'' kata Pengarah Operasi Menyelamat di Kementerian Kesihatan, Khaled Yassine.

Putera Mahkota Saudi, Sultan bin Abdul Aziz dalam kenyataan yang disiarkan hari ini oleh akhbar Asharq Al-Awsat berkata, ibadat melontar jamrah berlangsung sebelum itu tanpa sebarang masalah.

``Tetapi apa yang berlaku ialah lebih 12 orang menggalas beg-beg besar, jadi apabila keadaan menjadi terlalu sesak mereka terjatuh lalu menimpa satu sama lain,'' kata Sultan.

``Jemaah terjatuh dan menimpa satu sama lain,'' katanya.

``Jemaah haji tidak dibenarkan membawa beg semasa ibadat melontar,'' katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Saudi, Hamad Abdullah Al-Maneh berkata, kejadian rempuhan itu berpunca daripada jemaah haji yang tidak terkawal dan masalah beg.

Tragedi terbaru itu berlaku hanya beberapa hari selepas 76 orang maut apabila sebuah hostel di tengah Mekah runtuh pada minggu lepas. - Agensi