Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Inul ‘tenggelamkan’ Search, Ella dan Radja

Written By JOM JALAN on 5/02/07 | Isnin, Februari 05, 2007

GAMBAR: KUMPULAN Search, Radja, Ella, Inul dan Mahera serta Pengarah Urusan Mulia Event, Mohd. Farid Abdul Hamid (duduk dua dari kiri) selepas Konsert Rentaq Serantau di Stadium Malawati, Shah Alam, malam kelmarin.

Oleh ABD. AZIZ ITAR
RATU dangdut Indonesia, Inul Daratista membuktikan irama dangdut yang diketengahkannya mampu memberi impak dan saingan yang besar kepada genre lain termasuklah muzik rock.

Ratu gelek itu begitu terserlah menerusi persembahan bertenaga lagi menghiburkan yang ditampilkannya pada Konsert Rentaq Serantau yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor kelmarin.

Pada konsert anjuran Mulia Events dan ditaja oleh DiGi itu, persembahan Inul dilihat lebih bertenaga dan menonjol berbanding tiga artis rock, Search, Ella dan Radja yang turut berkongsi pentas dengannya pada malam itu.

Jika dibuat perbandingan keseluruhan konsert itu ternyata persembahan Inul lebih menghiburkan dan sempurna berbanding tiga artis terbabit.

Meskipun tidak banyak bergelek kerana dikatakan terpaksa mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan pihak penganjur tetapi penyanyi yang sudah bersuami itu telah berjaya menghiburkan penontonnya malam itu.

“Saya okay, tidak ada masalah. Apa pun yang diajukan (diminta) oleh Mulia Events dan government (Kerajaan Malaysia) itu saya hormati.

“Apa yang boleh saya lakukan ialah tampil dengan semaksima yang boleh,” katanya pada sidang akhbar selepas konsert yang disaksikan oleh 10,000 penonton berakhir.

Lagu nyanyian Inul pada konsert itu berjudul Sahara, Nirmala, Goyang Inul, SMS, Bang Toyila, Bintang Pentas, Buaya Darat, Cucak Prowo dan Prau Layar.

Selain lagu sendiri, Inul turut menyanyikan lagu Sedang Ingin Bercinta yang dipopularkan oleh kumpulan Dewa 19 dalam rencah irama dangdut yang bercampur rock.

Search yang paling ditunggu-tunggu persembahannya pada malam itu tidak memberikan persembahan yang maksima.

Selaku vokalis Search, Amy tidak menafikan berlaku masalah teknikal yang menjejaskan mutu dan konsentrasi persembahan kumpulannya.

Tidak puas hati

“Setiap anggota Search sudahpun memberikan persembahan yang terbaik. Cuma ada masalah pada sistem bunyi contohnya pada gitar bass Nasir macam ada yang tidak kena.

“Dari awal persembahan kami lagi, ada bunyi alat-alat muzik yang tidak keluar. Pada dua, tiga lagu terakhir yang kami bawakan barulah nada pada sistem bunyi seimbang.

“Sebagai pemuzik, sudah semestinya kami rasa tidak puas hati,” ujarnya yang menyanyikan lapan lagu popular Search pada konsert itu.

Lagu-lagu nyanyian Search berjudul Menara Kesesatan, Balada Pemuzik Jalanan, Nyata Dan Maya, Emmanuel, Pada Satu Kedudukan, Pawana, Mentari Merah Di Ufuk Timur dan Gothik Malam Edan.

Ella yang pertama kali berkongsi pentas dengan Radja dan Inul tidak berasa kecil hati biarpun hanya diberi peluang menyanyikan empat lagu berjudul Kesal, Nuri, Dua Insan Bercinta dan Jujur.

“Saya tidak kecil hati walau hanya diberi peluang menyanyikan beberapa lagu sahaja. Saya mahu membuat lebih persiapan untuk showcase saya di Planet Hollywood, Kuala Lumpur pada 11 dan 25 Februari ini,” katanya.

Sementara itu, Radja yang menjadi artis penutup tirai konsert itu paling lama mengadakan persembahan dengan menyampaikan 12 lagu.

Sebagai artis baru, Radja juga boleh berbangga apabila Ella turut menyanyikan lagu berjudul Jujur yang mereka popularkan.

“Bagi kami, ini satu kebanggaan dan penghormatan buat kami. Secara peribadi saya sangat gembira,” ujar vokalis Radja, Ian Kasela.

Meskipun tampil dengan seleksi lagu paling banyak tetapi persembahan Radja malam itu sedikit membosankan apabila tercetusnya sedikit pergaduhan di kalangan penonton warga Indonesia.

Malah, para penonton dilihat sedikit demi sedikit meninggalkan stadium apabila persembahan yang ditampilkan Radja semakin hambar.

Persembahan Radja hanya bertenaga ketika mereka menyanyikan lagu popular mereka yang berjudul Aku Ada Kerana Kau Ada dan Jujur.

Selain itu, lagu-lagu lain yang mereka persembahkan berjudul Manusia Biasa, Selalu Jauh Di Hati, Tulus, Bulan, Cinderella, Wahai Kau Sayang, Angin, Biar Hilang Cinta, Yakin dan Tak Kan.

Sementara itu, artis baru Mahera muncul sebagai artis pembuka tirai.[UM]