Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Robert Kuok atasi Ananda Krishnan – Malaysian Business

Written By Syafrein Effendiuz on 17/02/07 | Sabtu, Februari 17, 2007

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Raja gula Robert Kuok Hock Nien mengungguli senarai 40 individu terkaya di Malaysia yang dikeluarkan oleh Malaysian Business, dengan menewaskan pesaing terdekat, T. Ananda Krishnan.

Majalah itu dalam keluaran 16 Februari meletakkan kekayaan Kuok berjumlah RM32.4 bilion.

Taikun berasal dari Hong Kong itu menambah kekayaan sebanyak RM10.86 bilion atau 50.43 peratus lagi kepada jumlah keseluruhan kekayaannya tahun ini, disebabkan prestasi kukuh saham kumpulan syarikat yang tersenarai miliknya.

Kekayaan Ananda pula meningkat kira-kira 80 peratus bernilai RM19.7 bilion manakala di tempat ketiga ialah pengasas Kumpulan Hong Leong Tan Sri Quek Leng Chan dengan kekayaan bernilai RM10.3 bilion tahun ini.

Seramai 10 individu terkaya yang lain dalam senarai termasuklah pengasas Kumpulan Genting Tan Sri Lim Goh Tong; Pengerusi Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow; Pengerusi Eksekutif IOI Corporation Tan Sri Lee Shin Cheng; Pengerusi Yayasan Albukhary Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary; Presiden, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting Tan Sri Lim Kok Thay; serta Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Rimbunan Hijau Tan Sri Tiong Hiew King.

Ketua YTL Corp Tan Sri Yeoh Tiong Lay menduduki di tangga ke-10 selepas tiada dalam senarai selama setahun.

Di kalangan individu yang menonjol yang tersenarai ialah Lee Yeow Seng, 28, dari Kumpulan IOI. Beliau merupakan taikun paling muda dalam senarai.

Selain itu, Datuk Mokhzani Mahathir tersenarai buat pertama kalinya selepas kejayaan menyenaraikan syarikat utama miliknya, Kencana Petroleum Bhd. ke Papan Utama Bursa Malaysia pada bulan Disember 2006.

Muka baru lain ialah Datuk Lee Soon Hian dari Batu Kawan Bhd. dan Tunku Datuk Ya’acob Tunku Abdullah dari MAA Holdings Bhd. yang kembali selepas setahun tiada dalam senarai.

Keseluruhannya, majoriti dari taikun menyaksikan kekayaan mereka di atas kertas bertambah pada 2007 disebabkan lantunan pasaran saham dan peningkatan harga hartanah dan komoditi, kata Malaysian Business dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Ia berkata, jumlah kekayaan terkumpul oleh 40 individu paling kaya menokok sebanyak 65 peratus kepada RM116.86 bilion pada tahun 2007 daripada RM70.43 bilion pada tahun lalu.

Malaysian Business berkata, kekayaan dimiliki 40 individu paling kaya dalam senarai itu dinilaikan berdasarkan nilai saham syarikat tersenarai yang dimiliki pada 19 Januari 2007.

Bernama