Nadiah kongsi rahsia kejayaan melalui dua buku
Written By JOM JALAN on 6/03/07 | Selasa, Mac 06, 2007
Oleh SUNARTI KIBAT
BATU PAHAT 5 Mac – Pelajar pintar yang berjaya mendapat 19 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006, Nadiah Amirah Jamil, 18, akan menceritakan rahsia kejayaannya melalui dua buku karyanya yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.
Buku pertama, Diari Nadiah terbitan Raihan Creative Sdn. Bhd. dijangka mula dipasarkan pertengahan bulan ini dan dijual dengan harga RM20.
Buku kedua pula yang bertajuk Meniti Kecemerlangan kini masih dalam proses pembikinan.
Bapa Nadiah, Jamil Omar, 55, berkata, kedua-dua buku tulisan anaknya itu memaparkan kesungguhan serta pahit manis kehidupan yang perlu ditempuhinya sebelum sampai ke tahap sekarang.
‘‘Nadiah menceritakan kesungguhan dia untuk menuntut ilmu sejak umurnya tiga tahun dan bagaimana dia sanggup bertukar sekolah dari Sekolah Menengah Sains Kluang, Johor ke sebuah sekolah biasa di luar bandar semata-mata untuk membolehkannya mengambil 19 mata pelajaran dalam SPM,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, buku itu turut menceritakan bagaimana Nadiah meminta supaya dimasukkan ke tadika ketika umurnya tiga tahun dan dia sentiasa berusaha mendapat tempat pertama dalam setiap peperiksaan.
Jamil berkata, keinginan Nadiah untuk mengambil 19 mata pelajaran nyata tidak sia-sia sekali gus membuktikan bahawa pelajar sekolah luar bandar juga mampu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Sementara itu, rumah Nadiah kini menjadi tumpuan terutama dari kalangan wartawan yang ingin mendengar cerita kejayaannya. [UM]