Hi quest ,  welcome  |  sign in  |  registered now  |  need help ?

Pages

Valentine - mudahnya kita terpengaruh

Written By JOM JALAN on 15/02/07 | Khamis, Februari 15, 2007

Oleh Nasron Sira Rahim

KEHADIRAN 14 Februari pada setiap tahun sering ditafsirkan pasangan bercinta terutama remaja sebagai bulan menyemarakkan ikatan kasih, malah keghairahan meraikan sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih itu tidak pernah luntur.


Menjelang tarikh itu, pasangan kekasih mula memilih restoran atau lokasi istimewa untuk membolehkan mereka menghabiskan masa bersama selain menempah kad ucapan, hadiah, coklat atau bunga sebagai tanda peringatan hari berkenaan.

Tidak dinafikan, ada remaja Islam negara ini yang turut terpengaruh untuk bersama meraikannya; biarpun Hari Valentine bukanlah berasal daripada rentetan sejarah dan budaya Islam. Jadi, umat Islam tidak wajar merayakannya.

Ada beberapa versi mengenai sejarah kewujudan hari berkenaan dan antara yang popular adalah perayaan itu dipercayai diadakan bagi memperingati kematian pendeta Romawi, Pedro St Valentine yang dijatuhi hukuman mati pada 14 Februari 270M.

Lelaki itu dikatakan dipenjara sehingga mati selepas mengingkari arahan Raja Claudius II yang mengarahkan supaya semua pendeta tidak menikahkan mana-mana pasangan bagi memastikan golongan pemuda menyertai tentera dan keluar berperang.

Tindakan Raja Claudius II itu tidak disokong masyarakat termasuk Valentine yang kemudiannya meneruskan upacara pernikahan secara senyap-senyap.

Bagaimanapun, tindakan Valentine diketahui Raja Claudius II dan dia dipenjara sehingga mati. Bagi memperingati perjuangan Valentine, maka penganut Kristian meraikan hari berkenaan pada setiap 14 Februari setiap tahun.

Cinta adalah fitrah yang dilahirkan bersama kewujudan manusia di dunia ini. Sehubungan itu, Islam tidak pernah melarang penganutnya saling kasih-mengasihi antara satu sama lain malah amat menggalakkannya.

Dalam cinta terlarang, kita sanggup mengabaikan hak Allah sehingga mengundang kemurkaan-Nya.

Dalam konteks percintaan, seharusnya keimanan terhadap Allah mendahului segala keinginan duniawi. Cinta suci seharusnya dilandaskan dengan akhlak dan keperibadian Islam tanpa sebarang kepentingan dan keinginan nafsu.

Perasaan cinta yang tidak mematuhi syariat Islam lazimnya sering terdedah kepada risiko dan bahaya zina, disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan nafsu dan syaitan.

Jika tidak dapat menggoda lelaki dan wanita itu melakukan kemaksiatan ketika bersama, syaitan akan berusaha supaya mereka tidak khusyuk dalam beribadat kerana terlalu mengingati pasangan mereka.

Lebih membimbangkan apabila individu terbabit lebih mengasihi dan mendambakan kasih temannya melebihi Allah sehingga menjadikannya syirik, kufur dan murtad.

Perasaan cinta yang dipandu dengan keimanan kepada Allah dan syariat-Nya diharapkan dapat menyelamatkan manusia seterusnya mencapai tahap kebahagiaan sejati di syurga Allah.

Bagaimanapun, perasaan cinta itu perlulah mematuhi peraturan ditetapkan-Nya supaya ia mencapai matlamat penciptaan iaitu untuk menyelamat, mententeramkan dan membahagiakan manusia.

Antara peraturan cinta yang ditetapkan Allah adalah seperti firman-Nya: "Katakanlah: jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kerabat-kerabatmu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerosakannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu senangi lebih kau cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta jihad di jalan-Nya, maka tunggulah hingga Allah mendatangkan keputusan-Nya.

"Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasik," (At-Taubah: 24).

Menerusi ayat itu, dapatlah disimpulkan bahawa ada beberapa kategori cinta yang wujud dalam diri manusia iaitu cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada manusia serta cinta kepada harta duniawi.

Daripada kategori ini, cinta hakiki hanya kepada Allah dan Rasul-Nya manakala cinta kepada manusia dan harta keduniaan adalah ujian yang diberikan Allah bagi menentukan tingkat keimanan dan ketakwaan manusia itu sendiri.

Dalam konteks cinta kepada manusia, peraturan pertamanya adalah - kita dibenarkan mencintai sesiapa saja tetapi perasaan cinta itu perlu dibina atas dasar cinta kerana Allah.

Antara tanda kita mencintai seseorang itu kerana Allah ialah kita sentiasa mendahulukan kehendak Allah sebelum memenuhi kehendak individu yang kita cintai. Dalam kenikmatan mencintai seseorang individu, kita turut merindui untuk bermunajat dan qiamulail kepada Allah, sentiasa solat pada awal waktu, lidah pasti sentiasa menyebut nama-Nya dan bersedia berkorban harta dan jiwa untuk-Nya. [BH]