Sejajar dengan tema `Malaysiaku Gemilang’, perbarisan pada sambutan hari ini melambangkan lima era dilalui oleh negara yang membawa kepada kejayaan pembangunan yang cemerlang, keamanan dan kemakmuran.
Sambutan itu juga membuktikan bahawa perpaduan yang menjadi asas kepada kemajuan negara, terus dipegang teguh oleh rakyat pelbagai kaum yang memenuhi setiap inci kawasan di Dataran Merdeka.
Perpaduan itu diserlahkan lagi dalam setiap acara, perbarisan dan perarakan yang disertai oleh 24,300 peserta.
Sambutan yang bermula pukul 8.10 pagi itu juga sentiasa diselang-seli dengan laungan `Merdeka’ dan `Malaysiaku Gemilang’ daripada hadirin dan para peserta.
Pada sambutan kali ini, setiap formasi yang dipersembahkan mempunyai kaitan dengan rentetan sejarah kemerdekaan negara 50 tahun lalu dan kejayaan yang dikecapi sampai kini.
Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Merdeka sejak pukul 5 pagi lagi termasuk para pelancong asing.
Sambutan bermula sejurus ketibaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Baginda berdua telah disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Hadir sama menteri-menteri Kabinet.
Turut menyaksikan upacara bersejarah itu ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Duke Of York, Putera Andrew; Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo; Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn dan Gabenor General Australia, Major General Michael Jeffery.
Pemimpin ASEAN yang hadir ialah Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen; Perdana Menteri Laos, Bouasone Bouphavanh; Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung dan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, selain duta-duta asing.
Perarakan sambutan hari ini disertai 14 kereta berhias, 29 kontinjen pancaragam termasuk sekolah, 100 kontinjen berjalan kaki dan 25 buah kenderaan tentera.
Selain itu, acara lintas hormat udara kali ini melibatkan 52 pesawat dan helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Acara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan pada masa sama lima helikopter Nuri TUDM membuat lintas udara diraja dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Tentera Darat, Laut dan Udara.
Tembakan meriam sebanyak 14 das turut dilepaskan ke udara.
Tuanku Mizan kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja.
Kemudian, 2,300 penyanyi koir dari Institut Perguruan menyanyikan lagu Jalur Gemilang, Cemerlang Gemilang Terbilang dan Malaysiaku Gemilang diiringi paluan gendang masyarakat majmuk Malaysia.
Ia diikuti bacaan ikrar oleh 50 pelajar termasuk pelajar sekolah pendidikan khas, diketuai oleh Syed Nur Khairin Al-Safi sebelum melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali.
Dataran Merdeka kemudiannya bertukar wajah apabila persembahan padang membabitkan lebih 10,000 peserta koir dan pancaragam bermula dengan memaparkan lima era yang dilalui oleh negara menerusi paparan perkataan seperti Merdeka 31 Ogos 1957, Malaya, Pembentukan Malaysia dan DEB.
Sepanjang sambutan, para pengunjung bersama-sama peserta mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda keharmonian.
Acara perarakan dan perbarisan yang menampilkan konsep lima era pemerintahan Perdana Menteri Malaysia didahului perarakan bendera Jalur Gemilang berukuran 9 meter lebar dan 18 meter panjang yang diarak oleh 60 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), diikuti pancaragam pusat RAMD.
Ia bermula dari Era Kemerdekaan semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Era Pembangunan Tun Abdul Razak Hussein, Era Perpaduan Tun Hussein Onn, Era Pemodenan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Era Kecemerlangan di bawah pimpinan Abdullah.
Era Kemerdekaan misalnya, membabitkan perarakan 100 anggota kontinjen pejuang dan veteran kemerdekaan termasuk 20 orang yang menaiki kereta Bufori sebelum diikuti 1,000 peserta yang mewakili kontinjen parti UMNO, MCA, MIC dan parti politik di Sabah dan Sarawak.
Ini diikuti kontinjen Old Putra Association, Kontinjen Pahlawan Negara, Kontinjen Veteran ATM, Kontinjen Veteran Komanwel dari United Kingdom, Australia dan New Zealand, kontinjen veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kontinjen Homeguard, SC dan Jungle Squad.
Antara kontinjen yang mencuri perhatian penonton termasuk penyertaan 30 ekor kuda dari Unit Berkuda PDRM dan 24 ekor anjing pengesan K-9 PDRM.
Kontinjen terakhir ialah perbarisan kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diikuti dengan empat daripada 13 kenderaan Konvoi Ekspedisi Kembara Merdeka Cape Town-Kuala Lumpur 2007 (EKM) yang pulang ke tanah air, semalam.
Ketika itu, ruang angkasa Dataran Merdeka menjadi gegak gempita dengan deruan enjin supersonik jet-jet pejuang TUDM yang melakukan formasi udara. Ia membabitkan pesawat pejuang MIG-29, Hawk, F18 dan pesawat kargo C130 Hercules serta tiga jet pejuang Sukhoi.
Acara berakhir kira-kira pukul 10 pagi setelah 2,000 anggota komponen rakyat bersepadu kelolaan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mengadakan persembahan formasi sambil diiringi nyanyian lagu-lagu rakyat dan patriotik. [UM]